Perlawanan Persahabatan Atletico Bertemu Feyenoord Dicemari Insiden Pergaduhan Besar

Insiden Pergaduhan besar telah mencemarkan aksi perlawanan persahabatan yang menemukan antara Feyenoord bertemu Atletico Madrid.

Diego Simeone sendiri turut berlari masuk ke padang ketika pergaduhan itu sedang berlaku dengan pemain Atletico Madrid dilayangkan dengan layangan kad merah.

Aksi perlawanan persahabatan itu telah dicemari dengan insiden panas yang berlaku pada minit ke-40 permainan, yang mana Yannick Carrasco mencetuskan kemarahan pemain Feyenoord.

Carrasco dilihat menyepak pemain Feyenoord dan kemudian menunjukkan reaksi tidak sopan dan hal tersebut mengundang kemarahan para pemain pasukan tuan rumah.

Carrasco selepas menyepak Tyrell Malacia beliau segera bangun dan memaki hamun pemain Feyenoord itu.

Orkun Kokcu yang ketika itu berada berhampiran dengan mereka segera datang dan terus menolak Carrasco lalu mencetuskan kekecohan.

Pemain sayap Belgium itu kemudiannya ditolak ke tepi orang rakan sepasukannya, namun para pemain dari kedua-dua pasukan mula masuk campur dan situasi tolak menolak berlaku.

Carrasco masih terus menunjukkan kemarahannya sambil rakan sepasukannya yang lain cuba menenangkan keadaan.

Pengurus Atletico, Diego Simeone terus berlari masuk ke padang untuk menenangkan anak-anak buahnya dengan beliau dilihat tidak gembira melihat insiden tersebut.

Simeone terus mencari Carrasco dan memarahi pemainnya itu sambil pengadil perlawanan melayangkan kad merah pada bintang Belgium itu.

Sebelum berlakunya insiden panas itu, Feyenoord terlebih dahulu sudah di depan dengan Bryan Linssen membuka tirai jaringan pada minit ke-18 permainan.

Masuk aksi babak kedua permainan, walau beraksi dengan 10 pemain, Atletico Madrid berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Angel Correa pada minit ke-83 permainan.

Ketika perlawanan masuk ke masa kecederaan, Naoufal Bannis berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk Feyenoord menewaskan Atletico Madrid 2-1.

Walau ada insiden pergaduhan besar dan perlawanan nampak agak panas, namun sebenarnya pengadil perlawanan berjaya mengawal perlawanan dengan sangat baik.

Selain kad merah yang dilayangkan kepada Carrasco, pengadil perlawanan hanya mengeluarkan satu kad kuning sahaja dalam perlawanan ini kepada Sime Vrsaljko.

Selepas wisel penamat dibunyikan, keadaan di atas padang masih kecoh dengan Diego Simeone dilihat memarahi pengadil perlawanan.

Apa yang lebih mengejutkan lagi, ketika pengurus Feyenoord, Arne Slot cuba menghulurkan tangan pada Diego Simeone, pengurus Atletico Madrid itu terus menolaknya seakan mahu mengajak bergaduh.

Para pemain kemudiannya menenangkan keadaan namun pengurus Feyenoord jelas terkejut dengan situasi tersebut.

Beliau tentunya kebingungan memikirkan apa kesalahan yang telah beliau lakukan hingga Simeone bengang dan menunjukkan reaksi seperti itu.

Seperti ketam mengajar anaknya berjalan, begitulah ungkapan yang sesuai untuk Diego Simeone yang memarahi Carrasco kerana terlalu beremosi, namun selepas tamat perlawanan, beliau pula mencari gaduh dengan pengurus pasukan lawan.

Satu perlawanan persahabatan yang agak panas dan boleh dianggap seperti pertemuan musuh tradisi yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.

Perlawanan persahabatan ini merupakan aksi pra musim terakhir untuk kedua-dua pasukan dengan mereka akan kembali membuat persiapan akhir menjelang bermulanya musim baharu nanti.

Carrasco menarik baju pemain pasukan Feyenoord

Atletico Madrid dalam usaha mereka untuk mempertahankan gelaran La Liga, sementara Feyenoord akan cuba sehabis baik untuk menghabiskan saingan Eredivisie musim hadapan setidak-tidaknya di kelompok empat teratas.

Menjelang bermulanya musim baharu ini nanti, Atletico Madrid berkemungkinan akan kehilangan khidmat dua pemain mereka, Saul Niguez dan Kieran Trippier yang kini sedang diintai oleh pasukan lain.

Arsenal dilaporkan sangat berminat untuk menandatangani Kieran Trippier, sementara Liverpool, Barcelona dan Manchester United pula berminat untuk mendapatkan Saul Niguez.

Dengan jendela perpindahan masih dibuka, tiada yang mustahil untuk berlaku dan tidak mengejutkan untuk melihat kedua-dua pemain itu meninggalkan kelab dalam tempoh beberapa hari ke depan ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  RASMI: Griezmann Akan Tinggalkan Atletico Madrid Hujung Musim Ini