Tindakan Rakitic Memuat Naik Gambar Messi Dikecam Peminat Barcelona

Ivan Rakitic baru saja meletakkan dirinya dalam keadaan bakal dikecam teruk oleh penyokong Barcelona.

Beliau dengan berani dan nekadnya telah memuat naik gambar yang mungkin mengundang rasa tidak senang Lionel Messi di laman Instagram miliknya.

Dengan memuat naik gambar itu, Rakitic secara tidak langsung telah membangkitkan kemarahan dalam kalangan peminat Barcelona.

Pemain midfield Croatia itu telah memuat naik gambar kenang-kenangan beliau ketika pasukan kebangsaannya berjaya menewaskan Argentina 3-0 dalam kempen Piala Dunia lalu.

Rakitic merupakan salah seorang penjaring gol untuk Croatia dalam aksi perlawanan Piala Dunia 2018 menentang Argentina.

Mengimbau kenangan manis itu tidak salah, apa yang membangkitkan kemarahan dalam kalangan peminat Barcelona adalah beliau melampirkan gambar yang turut memperlihatkan Messi.

Pemain berusia 32 tahun itu memuat naik beberapa gambar termasuk gambar Messi yang sedang terduduk kecewa dihadapannya.

Rakitic musim ini tidak berjaya untuk menjaringkan sebarang gol untuk pasukan Barcelona dalam semua pertandingan.

Dalam saingan Liga, Rakitic telah beraksi dalam 21 perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol tetapi telah menyumbangkan tiga bantuan jaringan untuk Barcelona.

Beliau juga telah beraksi sebanyak enam perlawanan dalam saingan Liga Juara-juara musim ini tanpa sebarang jaringan mahupun bantuan jaringan.

Dengan persembahan yang tidak memberangsangkan, kebanyakkan peminat yakin bahawa karier enam tahun beliau bersama Barcelona akan berakhir musim panas nanti.

Lionel Messi merupakan tokoh paling dikagumi dan disanjungi di Barcelona. Jadi tidak hairan mengapa para penyokong Barcelona berasa tidak senang dengan tindakan Rakitic itu.

Rata-rata peminat menjangkakan Rakitic tidak akan bertahan lama bersama Barcelona dengan sikap tidak profesional yang ditunjukkan.

Para peminat juga beranggapan Rakitic sengaja untuk memancing emosi Messi dengan memuat naik gambar begitu.

Messi sendiri sehingga kini tidak memberi sebarang reaksi terhadap gambar yang dimuat naik oleh Rakitic.

Dalam saingan kempen Piala Dunia 2018, Argentina hanya mampu beraksi sehingga pusingan 16 terbaik selepas disingkirkan oleh Juara ketika itu Perancis.

Untuk pasukan Croatia pula, mereka berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir menentang Perancis selepas berjaya menewaskan England di peringkat separuh akhir.

Seperti semua sedia maklum, Croatia tewas dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2018 kepada pasukan Perancis.

BACA:  Kelakuan Penuh Beradab Messi Dan Neymar Minta Izin Tinggalkan Bench