Rakitic Sedih Lihat Iniesta Diletakkan Di Bangku Simpanan Ketika Menentang Russia

Pemain tengah Barcelona, Ivan Rakitic meluahkan perasaan kecewanya melihat Andres Iniesta diletakkan di bangku simpanan ketika Sepanyol menentang Russia dalam pusingan 16 pasukan terakhir.

Pemangku jurulatih Sepanyol, Fernando Hierro melakukan kejutan dengan meninggalkan Iniesta di bangku simpanan.

Pemain tengah Atletico Madrid, Koke mendapat kepercayaan Hierro untuk bermain bersama Sergio Busquests di bahagian tengah tetapi ternyata ia keputusan yang kurang tepat kerana Koke merupakan salah seorang pemain Sepanyol yang gagal menjaringkan penalti.

Fernando Hierro mengejutkan banyak pihak apabila meletakkan Iniesta dibangku simpanan ketika menentang Russia

Iniesta hanya dibawa masuk pada minit ke-67 untuk menggantikan David Silva ketika Sepanyol terdesak untuk mencari gol kemenangan. Walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan, Russia teguh bertahan sehingga wisel penamat dan mereka berjaya ‘memenangi loteri’ apabila memenangi penentuan sepakan penalti.

Rakan sepasukan Iniesta di Barcelona, Rakitic tidak percaya Iniesta dibiarkan berada di bangku simpanan dan mengakui hatinya terluka melihat situasi tersebut.

“Buat masa sekarang, saya rasa saya tidak faham apa-apa mengenai bola sepak. Saya ingat saya sedang bermain sukan lain apabila melihat pemain terbaik – mungkin pemain terbaik dalam sejarah di posisi tersebut – berada di bangku simpanan. Hati saya terguris melihatnya.”

Rakitic kecewa dan sedih melihat pemain sehebat Iniesta tiada dalam kesebelasan utama. Bukan kau sorang je Rakitic

Sejak menyertai Barcelona dari Sevilla pada tahun 2015, Rakitic dan Iniesta berjaya memenangi 3 kejuaraan La Liga, 4 trofi Copa Del Rey dan satu trofi Liga Juara-Juara Eropah. Bersama Busquests, mereka bertiga berjaya membentuk trio tengah yang mantap untuk mendominasi saingan domestik dan juga Eropah.

Rakitic kini sedang bersama skuad Croatia bagi menghadapi perlawanan suku akhir menentang Russia awal pagi nanti. Beliau juga memuji kualiti yang ada pada kapten Croatia, Luka Modric dan menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin dalam skuad Croatia.

Rakitic juga mengakui beliau benci apabila terpaksa berhadapan dengan Modric di peringkat kelab kerana Modric mampu menjadikan pemain di sekelilingnya bermain dengan lebih baik.

“Semua rakyat Croatia berasa bangga kerana memiliki pemain seperti Luka Modric. Tetapi saya tidak suka melihat beliau dalam jersi Real Madrid.”

Rakitic benci bertemu Modric dalam El-Clasico kerana Modric mampu membuatkan pemain di sekelilingnya bermain dengan lebih baik

“Beliau berupaya menjadikan pemain di sekelilingnya bermain lebih baik. Ia terbukti apabila beliau tidak beraksi, Real Madrid merupakan pasukan lain apabila Modric tiada di sisi.”

Modric yang kini sudah berusia 32 tahun menyertai Real Madrid dari Tottenham Hotspurs pada tahun 2012. Beliau juga telah berjaya menjaringkan dua gol untuk  membantu Croatia layak ke pusingan suku akhir dimana mereka bakal bertemu Russia dalam pusingan suku akhir.

BACA:  Guardiola: Iniesta Tidak Akan Sertai City, Nafi Dakwaan Stones Mahu Berpindah Keluar