Rasmi: Donny Van De Beek Sah Milik Manchester United

Manchester United secara rasminya telah mengumumkan Donny Van De Beek sah menjadi milik mereka dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh laman sesawang mereka untuk hebahan ramai.

Pemain tengah Belanda itu telah dilamar oleh Manchester United dengan ikatan kontrak selama 5 tahun dengan pilihan untuk sambungan kontrak di tahun mendatang.

Donny Van De Beek yang kini sudah berusia 23 tahun merupakan ubi berkualiti tinggi, gred premium dari baka bermutu hasil tuaian daripada sistem penanaman pemain muda Ajax Armsterdam.

Ubi muda berusia 23 tahun ini telah membuat debut senior bersama Ajax pada 2015 di usia 17 tahun dan mempunyai pengalaman bermain di kejohanan Eropah.

Van De Beek telah memainkan peranan besar membawa Ajax ke separuh akhir Champions League pada musim 2019/20 dan bermain menentang Setan Merah di perlawanan akhir Europa League 2017.

Pemain antarabangsa Belanda ini telah menjaringkan 10 gol dan 11 assist dalam 37 perlawanan terakhir di Eredivisi sebelum menutup tirai.

Usai pengumuman rasmi dibuat, Donny Van De Beek telah diberikan jersi bernombor 34 dan jersi Van De Beek boleh terus dibeli secara atas talian di laman sesawang Setan Merah.

Donny Van De Beek dilaporkan akan menyertai Manchester United dengan nilai perpindahan bernilai €40 juta.

Van De Beek turut dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona, namun kerana tiada tawaran yang dilakukan oleh gergasi Catalan itu, Setan merah masih mendahului perebutan untuk mendapatkan khidmatnya.

Donny Van de Beek disifatkan sebagai seorang pemain tengah box-to-box klasik. Namun demikian, pemain ini seperti didatangkan dengan nilai tambah tersendiri.

Dianggap sebagai seorang pemain tengah serba boleh/versatile, bermakna Van de Beek boleh memainkan peranan di bahagian serangan dan pertahanan tengah – di mana kepentingan Van de Beek dilihat amat penting untuk menonjolkan kreativit Fernandes dan Pogba.

Van de Beek juga dilihat sebagai pemain yang memiliki larian ‘off the ball movement’ yang menarik, terutama ketika pasukan sedang melakukan gerakan serangan.

Secara keseluruhan Donny Van De Beek telah merekodkan 159 penampilan bersama Ajax dengan 40 gol dan 43 assist serta memegang 10 cap bersama Belanda.

Bersama Ajax, Van De Beek telah memenangi Eredivisi pada musim 2018/19, KNVB Cup 2018/19 dan Johan Cryuff Shield bagi tahun 2019.

Nama: Donny Van De Beek

Tarikh Lahir: 18 April 1997

Asal: Belanda

Posisi: Midfielder

Caps: 10

BACA:  Manchester United Tak Pandai Pakai Donny Van de Beek