Piala Asia B23: Korea Selatan 4-1 Malaysia

Brad Maloney telah membawa 23 pemain bagi menghadapi cabaran saingan Piala Asia B23 2022 yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan bermula 1 Jun hingga 19 Jun 2022.

Tiada perubahan dalam skuad Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam sebelum ini apabila Brad Maloney mengekalkan semua 20 pemain dan membawa masuk tiga pemain baharu untuk melengkapkan pasukan.

Bagi saingan edisi kali ini, Malaysia telah diundi bersama Republik Korea Selatan, Thailand dan Vietnam dalam Kumpulan C yang merupakan kumpulan yang agak keras.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang kelakar telah menarik balik sasaran awal untuk ke separuh akhir dan tidak meletakkan sebarang sasaran baru uang lebih realistik.

Untuk kejohanan ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya mahu para pemain ini menimba pengalaman secukupnya sahaja.

Persiapan skuad Brad Maloney kali ini sangat kucar-kacir dan Sukan Sea Hanoi adalah satu-satunya medan uji para pemain sebelum ke Piala Asia ini.

Skuad bawah 23 tahun Malaysia terus diuji dengan cabaran yang sangat besar apabila bertemu penyandang juara Piala Asia B23, Korea Selatan pada perlawanan pembukaan.

Skuad Korea Selatan kali ini bukan saja datang dengan status juara malahan dibarisi oleh pemain yang menjadi naib juara Piala Dunia bawah 20 tahun 2019.

Selain pemain yang berkelanan di Eropah ada juga pemain Korea Selatan yang berpengalaman di pentas AFC Champions League (ACL).

Terdapat beberapa pemain yang menggunakan pentas Piala Asia B23 untuk membuktikan kehebatan bagi merebut tempat dalam pasukan senior untuk ke Piala Dunia Qatar.

Korea Selatan tampak bermula garang dari awal permainan yan terus mengasak namun pemain Harimau Muda tenang menyerap asakan dan memberi reaksi balas.

Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak telah melakukakan percubaan pertama pada minit keempat memaksa penjaga Korea Selatan melayangkan badan membuat tepisan.

Kemudian Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi melakukan satu percubaan berani dari jarak jauh yang sedikit tersasar. Tiada gentar dari pemain muda negara.

Selepas itu Korea Selatan terus menguasai permainan dengan asakan demi asakan. Banyak percubaan Korea Selatan hadir melalui percubaan jarak jauh.

Harith Haiqal Adam Afkar telah melakukan satu terjahan menggelongsor padu untuk merampas bola pemain Korea Selatan yang berjaya lolos.

Pada minit ke-30, Ketua pasukan Korea Selatan Lee Sang Min akhirnya membuka tirai jaringan perlawanan melalui satu sundulan yang berpunca dari sepakan penjuru.

Malaysia bergelut untuk membalas serangan dengan ketepatan hantaran hanya 77 peratus berbanding Korea Selatan dengan 89 peratus ketepatan hantaran.

Berbaki lima minit separuh masa pertama barulah Malaysia boleh kembali masuk ke kotak penalti Korea Selatan tanpa menghadirkan ancaman yang boleh menghasilkan gol.

Penjaga gol Malaysia, Rahadiazli melakukan tiga penyelamatan penting bagi menafikan gol tambahan dari Korea Selatan.

Tiga minit babak kedua bersambung, Korea Selatan terus menggandakan kedudukan melalui Kim Tae Hwan.

Pemain Korea Selatan mempunyai kualiti pemain yang lebih baik berbanding Malaysia dari segi fizikal, kepantasan dan kemahiran bersama bola.

Lantaran kualiti hantaran Malaysia yang agak teruk sukar untuk merencanakan serangan dan kehilangan penguasaan bola dengan mudah.

Video Assistant Referee (VAR) digunakan dalam perlawanan ini dan telah memberi keadilan kepada Malaysia selepas bola terkena tangan namun tolakan terlebih dahulu terjadi.

Ketua pasukan Malaysia, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi meniup semangat kebangkitan Harimau Muda dengan jaringan yang mengurangkan defisit.

Ketenangan penyudah dipamerkan oleh Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi ketika berdepan penjaga gol Korea Selatan dalam situasi satu lawan satu.

Pada minit ke-89 Cho Young Wook membunuh permainan dengan gol ketiga Korea Selatan untuk meraih 3 mata pertama.

Di masa kecederaan Korea Selatan terus menjarakkan kedudukan dengan gol keempat juga melalui Cho Young Wook.

Kesebelasan Utama Malaysia B23 : Muhammad Rahadiazli Rahalim, Quentin Cheng Jiun-ho, Harith Haiqal Adam Afkar, Muhammad Azrin Afiq Rusmini, Muhammad Azam Azmi Murad, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, Muhammad Safwan Mazlan, Ahmad Zikri Mohd Khalili.

Pemain Simpanan : Muhammad Azri Ab Ghani, Ahmad Danial Ahmad Asri, Muhamad Syahir Bashah, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Syafik Ismail, Muhammad Hairiey Hakim Mamat, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Muhammad Shafi Azswad Sapari, Mohd Aiman Afif Md Afizul, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.

BACA:Β  Sukan SEA 2021: Malaysia 1-1 Indonesia* (Pen 3-4)