China- satu negara komunis di Asia yang cukup besar. Setakat 2013, populasi negara China dianggarkan sebanyak 1.3 billion, kira 17.5% daripada jumlah keseluruhan populasi seluruh manusia di muka bumi yang sfera, bukan rata ini.
Dari segi ekonomi pula, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar pula bernilai USD 9.24 trillion. Bayangkan kalau nilai tersebut ditukar kepada Rupiah. Cukup besar bukan?
Keluaran Dalam Negara Kasar Republik China pada 2013 [1]
Dari aspek sukan, kira-kira 40% daripada rakyat China meminati bola keranjang, diikuti ping pong dan badminton masing-masing dengan 37% dan 36% manakala di tangga keempat pula adalah bola sepak dengan 31%.[2]
Jadi, apa kaitannya dengan populasi, KDNK dan peratus sukan diminati di China ini?
Pada tahun 2013, Xi Jinping telah menaiki takhta sebagai presiden Republik China, menggantikan Hu Jintao. Walaupun tidak tahu apa itu Melaka United, Jinping adalah seorang peminat tegar sukan bola sepak.
Mungkin Jinping mengajar Mat Saleh teknik tonjol ketika ini
Pada tahun 2011, ketika beliau memegang jawatan Naib Presiden Republik China, telah meletakkan tiga sasaran utama terhadap bola sepak China;
- Layak ke Piala Dunia
- Menganjurkan Piala Dunia
- Memenangi Piala Dunia
Tidak seperti persatuan bola sepak yang lain seperti di Macedonia , Jinping mempunyai perancangan yang sangat rapi.
Rancangan 10 tahun
Jinping telah mebuat perancangan 10 tahun, 2015-2025 untuk melahirkan 100,000 pemain professional China dengan harapan China bakal memenangi kejohanan paling agung bola sepak Piala Dunia pada tahun 2026.
Perancangan dilakukan oleh Jinping bukanlah rahsia dan perkara ini juga antara intipati yang ada dalam Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN atau NFDP) untuk melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten.
Selain dari maruah, langkah Jinping ini adalah untuk mengembangkan industri sukan di China kepada USD700billion, supaya mereka tidak perlu bergantung kepada industri pembuatan semata-mata sebagai pendapatan negara.
Langkah Persediaan yang Dilakukan
Idea yang diperoleh ini ketika lawatan kerja ke Britain, Presiden China, Jinping sempat berkunjung akademi bola sepak Manchester City dan mendapat idea dari lawatannya itu.
Agak berani si Aguero untuk berswafoto bersama Jinping dan Cameron sekadar mampu untuk photobomb
Antara langkah pertama yang dilakukannya ialah dengan menerapkan bola sepak sebagai korikulum wajib dasar pendidikan China dan menjelang tahun 2020, sebanyak 20,000 sekolah berasaskan bola sepak dibuka di seluruh Negara Tembok Besar itu, di samping 70,000 padang permainan berprestasi tinggi diwujudkan.
Bayangkan jika Malaysia mempunyai 100,000 pemain professional, pasti pening kepala Ong Kim Swee untuk memilih pemain dan pastinya Fadhli Shas dan Fakri Saarani (Iniesta Malaysia) tidak akan terpilih mewakili Harimau Malaya.
Tetapi langkah di atas adalah merupakan satu langkah jangka masa panjang. Jadi, untuk menarik minat rakyat China terhadap sukan ini dalam jangka masa yang singkat, seramai 35 bintang bola sepak antarabangsa diburu untuk bermain di Liga Super China pada tahun 2016-2017.
Sebab itulah kita dapat lihat pemain-pemain yang pernah mempunyai nama seperti Oscar, Ramirez, Gervinho, Grazziano Pelle dan Carlos Tevez bermain di liga Super China, dan kini mereka meletakkan sasaran untuk membawa Cristiano Ronaldo, Leo Messi dan Indra Putra Mahyuddin pula ke liga China.
Pada suatu ketika Gareth Bale juga hampir saja beraksi di Liga Super China namun dibatalkan pada saat akhir.
Umpan Pemain ke China
Matlamat utama seorang pemain bola sepak ialah mendapatkan kemewahan, dan melalui pemilik kelab yang kaya-raya, kelab-kelab China berbelanja besar untuk membeli pemain, walaupun pada harga yang tidak masuk akal.
Selain daripada pemilik yang kaya raya, pentadbir liga Super China juga telah memeterai perjanjian hak penyiaran yang bernilai USD 1.3billion selama lima tahun bermula 2016.
Pasaran untuk siaran Liga Super China agak mudah memandangkan mereka memiliki 1.37b rakyat maka pastinya stesen televisyen berlumba-lumba untuk membeli siaran ini.
Masa Depan Bola Sepak China
Beratus juta telah, sedang dan bakal dibelanjakan oleh pembesar bola sepak China dengan harapan rancangan 10 tahun Xi Jinping bakal menjadi kenyataan.
Buat masa sekarang, kedudukan China dalam ranking FIFA adalah tangga ke-83, di antara Antigua & Barbuda dan Faroe Island.
Jika perancangan mereka ini berjaya, China bakal menjadi kuasa besar bola sepak dunia dan Liga Perdana Inggeris bakal menempa nasib seperti Liga Perdana Malaysia.
Wabak melanda dunia ketika ini juga telah memberi kesan kepada pasukan kelab di Liga Super China dan ketika ini merupakan satu situasi genting bagi kelab yang berbelanja besar.
Nota :
1 – Googla Public Data
2 – The Nielsen Company