Legenda Arsenal Digantung Setahun Di Belanda Kerana Hantar Mesej Berbaur Lucah

Legenda Arsenal Marc Overmars telah digantung setahun dan tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana aktiviti bola sepak di Belanda selepas mengaku bersalah menghantar mesej berbaur lucah kepada seorang kakitangan wanita ketika bersama Ajax.

Overmars adalah bekas Pengarah Bolasepak Ajax sebelum meninggalkan kelab itu pada Februari 2022 selepas isu mesej itu mulai menjadi sebutan ramai.

Overmars yang turut pernah beraksi sebagai pemain bersama Ajax, Barcelona dan Belanda berkata dirinya malu dengan sikapnya itu dan menganggap kelakuan tersebut tidak boleh diterima sama sekali.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh The Athletic, Overmars diarahkan oleh Tribunal Sukan Belanda (ISR) untuk tidak memainkan peranan di dalam mana-mana aktiviti bola sepak di bawah badan induk bola sepak negara itu, Belanda FA selama dua tahun – setahun daripadanya ditangguhkan.

Buat masa ini hukuman tersebut tidak menjejaskan posisi Overmars di kelab Belgium, Royal Antwerp yang beliau sertai sebulan selepas meninggalkan posisinya di Ajax.

ISR bagaimanapun mahu mendesak agar hukuman tersebut diperluaskan dan sedia membawa kes tersebut kepada FIFA untuk semakan lanjut.

Royal Antwerp setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes tersebut.

Overmars ketika mengumumkan peletakan jawatannya bersama Ajax pada tahun lalu berkata: “Saya amat malu. Minggu lepas saya ditanya oleh wartawan mengenai kelakuan saya, dan bagaimana perkara ini telah menjejaskan ramai pihak.

“Malang sekali saya tidak menyedari saya bertindak melampaui perkara yang sepatutnya pada ketika itu. Kesilapan tersebut hanya disedari beberapa hari lalu. Saya sangat rasa tertekan. Saya memohon maaf.

“Untuk seseorang yang berada di posisi saya, sikap dan kelakuan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali. Ia sangat kelas sekaran, tetapi segalanya sudah terlambat.

“Saya tidak melihat pilihan lain melainkan untuk meninggalkan Ajax.

“Isu ini memberikan impak kepada kehidupan peribadi. Saya hanya merayu agar semua pihak tidak mengganggu keluarga saya.”

Overmars adalah antara pemain Arsenal yang menjuarai Premier League dan Piala FA pada 1998 sepanjang tiga tahun bersama The Gunners.

BACA:  Belanda Umum 26 Pemain Skuad Rasmi EURO 2020