Pemain Poland, Kacper Kozlowski Muncul Pemain Termuda di Pentas Kejohanan Eropah

Pemain yang sedang meningkat naik Poland, Kacper Kozlowski, telah muncul sebagai pemain paling muda dalam pentas Kejohanan Eropah (Euro) apabila diturunkan dalam perlawanan menentang Sepanyol semalam.

Kozlowski dimasukkan pada separuh masa kedua oleh pengurus Poland, Paulo Sousa, menggantikan Karol Swiderski pada minit ke-68.

Dengan aksinya itu, Kozlowski secara sahnya memegang rekod pemain paling muda diturunkan, dengan usianya baru 17 tahun dan 246  hari, mengatasi rekod yang dicipta pemain England, Jude Bellingham yang dicipta hanya enam hari sebelumnya, pada usia 17 tahun 349 hari.

Siapa Kozlowski?

Seperti yang disebut di atas, Kozlowski adalah pemain pasukan kebangsaan Poland. Faham?

Kalau cerita pasal kelab, dia bermain untuk kelab Pogon Szczecin, di liga PKO Ekstraklasa, Poland. Posisi utama pemain muda menakjubkan ini adalah di bahagian jentera tengah pasukan, di mana di dalam pasukan Poland, dia berganding bersama-sama Jakub Moder, Piotr Zielinski dan Karol Swiderski.

Pada bulan Januari 2020, pemain muda ini telah terlibat dalam satu kemalangan ngeri dan mengalami cedera yang menakutkan, di mana tulang belakang L3 pemain ini telah retak. Berbekalkan semangat yang kuat, Kozlowski akhirnya kembali sembuh dan kembali beraksi di atas padang.

Setakat ini, dia telah melakukan empat penampilan buat pasukan Poland, dengan debutnya adalah pada 28 Mac 2021, ketika Poland menewaskan Andorra 3-0 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022.

Rekod Lain Berkaitan Pemain Muda

Selain pemain paling muda yang turun ke padang, ada berapa rekod lain yang turut melibatkan pemain muda.

Penjaga Gol Paling Muda –  Jose Angel Iribar (Sepanyol)

Pada usia 21 tahun dan 108 hari, Jose Angel Iribar telah muncul sebagai penjaga gol paling muda yang turun beraksi di Euro pada 17 Jun 1964, ketika pasukannya Sepanyol menewaskan gergasi Eropah ketika itu, Hungary.

Beberapa hari kemudian, Iribar muncul penjaga gol paling muda menjulang piala Euro selepas pasukannya menewaskan USSR 2-1 dalam perlawanan akhir.

Iker Casillas, lagenda Sepanyol, muncul penjaga gol kedua termuda beraksi di pentas tertinggi bola sepak Eropah ini pada Euro edisi tahun 2000, dan penjaga gol Russia, Igor Akinfeev di tempat ketiga, selepas tampil di Euro 2004.

Penjaring Paling Muda Jaringkan Gol – Johan Vonlanthen (Switzerland)

Der Schweizer Johan Vonlanthen gegen den Franzosen Bixente Lizarazu. (NO MOBILE – NO PDA – NO MMS). © Valeriano Di Domenico/EQ Images

Pemain tengah remaja ini melakukan debut di pentas Euro pada tahun 2004, pada hari Wayne Rooney muncul sebagai penjaring gol paling muda dalam sejarah kejohanan ini selepas dia menjaringkan dua gol menentang pasukan yang ada Vonlanthen, Switzerland.

Empat hari kemudian, pemegang takhta penjaring termuda diambil alih oleh Vonlanthen pada usianya 18 tahun 141 hari, daripada Rooney selepas dia menjaringkan gol ketika pasukannya tewas kepada Perancis.

Pemain Paling Muda Bermain di Perlawanan Akhir – Renato Sanches (Portugal)

Hadir ke pentas Euro 2016 ketika namanya dicanang di media sebagai wonderkid apabila menyertai Bayern Munich dari Benfica, Renato Sanches berdepan tekanan dan tumpuan tentang reputasinya di atas padang.

Dengan tenang, dia mempamerkan aksi cemerlang untuk memaksa pengurus Portugal menurunkannya di atas padang, termasuklah dalam perlawanan akhir, ketika usianya 18 tahun 328 hari.

Hasilnya? Sanches dapat mencium piala agung Eropah itu pada hari yang sama.

Pemain Paling Muda Menjaringkan Gol di Perlawanan Akhir – Pietro Anastasi (Itali)

Sepakan volley kaki kanan Anastasi dari luar kotak penalti telah menggandakan kedudukan buat Itali ketika mereka sedang berhadapan dengan gergasi bola sepak Eropah ketika itu, Yugoslavia, di Rom, pada tahun 1968.

Sepakan yang gagal diselamatkan penjaga gol Yugoslavia itu memberikan takhta penjaring termuda dalam perlawanan akhir Euro buat Anastasi ketika dia berusia 20 tahun dan 63 hari. Selepas kejohanan itu, Anastasi muncul pemain paling mahal di dunia pada zaman tersebut ketika dia berpindah dari Varese ke Juventus pada tahun yang sama.

Sumber : UEFA

BACA:  EURO 2020: Sepanyol 1-1 Poland