Bekas Kapten Taeguk Warriors Sejujurnya Gembira Lihat Harimau Malaya Kembali Warnai Piala Asia

Bekas kapten skuad kebangsaan Korea Selatan Koo Ja Cheol berkata dirinya sangat gembira untuk melihat Malaysia kembali beraksi di pusingan akhir Piala Asia yang akan berlangsung dari 12 Januari sehingga 10 februari akan datang di Qatar.

Kejohanan antarabangsa berprestij rantau Adsia ini menyaksikan jumlah penambahan jumlah pasukan daripada 16 kepada 24 pada edisi kali ini – membenarkan Malaysia melakukan penampilan semula selepas 43 tahun.

Menurut Ja Cheol penambahan sehingga lapan pasukan untuk kejohanan ini akan memberikan nilai tambah kepada kejohanan Piala Asia kali ini.

“Saya berpendapat menambahkan jumlah pasukan untuk Piala Asia kepada 24 pasukan menjadikan pertandingan ini lebih menarik. Ia membenarkan kami untuk melihat lebih banyak persaingan daripada pasukan-pasukan dari seluruh Asia,” kata Ja Cheol ketika ditemubual oleh the-afc.com.

“Sejujurnya semua kumpulan kelihatan menarik dengan beberapa pasukan kembali mewarnai pertandingan ini sejak sekian lama. Saya teruja untuk mengikuti kejojanan kali ini terutama Kumpulan E di mana Korea Selatan berada.”

Di dalam kumpulan tersebut, Malaysia yang kini berada di ranking ke-130 dunia turut disertai oleh Jordan (ke-87 dunia) dan Bahrain (ke-86 dunia) selain Korea Selatan (ke-23 dunia).

Malaysia akan berhadapan dengan cabaran daripada Taeguk Warriors pada 25 Januari hadapan, dan perlawanan tersebut pasti akan menyingkap kembali persaingan silam di antara kedua-dua pasukan sebagai jaguh bola sepak di rantau Asia puluhan tahun lalu.

“Lebih menggembirakan ialah apabila melihat pasukan seperti Malaysia dan Hong Kong kembali beraksi kerana kedua-dua pasukan ini dikenali dengan kumpulan penyokong yang luar biasa,” tambah Ja Cheol.

Ja Cheol menjaringkan lima gol untuk Korea Selatan di Piala Asia 2011 yang menjadikannya pemenang Anugerah Kasut Emas. Kejohanan tersebut turut berlangsung di Qatar pada ketika itu.

Kali terakhir Korea Selatan bergelar juara Piala Asia adalah pada 1960 dan bekas penyerang itu berharap pasukan negaranya kendalian Jurgen Klinsmann mampu mengulangi kejayaan sama setelah sekian lama tidak bergelar juara.

“Ketika era saya sasaran kami adalah untuk memenangi trofi, malangnya kami gagal melakukannya.

“Korea Selatan sentiasa beraksi dengan baik di Piala Asia tetapi kami sudah lama tidak bergelar juara. Maka saya berharap skuad sedia ada mampu membawa kejayaan pada kali ini.”

Bekas pemain FC Augsburg itu turut menyatakan kekaguman terhadap kualiti dimiliki skuad kendalian Jurgen Klinsmann dan percaya pasukan itu mampu meraih kejuaraan terutama dengan adanya bantuan kapten Tottenham, Son Heung-min.

“Pasukan ini mempunyai pemimpin yang kuat seperti Sonny dan saya mahu melihat dia menjulang trofi. Dia sudah pun bergelar legenda di kalangan legenda di Korea Selatan, dan dia mampu memberikan kegembiraan kepada rakyat Korea Selatan.

“Lihat juga pemain di sekelilingnya. Kim Min-jae juga beraksi dengan cemerlang bersama Bayern Munich.

“Saya juga gembira dengan prestasi Lee Jae Sun (Mainz) dan peminat bola sepak di negara ini turut gembira dengan apa yang ditampulkan oleh Lee Kang-in.

“Jadi anda boleh melihat bagaimana ramainya pemain berkelas dunia di dalam pasukan ini.”

BACA:  Media Antarabangsa Mahu Gol Tak Jejak Tanah Safawi Rasid Dicalonkan Untuk Puskas