Rangnick Cadangkan Supaya Pengadil Berlatih Bersama-Sama Pemain di Kelab

Para pengadil bola sepak di England berkemungkinan besar akan mula berlatih bersama-sama dengan pemain di kelab, selepas cadangan daripada pengurus Manchester United, Ralf Rangnick diterima dan dianggap boleh pakai.

Dengan kegusaran yang melanda para pengurus pasukan di liga tertinggi England tentang perstasi para pegawai perlawanan, pengurus United yang berbangsa Jerman tersebut mencadangkankan bahawa hubungan antara pengadil dan pemain mungkin boleh ditingkatkan dan ditambah baik jika pengadil turut sama menyertai para pemain di pusat latihan.

Rangnick berkata sebegitu dalam satu sidang kemuncak di kalangan para pengurus dan boss besar pengadil di England, Mike Riley. Tambahan pula, menurut Rangnick, pengadil yang berlatih bersama-sama dengan pemain akan lebih saling mengenali antara satu sama lain, berbanding hanya bertemu ketika hari perlawanan sahaja.

Pendapat Rangnick ini dipersetujui oleh ramai pengurus yang lain yang turut sama dalam diskusi tersebut dan mengatakan bahawa para pengadil perlu diberi kebenaran untuk menggunakan fasiliti elit di kelab-kelab Liga Perdana Inggeris.

Isu yang diutarakan oleh pengurus United ini telah mendapat perhatian persatuan pengadil di liga tersebut, PGMOL, dan langkah-langkah awal mungkin akan mula diperkenalkan pada musim hadapan.

Rangnick yang mengendalikan pasukan United sehingga tamat musim ini dan beralih ke pejabat lain di kelab tersebut berpendapat bahawa membawa pengadil seperti Anthony Taylor, Michael Oliver dan Kevin Friend ke padang latihan akan membantu mereka mengenali pemain dengan lebih dekat dan mengenepikan tanggapan negatif di antara satu sama lain.

Menurut orang dalam yang ada dalam sidang kemuncak yang berlangsung selama dua hari itu, segala perbincangan dilihat berjalan dengan lancar dan aman meskipun terdapat beberapa keputusan yang tidak memberangsangkan dilakukan oleh pengadil pada musim ini.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp adalah antara pengadil selain Dean Smith dari Norwich City, Frank Lampard(Everton), Graham Potter(Brighton) dan Rangnick sendiri, telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil dan mencadangkan kepada perlunya seorang pengadil VAR yang khas.

Mereka mahu pengadil diberikan latihan yang intensif dan hanya mereka yang mempunyai kelayakan sahaja diberi kebenaran untuk mengendalikan sistem tersebut selepas beberapa keputusan yang boleh dipersoalkan.

Kumpulan jurulatih tersebut juga percaya bahawa beberapa istilah yang digunakan dalam sistem VAR ini sangatlah tidak membantu dan perlu diperhalusi semula.

Pada masa yang sama, pengurus Burnley Sean Dyche, seorang yang memang dikenali sebagai sangat lantang dan suka cakap lepas, difahamkan telah mendakwa bahawa ada pengadil yang tidak melaksanakan peraturan bola sepak yang betul dalam bab simulasi, atau dalam bahasa mudahnya – pemain berlakon.

Dyche mengatakan bahawa di atas padang situasi seolah-olah ‘kau tak boleh terjah, tapi kau boleh dive‘ sering berlaku.

Selain itu, wakil-wakil kelab juga turut mempersoalkan dan mahu penjelasan lanjut tentang tindakan kontroversi para penjaga garisan yang tidak terus mengangkat bendera bagi kesalahan ofsaid. Selalunya tindakan melambatkan mengangkat bendera berlaku apabila pasukan yang sedang menyerang mendapat peluang untuk menjaringkan gol meskipun berada dalam kedudukan ofsaid, dengan alasan tidak mahu mengganggu rentak perlawanan.

Lagi pula ada ketikanya penjaga garisan bertindak mengangkat bendera dengan menyangka pemain yang menyerang berada dalam kedudukan ofsaid, sedangkan pemain itu berada dalam kedudukan onsaid, lantas menyebabkan pemain yang bertahan menghentikan permainan.

Bagi mengatasi masalah ini, Riley memberi jaminan bahawa tindakan melambatkan angkatan bendera ini akan dikurangkan selepas ini.

Dean Smith juga tidak ketinggalan untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya dalam sidang tersebut di mana dia telah memberikan hujah bahawa bendera patut diangkat jika ofsaid yang jelas telah berlaku, manakala pengurus West Ham, David Moyes, agak risau tentang fasa kedua jika bendera lambat diangkat dan sepakan sudut telah dianugerahkan.

Untuk ini, Riley dengan mudah mengatakan bahawa selepas ini jika penjaga garisan berasakan berlakunya ofsaid, maka secara automatik dia akan mengangkat bendera.

Lampard dan Smith juga turut mencadangkan supaya tradisi perbincangan dua hala antara pengurus dan pengadil 30 minit selepas perlawanan tamat patut dikembalikan semula selepas dihentikan gara-gara covid.

Sumber : Daily Mail

Sumber featured image : Daily Star

BACA:  Kenali Ralf Rangnick Yang Dilantik Menjadi Pengurus Interim Manchester United