Perbandingan Kejuaraan Piala Antara Rangnick, Guardiola, Klopp dan Tuchel

Bola sepak Eropah, terutamanya dalam saingan di peringkat kelab, sentiasa menjadi perhatian dan menarik minat para penyokong sukan ini dari seluruh dunia.

Ini kerana kesemua pemain terbaik dunia kini sedang merumput di benua yang boleh dianggap sebagai pusat ketamadunan bola sepak di atas muka bumi ini. Selain pemain, jurulatih atau pengurus juga ramai yang hebat-hebat, sama ada di England, Jerman, Sepanyol, Itali, Portugal ataupun di Perancis.

Kalau kita bercakap tentang pengurus, Ralf Rangnick boleh dikatakan sebagai pengurus yang paling mendapat perhatian pada hari ini.

Mana tidaknya, dia berani mengambil risiko menduduki kerusi panas di sebuah kelab yang menguasai pentas di England dan Eropah suatu ketika dahulu, Manchester United.

Seperti yang diketahui ramai, Rangnick dipilih sebagai pengurus sementara sehingga tamat musim ini selepas pihak pengurusan tertinggi bertindak memecat legenda kelab selaku pemain, Ole Gunnar Solskjaer selepas pasukan tersebut mempamerkan aksi lemah longlai di atas padang, sehingga dibelasah teruk seteru utama, Liverpool, lima gol tanpa balas.

Pelantikan Rangnick menjadi sebutan di kalangan pemerhati bola sepak kerana pengurus berbangsa Jerman ini diangkat sebagai pencetus kepada gaya permainan yang disebut gegenpressing. Bagi yang tidak tahu, gegenpressing adalah;

1. Perubahan transisi daripada menyerang kepada bertahan
2. Respon pantas untuk memenangi bola semula
3. Melakukan pressing secara teratur dan sistematik
4. Mendapatkan bola semula dalam tempoh 8 saat, atau betulkan bentuk formasi pasukan
5. Halang serangan balas daripada pasukan lawan

Selaku mahaguru pencetus gegenpressing, Rangnick dikatakan mempunyai ramai anak murid yang tersohor dan majhur, dan yang paling sering disebut adalah pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan juga pengurus Chelsea, Thomas Tuchel.

Bila kita label seseorang itu sebagai mahaguru gegenpressing, pasti akan hadir dalam kepala kita bahawa pengurus ini merupakan seorang yang hebat dan juga pernah memenangi pelbagai kejuaraan bersama kelab terdahulu.

Jadi, di atas rasa tanggungjawab selaku netizen yang suka menimbulkan perbalahan di kalangan para penyokong bola sepak kelab Inggeris, kami rasa terpanggil untuk membanding-bandingkan rekod pencapaian Rangnick, berbanding Klopp, Tuchel dan pengurus Manchester City, Josep โ€˜Pepโ€™ Guardiola Sala.

Meskipun Guardiola bukanlah anak murid Rangnick secara langsung, namanya dipetik ke dalam perbandingan ini semata-mata untuk menambahkan pedas di dalam sambal yang ada.

Ralf Rangnick

Secara keseluruhannya, Rangnick telah menjadi seorang jurulatih selama 38 tahun, di mana dia bermula pada usia yang sangat muda โ€“ 25 tahun, bersama kelab Viktoria Backnang, pada tahun 1983.

Secara keseluruhannya, Ranginick pernah menjadi pengurus di 11 kelab โ€“ kesemuanya di Jerman.

Daripada kesemua kelab tersebut, Rangnick pernah menjulang piala pada peringkat tertinggi sebanyak dua kali sahaja;

  • Piala UEFA Intertoto pada tahun 2000 bersama VfB Stuttgart
  • DFB-Pokal (bersamaan dengan Piala FA di Malaysia) pada tahun 2011 bersama Schalke 04.

Kalau dikira sekali dengan kejuaraan liga divisyen kedua dan ke bawah, Rangnick pernah menjulang;

  • Regionalliga Sud pada musim 1997-98 bersama Ulm 1846
  • 2. Bundesliga pada musim 2001-02 bersama Hannover 96

Macam tak banyak, kan?

Tetapi perlu diketahui, Rangnick sebenarnya agak cerewet dalam memilih kelab yang memerlukan khidmatnya. Syarat utamanya adalah dia mempunyai kuasa yang total dari segi pembelian dan pemilihan pemain. Sukar bagi kelab-kelab besar untuk memberikan autoriti sebegitu besar kepada seseorang pengurus.

Lagi pula, sepanjang 38 tahun kariernya sebagai pengurus, Rangnick banyak bertugas sebagai penyelia, sama ada sebagai pengarah teknikal, pengarah sukan atau ketua umum.

Jurgen Klopp

Memulakan karier sebagai pengurus di Mainz 05, Klopp sebenarnya memang sedar bahawa dia lebih berbakat sebagai pengurus berbanding seorang pemain. Sebab itulah pada tahun 1995, ketika berusia 28 tahun, dia telah mengambil diploma dalam jurusan sains sukan di Goethe University of Frankfurt โ€“ sebagai persediaan pasca bermain nanti.

Bersama Mainz, Klopp berjaya membawa naik pasukan ini dari 2. Bundesliga ke Bundesliga dalam tempoh tiga musim. Bakat yang ada padanya telah membuatkannya menerima beberapa lamaran, termasuklah daripada Bayern Munich, sebelum bertindak memilih Borussia Dortmund.

Selepas Dortmund, Klopp menyeberang selat Inggeris untuk berkhidmat kepada pasukan yang ketika itu berada dalam keadaan yang terumbang-ambing, Liverpool.

Namun dengan kepakaran dan kepimpinan yang ada, Klopp berjaya membawa kelab ini ke pentas dunia.

Secara keseluruhannya, berikut adalah senarai piala utama yang pernah dijulang oleh Klopp.

Borussia Dortmund :

  • Bundesliga pada musim 2010-11 dan 2011-12
  • DFB-Pokal pada musim 2011-12

Liverpool :

  • Liga Perdana Inggeris pada musim 2019-20
  • Liga Juara-Juara UEFA pada musim 2018-19

Jumlah keseluruhan : Lima piala (tak termasuk sumbangsih)

Thomas Tuchel

Bermain sebagai pertahanan tengah, Tuchel terpaksa pencen awal gara-gara kecederaan di rawan tulang lutut, pada usia 24 tahun. Usai persaraan, Tuchel pada awalnya menjauhkan diri daripada bola sepak dan bekerja di kedai makan, sebelum dipujuk oleh Rangnick untuk menjadi jurulatih pasukan remaja VFB Stuttgart.

Pada tahun 2007, Tuchel memulakan langkah pertama sebagai ketua jurulatih apabila dia menjadi pengurus pasukan FC Augusburg II, yang bermain di liga negeri. Bakat yang ada padanya telah menarik minat pasukan di divisyen peringkat persekutuan (Bundesliga), lantas Tuchel memilih Mainz 05.

Seperti Klopp, Tuchel mengembangkan kariernya sebagai seorang pengurus dengan meninggalkan Mainz 05 dan menyertai Borussia Dortmund. Keupayaannya di Dortmund telah membuka pintu untuknya menjadi pengurus di kelab yang mempunyai ramai diva, Paris Saint Germain.

Selepas dua musim di ibu kota Perancis, Tuchel memilih untuk menyeberang Selat Inggeris dan menyertai Chelsea.

Berikut adalah kejuaraan yang dimenangi Tuchel sepanjang 14 tahun selaku pengurus.

Borussia Dortmund

  • DFB-Pokal pada tahun 2017

Paris Saint Germain

  • Ligue 1 pada musim 2018-19
  • Coupe de France pada musim 2019-20
  • Coupe de la Ligue pada musim 2019-20

Chelsea

  • Liga Juara-Juara UEFA pada musim 2020-21

Jumlah keseluruhan tanpa mengira piala sumbangsih domestik mahupun benua : Lima kejuaraan

Pep Guardiola

Berbanding dengan tiga individu yang disebut di atas, Guardiola sudah mula dikenali ramai ketika dia masih bergelar pemain di mana dia menjadi tunjang utama pasukan Barcelona daripada tahun 1990 sehingga 2001. Dia bersara sebagai pemain pada tahun 2006 dengan kelab Dorados, Mexico menjadi destinasi terakhir.

Sebaik bersara, Guardiola terus bertugas sebagai pasukan pelapis Barcelona, Barcelona B untuk musim 2007-08.

Pada musim berikutnya, Guardiola terus diangkat sebagai pengurus pasukan utama Barcelona daripada musim panas 2008 sehingga ke musim panas 2012.

Selepas berehat selama setahun, Guardiola memilih untuk menyertai gergasi Jerman, Bayern Munich di mana dia berkhidmat selama tiga musim. Sebaik tamat kontrak, Guardiola terus menyertai Manchester City dan kekal sehingga ke hari ini.

Dengar cerita, dia akan meninggalkan kelab terbaik Manchester ini pada tahun 2023 nanti.

Berikut adalah senarai kejuaraan yang dikecapi oleh Guardiola selaku pengurus.

Barcelona

  • La Liga pada musim 2008-09, 2009-10, 2010-11
  • Copa Del Rey musim 2008-09, 2011-12
  • Liga Juara-Juara UEFA pada musim 2008-09 dan 2010-11
  • Piala Dunia Kelab FIFA pada tahun 2009 dan 2011

Bayern Munich

  • Bundesliga pada musim 2013-14, 2014-15, 2015-16
  • DFB-Pokal musim 2013-14 dan 2015-16
  • Piala Dunia Kelab FIFA pada tahun 2013

Manchester City

  • Liga Perdana Inggeris pada musim 2017-18, 2018-19, dan 2020-21
  • Piala FA pada tahun 2019
  • Piala Liga pada tahun 2018, 2019, 2020 dan 2021

Jumlah keseluruhan : 23 piala

Kesimpulan

Sebenarnya tiada apa sangat pun yang dapat disimpulkan melainkan Guardiola adalah seorang pengurus yang paling hebat yang ada di atas muka bumi pada hari ini. Tetapi kalau nak dibandingkan dengan tiga pengurus yang lain, Guardiola tidak pernah memegang kelab yang bukan menjadi pilihan.

Akan tetapi itu tidak bermaksud kredibilitnya sebagai pengurus boleh diperlekehkan. Kita kena tahu, kerana Guardiola muncul lah, satu dunia mula sedar bahawa bola sepak sebenarnya boleh dimainkan secaraย posession.

Pada masa yang sama, setiap pengurus di atas mempunyai cara permainan dan minat yang tersendiri. Contohnya, Rangnick banyak menghabiskan masa sebagai pentadbir berbanding jurulatih.

Tuchel pula lebih suka memakai jaket memancing di tepi padang, manakala Klopp ialah pengurus yang boleh dikatakan mempunyai gegenpressing jenamanya sendiri.

Sumber : Wikipedia, Encik Bakri The Sukan

BACA:ย  Sebab Mengapa Ralf Rangnick Tak Suka Dengan Darren Fletcher