“Saya Bukannya Jurulatih Kelab K League”- Klinsmann Mahu KFA Buka Saja Cawangan Untuknya Bekerja Dari Eropah

Dalam kenyataan terbarunya Ketua Jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann mahu Persatuan Bolasepak Korea Selatan membuka sebuah cawangan atau pejabat untuknya di Eropah.

Jurulatih itu sebelum ini dikritik oleh media di Korea Selatan atas prestasi serba tidak menentu skuad Taeguk Warriors sejak dikendalikan bekas pengendali skuad kebangsaan Amerika Syarikat itu.

Malah media dan pemerhati bola sepak di Korea Selatan sebelum ini turut membidas Klinsmann kerana lebih kerap berada di luar negara berbanding di Korea Selatan walaupun bergelar pengendali skuad kebangsaan negara itu.

Kerja-kerja memantau bakat tempatan di K League pula lebih banyak dilakukan oleh pembantunya sepanjang tempoh itu.

Melalui kenyataan terbarunya menjelang jendela perlawanan antarabangsa FIFA Oktober ini, Klinsmann sekali lagi menjadikan hubungannya dengan media di negara itu tegang dengan kenyataannya.

“Saya bukannya pengurus kelab K League. Kerja saya adalah [di perlawanan] antarabangsa.

“Jika anda mahu memjuarai kejohanan antarabangsa, anda harus berfikir secara international.

“Pejabat saya ialah dimana laptop saya berada. Ia pasti bagus sekiranya KFA boleh membuka cawangan pejabatnya di Eropah,” kata Klinsmann dengan sinis untuk menjelaskan kedudukannya.

Sebelum ini Klinsmann pernah berkata dan mengarahkan agar KFA mencari sahaja jurulatih lain sekiranya tidak senang dengan cara dan kaedahnya mengendalikan pasukan negara itu.

“Menetap di Korea adalah tidak munasabah apabila tiada apa-apa yang boleh dilakukan di Seoul. Lebih baik berada di Eropah agar dapat bertemu ramai orang.

“Inilah saja cara untuk terus membangunkan bola sepak di Korea. Jika anda tidak suka, pergilah cari jurulatih lain. Saya tidak peduli,” ujar Klinsmann dalam satu temubual,” kata Klinsmann pada September lalu.

Sejak mengendalikan Korea Selatan jurulatih Jerman itu setakat ini gagal memberikan kemenangan kepada Korea Selatan sehingga menyebabkan ramai pemerhati dan penyokong pasukan itu gusar.

Daripada lima perlawanan yang dikendalikannya setakat ini, tiga daripadanya berakhir dengan keputusan seri dan dua lagi perlawanan berakhir dengan kekalahan.

Untuk mengelakkan situasi dirinya semakin sukar, Klinsmann sudah semestinya mengharapkan barisan anak buahnya mampu melakar kemenangan dalam dua perlawanan persahabatan menentang Tunisia dan Vietnam bermula hujung minggu ini.

BACA:  Bapa Son Heung-min Tidak Yakin Korea Selatan Mampu Juarai Piala Asia Di Qatar