Ralf Rangnick Secara Terbuka Menyatakan Apa Yang Dia Tidak Suka Tentang Tindakan Bahaya Fred dan McTominay

Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick telah mampu tersenyum lebar apabila pasukan baharunya telah berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pertamanya, menentang Crystal Palace di Old Trafford.

Pemain tengah Brazil yang kini semakin disayangi oleh para penyokong, Fred, telah muncul sebagai wira pasukan apabila menjaringkan satu gol yang cantik dari luar kotak penalti Palace, menewaskan penjaga gol lawan, Vincente Guaita.

Sepanjang perlawanan, Fred seperti biasa digandingkan bersama Scott McTominay sebagai jentera tengah pasukan.

Kebiasaannya, United akan turun dengan formasi 4-2-3-1, namun dalam perlawanan pertama Rangnick, mereka mengubah formasi kepada 4-2-2-2 dengan kedua-dua Fred dan McTominay menjadi asas yang kukuh kepada serangan pasukan, dan membenarkan empat pemain penyerang – Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford melakukan kerja masing-masing dalam mengkucar-kacirkan sistem pertahanan lawan.

Pengurus berbangsa Jerman itu secara keseluruhannya sangat berpuas hati dengan permainan pressing yang aggresif dan berdisiplin daripada kedua-dua pemain tengah tersebut, namun pada masa yang sama dia mengakui bahawa terdapat kelompongan yang perlu diperbaiki termasuk satu perkara yang baginya agak bahaya untuk dilakukan oleh Fred dan McTominay.

Dalam temu bual selepas perlawanan, Rangnick secara terbuka mengakui bahawa dia tidak suka Fred dan McTominay melakukan hantaran ke tepi (sideway passes) sepanjang perlawanan kerana baginya, tindakan sedemikian mampu membahayakan pasukan.

“Kalau kau main macam cara yang kami main hari ni, dengan intensiti yang sama, menguasai perlawanan, bermain secara proaktif dan mempunyai empat pemain menyerang di depan Scotty dan Fred – dengan Jadon, Bruno, Cristiano dan Marcus – sangatlah penting untuk kau mempunyai pemain yang sangat berdisiplin, yang sangat aggresif untuk memenangi bola,” ujarnya kepada wartawan.

“Dan kedua-duanya Scotty dan Fred, boleh kata hampir sempurna lah diorang tu bertahan. Diorang ada buat satu atau dua kesilapan, terutamanya pada separuh masa pertama di mana diorang buat hantaran ke sisi (square passes) dua kali – sekali daripada Scott, sekali daripada Fred.

“Aku memang tak suka bola macam tu daripada pemain tengah yang berada di kedudukan tu.

“Tapi apapun, secara keseluruhannya, bila mana pasukan lawan dapat bola, Fred dengan Scotty dah bermain dengan hampir sempurna.”

Dalam perlawanan tersebut, Rangnick telah menurunkan pemain sama yang bermain dalam perlawanan menentang Arsenal – perlawanan terakhir Michael Carrick sebagai pengurus sementara.

Dengan Carrick dilihat mengekalkan formasi pasukan 4-2-3-1 yang sering digunakan oleh Ole Gunnar Solskjaer, Rangnick ubah sedikit bentuk pasukan kepada 4-2-2-2, formasi yang sering digunakannya bersama RB Leipzig.

“Kalau ikutkan, logik la tak ubah banyak benda atau banyak posisi selepas menang lawan Arsenal,” tambahnya lagi.

“Akhirnya, lepas tengok semua pemain dan kembali cergas, tak ada pemain cedera, dah sembuh, aku fikir baik guna je kesebelasan utama yang sama.

“Bagi aku, persoalannya adalah macam mana kami nak bagi tekanan untuk dapatkan bola, macam mana kami nak kuasai perlawanan?

“Itu yang aku guna formasi 4-2-2-2 tu, dengan dua orang penyerang – bukannya Cristiano sorang-sorang duduk atas, dia main dengan Marcus, guna kelajuan dia untuk dapatkan bola hantaran terus dan pada masa yang sama ada Jadon dan Bruno yang dua-duanya bermain di posisi nombor 10 (pemain tengah menyerang yang bertindak selaku arkitek perlawanan).”

Dalam perlawanan tersebut, jika sebelum ini pemain United dilihat lebih banyak menunggu bola masuk ke kawasan sendiri, kali ini mereka nampaknya bermain dalam satu sistem yang berbeza.

Pemain di barisan hadapan kali ini kelihatan lebih agresif untuk cuba memenangi bola seawal mungkin dari kaki pihak lawan. Pergerakan pemain tengah, Fred dan McTominay dilihat agak fluid berbanding sebelum ini.

Kedua-dua mereka bagaikan ada di mana-mana dan sering memintas laluan bola hantaran (passing pathway) daripada pemain Palace, terutamanya Fred – sebelum ini sering menjadi sasaran cemuhan para penyokong United sendiri.

Hasilnya, bola banyak dimainkan di dalam kawasan Palace berbanding United, dan situasi ini pastinya sangat dirindui oleh para penyokong Setan Merah.

Sekali sekala sahaja serangan Palace berjaya menembusi barisan tengah dan pertahanan United dan sampai ke David De Gea.

Separuh masa pertama semuanya cukup untuk Manchester United yang dominan dari segala segi berbanding Crystal Palace dan hanya yang tiada adalah jaringan.

Akan tetapi, separuh masa kedua menyaksikan United seakan kembali ke zaman Ole di mana serangan mereka dengan mudah dipatahkan, dan serangan pemain lawan seringkali berjaya sampai ke David De Gea.

Namun, segala kerisauan dan ketakutan penyokong United akhirnya hilang pada minit ke-77 apabila Fred melakukan satu placing yang cantik tepat ke penjuru kiri gawang lawan, menewaskan penjaga gol yang terkapai-kapai kelemasan.

Fred meraikan jaringannya dengan satu joget ala dangdut dan dilihat lebih bagus daripada aksi Fazley di Gegar Vanganza.

Sumber berita : Mirror Football

BACA:  Rangnick Dedah Alasan Mengapa Fernandes Yang Mengambil Sepakan Penalti Bukannya Ronaldo