Queiroz Hentam Klinsmann Kerana Label Permainan Kasar Adalah ‘Budaya Iran’

queiroz klinsmann

Jurulatih Iran, Carlos Queiroz telah tampil menghentam Jurgen Klinsmann yang telah melabel permainan kasar adalah ‘Budaya Iran‘ dan memberi aib kepada bola sepak.

Hanya Klinsmann sahaja yang tahu niat sebenar dia membuat tuduhan sebegitu berat kepada Iran walaupun permainan kasar dan fizikal lumrah dalam bola sepak dan tiada kaitan dengan budaya sesebuah negara atau tempat pasukan itu berasal.

Legenda Jerman itu kini bertugas sebagai pakar bola sepak bersama BBC dan komen itu dibuat ketika liputan pertembungan antara Wales dan Iran di Kumpulan B.

Iran menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk meraih kemenangan penting, yang mencerahkan peluang mereka untuk mara ke pusingan 16 terakhir kejohanan.

Tetapi di sebalik kemenangan Iran ke atas Wales, Klinsmann jelas tidak senang dengan pendekatan fizikal yang telah diterapkan oleh pasukan Iran.

Dalan perlawanan itu Iran telah melakukan 10 kesalahan dan dua kad kuning diberikan menyebabkan Klinsmann mendakwa bahawa pendekatan kasar itu adalah sebahagian daripada “budaya” orang Iran.

Jika diikutkan kepada statistik Wales melakukan 9 kekasaran dengan satu kad kuning termasuklah satu keganasan yang membawa kad merah kepada penjaga gol mereka, Wayne Hennessey.

Satu kejahatan yang setara antara kedua-dua pasukan dan Wales jelas kelihatan lebih jahat dengan penguasaan permainan 63 peratus.

Quieroz telah menjadi mangsa pertanyaan tidak berkaitan bola sepak dari media Inggeris yang bertanya mengenai hak wanita dan juga mengenai protes di Iran.

Komen Klinsmann itu mengundang kritikan ramai pihak. Mereka mulai mempersoalkan, di mana buktinya budaya orang Iran suka bermain kasar? Ia adalah sebahagian daripada bola sepak dan sangat berbeza serta tiada kaitan dengan budaya sesebuha masyarakat, tempat apatah lagi negara.

Klinsmann bukan sahaja telah mengutuk Iran malahan seperti membuat serangan peribadi kepada Carlos Queiroz

“Itu budaya mereka, itulah cara mereka melakukannya. Itulah sebab Carlos Queiroz sangat sesuai dengan pasukan kebangsaan Iran. Dia bergelut di Amerika Selatan, gagal layak bersama Colombia kemudian gagal layak bersama Mesir juga,”

“Sejurus sebelum Piala Dunia dia kembali dan membimbing Iran di mana dia bekerja untuk masa yang lama. Ini bukan secara kebetulan, semuanya sudah dirancang. Ia adalah sebahagian daripada budaya mereka dan cara mereka bermain.”

“Ia mungkin nasib berbeza akan ditanggung mereka apabila diadili pengadil yang lain,” kata Klinsmann yang turut mengecam prestasi pengadil.

Seperti penuh dendam, Klinsmann menuduh pemain simpanan Iran melakukan provokasi dan mengganggu penjaga garisan dan pegawai keempat.

“Bangku simpanan mereka sentiasa melompat dan mengganggu penjaga garisan dan pegawai keempat di tepi padang. Mereka sentiasa berteriak di telinga dan muka anda.”

“Keiffer Moore mungkin akan memberitahu anda beberapa cerita selepas perlawanan ini, dia berdepan banyak insiden kecil di sana yang kita tidak nampak.”

“Ini adalah budaya mereka, mereka membuatkan anda kehilangan tumpuan dan fokus anda, perkara yang sangat penting bagi anda di atas padang. Ia akan berbeza dengan pengadil lain. Hari ini mereka dapat pengadil Guatemala”

“Saya bekerja di Amerika Syarikat selama enam tahun dan pergi ke Guatalmala, Honduras, Costa Rica. Ini pada asasnya sesuai dengan budaya mereka. Lima orang pergi mengelilingi pengadi dan pegawai dan bercakap.”

Carlos Quieroz nyata bengang dengan kenyataan dari Klinsmann itu yang telah menghakiminya dengan penuh prejudis serta berniat jahat membuat satu kenyataan di media sosial rasminya:

“Ke hadapan Jurgen; kamu mengambil inisiatif untuk memanggil saya Carlos, jadi saya percaya adalah wajar untuk memanggil anda Jurgen. Betul? Walaupun tidak mengenali saya secara peribadi, anda mempersoalkan watak saya dengan pertimbangan yang tipikal dengan prasangka yang melampau.”

“Tidak kira betapa saya menghormati apa yang anda lakukan di dalam padang, kenyataan itu mengenai Budaya Iran, Pasukan Kebangsaan Iran dan Pemain saya adalah memalukan bola sepak.”

“Tiada siapa yang boleh menjejaskan integriti kami jika ia berada di tempat kami, sudah tentu.”

Carlos Quieroz telah menjemput Klinsmann untuk datang menjadi tetamu ke kem pasukan kebangsaan Iran bagi mempelajari budaya Iran yang suka dan menghormati bola sepak.

“Walaupun kamu berkata demikian, kami ingin menjemput kamu datang sebagai tetamu kami, untuk datang ke Kem Pasukan Kebangsaan kami, beramah mesra dengan pemain Iran dan belajar daripada mereka tentang Negara, rakyat Iran, syair dan seni, algebra, semua budaya Parsi milenium dan juga mendengar daripada pemain kami betapa mereka suka dan menghormati bola sepak.”

“Sebagai orang Amerika/Jerman, kami memahami kamu tidak akan memberikan sokongan kepada kami. Tiada masalah. Dan walaupun kenyataan keterlaluan anda di BBC cuba melemahkan usaha, pengorbanan dan kemahiran kami, kami berjanji kepada anda bahawa kami tidak akan mengeluarkan sebarang penilaian mengenai budaya, asal-usul dan latar belakang anda dan menegaskan bahawa anda akan sentiasa dialu-alukan ke Keluarga kami.”

“Pada masa yang sama, kami hanya ingin mengikuti dengan penuh perhatian apakah keputusan FIFA berhubung kedudukan anda sebagai ahli Kumpulan Kajian Teknikal Qatar 2022. Kerana, jelas sekali, kami mengharapkan anda meletakkan jawatan sebelum anda melawat kem kami.”

“Carlos.”

Quieroz juga berharap FIFA mengambil tindakan ke atas Klinsmann yang merupakan ahli Kumpulan Kajian Teknikal Qatar 2022 dan perlu meletakkan jawatannya itu.

Pertembungan antara Iran dan Amerika Syarikat menjadi satu pertembungan unik bukan sekadar perlawanan bola sepak melibatkan hubungan politik antara kedua-dua negara itu.

Mungkin atas dasar kerana Klinsmann pernah menjadi jurulatih Amerika Syarikat, legenda Jerman itu menanam kebencian kepada Iran lalu menjadikan pasukan bola sepak Iran sebagai mangsa.

BACA:  "Tak Suka Cara Saya Cari Jurulatih Lain" - Klinsmann Persoal Keperluan Wajib Berada Di Korea