Fédération Internationale de Football Association (FIFA) akhirnya mengesahkan sistem Video Assistant Referee (VAR) akan digunakan dalam saingan Piala Dunia 2018 yang bakal diadakan di Russia musim panas nanti.
Presiden FIFA, Gianni Infantino mengesahkan keputusan tersebut telah dipersetujui Jumaat lalu dalam satu mesyuarat pengadilan yang diadakan di Colombia.
Penggunaan VAR memang sudah dijangka selepas International Football Association Board (IFAB) mencapai persetujuan untuk membenarkan teknologi ini digunakan awal bulan ini, selepas dua tahun menjalani tempoh percubaan.
Infantino sendiri secara peribadi pernah menyatakan sokongan beliau sebelum ini mengenai penggunaan VAR dalam bolasepak antarabangsa.
“Kita akan menyaksikan penggunaan VAR buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Piala Dunia. Teknologi ini sudah digunakan dan diterima ramai, dan kami berasa sangat gembira dengan keputusan ini.”
“Keputusan ini dicapai selepas melalui tempoh percubaan dimana kami menggunakan teknologi ini di lebih seribu perlawanan sepanjang dua tahun ini. Hasil ujian menunjukkan VAR bakal memberikan jaminan untuk membantu pengadil ketika perlawanan berlangsung.”
“Ia akan menjadikan sukan ini lebih adil dan telus yang mana itu adalah matlamat utama kami di FIFA. Pengadil menggalas banyak tugas di atas padang dan kadang kala mereka boleh melakukan kesilapan seperti manusia yang lain.”
“Jika teknologi VAR mampu membantu pengadil untuk memperbetulkan kesilapan mereka di atas padang, kami bersedia menggunakannya dalam bolasepak.”
Tetapi bukan semua pihak berpuas hati dengan teknologi ini. Musim ini menyaksikan teknologi VAR telah diguna pakai dalam Piala Carabao dan Piala FA.
Pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino antara individu yang kritikal dengan penggunaan VAR dalam bolasepak dimana beliau mendakwa teknologi ini akan membunuh emosi dalam sukan ini.
Dalam perlawanan Piala FA menentang Rochdale, Spurs melihat satu jaringan mereka dibatalkan dan sepakan penalti mereka turut dibatalkan melalui teknologi VAR. Perlawanan terpaksa diberhentikan beberapa kali kerana pengadil perlu berkomunikasi dengan pegawai yang menjaga VAR untuk mendapatkan nasihat.
“Bolasepak adalah sukan yang berkisar mengenai emosi. Teknologi ini mungkin akan membunuh segala emosi dalam bolasepak. Saya rasa peminat yang cintakan bolasepak sudah tentu tidak akan gembira dengan apa yang mereka lihat dalam perlawanan tadi.”
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin pula dipetik berkata teknologi VAR tidak akan digunakan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
“Tiada siapa tahu sama ada teknologi VAR ini akan berkesan atau tidak. Sudah berlaku banyak kekeliruan melibatkan penggunaan VAR dalam bolasepak sebelum ini.”
“Saya bukanlah menentang teknologi ini tetapi kami mahu ia terbukti berkesan dahulu sebelum kami menggunakannya dalam Liga Juara-Juara. Kita akan lihat apa yang bakal berlaku di Piala Dunia nanti.”