Pertahanan Terbaik Premier League Bakal Ke Old Trafford Kerana Pengaruh Ralf Rangnick

Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick bakal menjadi kunci utama untuk Manchester United mendapatkan khidmat Antonio Rudiger pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Pemain pertahanan Chelsea, Rudiger merupakan antara pemain terpenting dalam sistem kendalian Thomas Tuchel, namun kontrak beliau bersama The Blues akan tamat pada penghujung musim ini nanti.

United merupakan antara kelab yang sangat berminat untuk menandatangani Rudiger dengan pengaruh Ralf Rangnick dikatakan bakal membantu untuk rundingan ini berjaya dimuktamadkan.

Menurut Christian Falk, pengurus berusia 63 tahun itu dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan ejen Rudiger dan abang tirinya, Sahr Senesie.

Senesie dikatakan berminat dan mahu berunding dengan Manchester United dalam usahanya untuk mendapatkan tawaran terbaik untuk adik tirinya itu.

Thomas Tuchel sangat berminat untuk memujuk Rudiger agar terus kekal di Stamford Bridge memandangkan pertahanan Jerman itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mengagumkan sejak beliau mengendalikan kelab pada Januari lalu.

Walau bagaimanapun, Antonio Rudiger dilaporkan meminta gaji lebih dari £160,000 seminggu yang ditawarkan oleh Chelsea kepadanya.

Rudiger dilaporkan meminta kelab agar menawarkan kepadanya gaji bernilai £230,000 – £290,000 seminggu.

Real Madrid, Bayern Munich dan Paris Saint Germain kesemuanya dikatakan sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Rudiger.

Pemain berusia 28 tahun itu sebelum ini pernah mengakui yang beliau mahu melengkapkan perpindahan pada musim panas sebelum akhirnya mengubah fikiran beliau.

“Yeah (saya sudah hampir pergi), cara bagaimana semuanya berjalan baik untuk saya mahupun untuk kelab.”

Jelas Rudiger kepada Sky Sports.

“Tapi pada jangka masa musim sejuk, saya tidak berhasrat untuk pergi sejujurnya. Saya lebih berminat untuk pergi pada musim panas nanti.”

“Tapi Thomas Tuchel datang dan semuanya berubah. Dia membuka pintu baru untuk saya… Dia memainkan peranan yang cukup besar.”

Rudiger telah beraksi sebanyak 15 perlawanan sepanjang musim ini, dengan beliau turut cemerlang menjaringkan dua gol dalam membantu Chelsea untuk mencabar kejuaraan liga.

The Blues juga berpotensi untuk kehilangan Thiago Silva, Andreas Cheistensen dan Cesar Azpilicueta yang kini sedang memasuki fasa enam bulan terakhir dalam kontrak mereka.

Silva dan Christensen dijangka tiada masalah untuk menandatangani kontrak baru, namun ketua pasukan, Cesar Azpilicueta dijangka akan meninggalkan kelab pada musim panas nanti.

Tuchel sangat yakin yang kesemua empat pemain akan sanggup memperbaharui kontrak mereka dan terus kekal bersama kelab.

“Kita sedang melalui hal ini dengan penuh kesabaran. Kita juga melalui ini dengan keyakinan dan kita melalui ini dengan kepercayaan dalam perhubungan antara pemain dan kelab.”

“Saya rasa semua pemain ini sangat tahu bagaimana kami menghargai mereka dan betapa besarnya peranan mereka dalam perancangan kami. Saya rasa mereka semua sedar tentang itu dan tidak akan mengabaikan semuanya begitu saja.”

“Sudah tentu, semuanya hak mereka untuk lakukan apa saja sekarang, tapi menjadi hak mereka juga untuk kekal bersama kami dan menjadi sebahagian dari masa hadapan Chelsea.”

Seperti yang disebutkan di atas, Thiago Silva dan Andreas Cheistensen jelas bakal menandatangani kontrak baru bersama Chelsea selepas ini.

Namun untuk Cesar Azpilicueta dan Antonio Rudiger, kedua-dua mereka sepertinya tidak akan kekal dan bakal memilih untuk meninggalkan kelab sebaik kontrak mereka tamat nanti.

Selain memiliki barisan pemain pertahanan sedia ada, kehilangan dua pemain utama jelas sekali akan memberi impak kepada skuad Chelsea, dan mereka tentunya bakal berusaha menandatangani pemain baru pada musim panas akan datang.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Rangnick Klaim Dirinya Watak Penting Kehebatan Liverpool: "Ramai Pemain Saya Kat Situ"