Penjaga Gol Belanda Terbabit Pelanggaran Ngeri Terpusing Kepala Semakin Pulih

Penjaga gol Etienne Vaessen yang beraksi bersama kelab Belanda KC Waalwijk semakin pulih daripada kecederaannya selepas pemain itu tidak sedarkan diri dalam perlawanan menentang Ajax pada hujung minggu lalu.

Vaessen mengalami pelanggaran mengerikan sehingga kepala kelihatan seperti berpusing 180 darjah selepas pelanggaran dengan penyerang Ajax Brian Brobbey.

Insiden mengerikan itu berlaku pada minit ke-84 menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan terus, tatkala pasukan medik dan kesulruhan stadium hanya memberikan perhatian terhadap nyawa penjaga gol berusia 24 tahun itu.

Vaessen pada mulanya langsung tidak memberikan reaksi ketika dirawat di dalam padang sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran.

Satu kenyataan daripada KC Waalwijk bagaimanapun situasi Vaessen kini stabil walaupun pemeriksaan dan rawatan lanjut masih diperlukan.

“Kami berharap dia kembali beraksi bersama pasukan secepat mungkin,” kata kenyataan tersebut.

“Untuk Etienne [Vaessen], pada masa ini perkara terpenting adalah untuk pulih dengan tenang pada jam dan hari-hari berikutnya.”

“Untuk itu kami mohon kalian memberikan ruang dan masa untuk dia dan keluarganya menghadapi situasi ini.

“Bagi pihak RKC Waalwijk, kami berharap agar kekuatan diberikan kepada Etienne dan mereka yang berada di sekelilingnya.”

Ketika kejadian tersebut berlaku, pemain Ajax dan Waalwijk kelihatan panik dan menjerit untuk meminta bantuan daripada pasukan medik selepas melihat keadaan penjaga gol itu.

Pemain kedua-dua pasukan turut bersolidariti dengan berdiri di sekeliling pemain itu ketika rawatan diberikan.

Perlawanan dihentikan pada ketika Ajax sedang mendahului 3-2 dengan perlawanan berbaki 6 minit.

Pemain kedua-dua pasukan kemudiannya enggan meneruskan perlawanan kerana terkesan dengan insiden tersebut.

“Perkara ini lebih penting daripada bola sepak. Kami berdoa anda pulih segera,’ tulis Ajax di akaun Twitter kelab.

BACA:  Salah Seorang Mangsa Gugurkan Dakwaan Dikasari Antony