Kejayaan Lion City Kejutkan Jeonbuk Di ACL Adalah Amaran Singapura Untuk Korea Selatan- Klinsmann

Di atas kertas kedudukan Korea Selatan dan Singapura ibarat langit dan bumi. Tatkala pasukan dengan gelaran Taeguk Warriors itu kini berada di kedudukan ke-24 di dalam ranking FIFA, Singapura pula berada di kedudukan ke-155 dunia.

Walaupun demikian, Son Heung-min dan Klinsmann enggan memandang mudah perlawanan tersebut, apatah lagi setelah Jeonbuk Hyundai Motors dimalukan oleh kelab Singapura, Lion City Sailors dengan kekalahan 2-0 di saingan AFC Champions League (ACL) di Stadium Jalan Besar pada 8 November lalu.

Dan untuk pertemuan kedua-dua pasukan di pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 pada jam 7:00 malam ini, separuh anggota skuad Singapura terdiri daripada pemain Lion City Sailors yang menyebabkan kapten pasukan Son Heung-min dan pengendali pasukan Juegen Klinsmann enggan memandang enteng pasukan lawan itu.

“Kami akan menghadapi perlawanan ini dengan serius. Dan seperti apa yang dikatakan jurulatih kepada kami setiap hari, kami perlu melakukan perkara asas dengan baik terlebih dahulu, dan kemudian kita akan melihat perkraa seterusnya,” kata bintang Tottenham itu.

“Tidak ada perlawanan mudah dan kami akan bermain perlawanan esok (hari ini) dengan serius sepertimana perlawanan lain.”

Son pernah beraksi di Singapura pada Julai lalu bersama Tottenham dalam perlawanan pra musim menentang Lion City Sailors.

Son beraksi pada babak pertama perlawanan tersebut yang berakhir dengan kemenangan 5-1 kepada kelab Premier League itu.

“Saya hanya beraksi pada babak pertama dan ia adalah perlawanan pertama pra musim. Tetapi saya masih ingat ia adalah perlawanan yang sukar. Saya juga masih ingat beberapa pemain yang memberikan kesukaran kepada kami, dan mereka berpotensi mengecewakan kami esok.

Klinsmann turut hadir ke Singapura pada minggu lalu dan menyaksikan Lion City mengejutkan Jeonbuk di pertandingan ACL.

“Keputusan perlawanan itu adalah satu amaran,” kata jurulatih dari Jerman itu.

“Kami menjangkajkan mereka akan beraksi sehabis mungkin. Apabila bermain dalam perlawanan di mana anda adalah pasukan pilihan, anda harus pastikan setiap butiran secara serius.

“Itulah yang kami akan lakukan dan kami tidak boleh memandang rendah Singapura walaupun satu saat dalam permainan. Ini kerana mereka boleh membawa padah terutama melalui serangan balas atau gerakan set-pieces.

“Kami sudah bersedia. Kami mengenali pemain mereka, menganalisis permainan mereka, dan melakukan kerja rumah secukupnya untuk perlawanan ini.”

BACA:  Piala Dunia 2022: Brazil 4-1 Korea Selatan