Salah Seorang Mangsa Gugurkan Dakwaan Dikasari Antony

Salah seorang daripada wanita yang mendakwa diri menjadi mangsa keganasan bintang Manchester United Antony telah mengugurkan dakwaan terhadap pemain itu.

Bintang Brazil berusia 23 tahun itu didakwa mengasari bekas teman wanitanya Gabriella Cavallin dalam empat insiden berasingan dan kes tersebut kini disiasat oleh pihak polis Sao Paulo dan Manchester.

Sejak daripada itu Antony konsisten menafikan setiap dakwaan terhadap dirinya.

Selain daripada kes melibatkan Cavallin, Antony turut didakwa terlibat dengan keganasan melibatkan dua lagi mangsa. Ingrid Lana seorang wanita di dalam bidang perbankan melalui temubual di siaran Record TV mendakwa dirinya dikasari oleh pemain itu pada Oktober 2022.

Lana turut mendakwa dirinya berkemungkinan terbunuh akibat tindakan pemain sayap itu.

Kes ketiga melibatkan seorang lagi wanita dalam insiden yang berlaku di dalam sebuah kereta pada 2022 bagaimanapun dilaporkan telah digugurkan sepenuhnya oleh mangsa sendiri.

Pelajar bidang perundangan Rayssa de Freitas mendak dirinya memerlukan rawatan di hospital selepas diserang oleh Antony dan seorang wanita bernama Mallu Ohana – bekas isteri pemain Brazil Dudu – dalam kenderaan Land Rover milik Antony selepas ketiga-tiganya meninggalkan sebuah kelab malam di Sao Paulo.

Menurut laporan The Telegraph laporan terhadap pemain itu yang dilakukan kepada pihak Polis Sao Paulo kini telah ditarik balik sepenuhnya.

Sebelum itu De Freitas mendakwa cuba diserang secara seksual dan dikasari oleh Antony di dalam kenderaan sebelum berjaya melarikan diri ketika kenderaan yang dinaiki itu berhenti di sebuah persimpangan lampu isyarat.

Manchester United sebelum ini mendakwa pihak kelab tidak tahu menahu mengenai insiden tersebut walaupun ianya berlaku tiga bulan sebelum Antony sah menyertai United dengan nilai £85 juta daripada Ajax.

Antony beraksi selama dua musim di Ajax di bawah kendalian Erik ten Hag sebelum melengkapkan perpindahan ke Old Trafford pada 1 September 2022.

United turut mendakwa pihak kelab telah melakukan semakan secara terperinci mengenai pemain itu sebagaimana prosedur yang ditetapkan sebelum perpindahan dilakukan – namun gagal menemui sebarang bukti berkaitan sehingga ia didedahkan oleh media di Brazil.

Antony kini diberikan cuti tanpa tempoh dengan bayaran penuh oleh United untuk menyelesaikan isu keganasan dan jenayah seksual yang mengaitkan dirinya.

Baru-baru ini ejen kepada pemain itu, Reigenaldo Teixeira mendedahkan satu rakaman perbualan bersama salah seorang mangsa yang menggambarkan pemain itu sebenarnya menjadi mangsa penipuan semua wanita yang mendakwa diri mereka mangsa pemain itu.

Rakaman perbualan tersebut telah diterjemah ke dalam bentuk transkrip dan ia boleh menjadi bukti pemain antarabangsa Brazil itu sebenarnya adalah mangsa pembohongan wanita-wanita tersebut, termasuk bekas teman wanitanya, Gabriella Cavallin.

Dalam perbualan tersebut Ingrid Lana yang merupakan mangsa kedua mendakwa dirinya dibayar untuk melakukan penampilan di televisyen.

Wanita itu turut mendakwa Cavallin sengaja mengada-adakan kecederaan untuk memusnahkan karier Antony.

BACA:  Mourinho: Manchester United Tidak 'Selembik' Seperti Yang Didakwa Sesetengah Pihak