Bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney percaya Harry Kane akan meninggalkan Tottenham Hotspurs jika mereka masih lagi tidak memenangi sebarang piala dalam masa dua tahun yang akan datang.
Rooney mengeluarkan kenyataan tersebut ketika diundang dalam rancangan ‘Monday Night Football’, sehari selepas Kane berjaya mencatatkan 100 gol dalam Liga Perdana Inggeris.
Rooney memuji pencapaian Kane dan menggelar pemain tersebut sebagai penyerang terbaik Eropah ketika ini. Rooney turut menambah Mauricio Pochettino mungkin berdepan masalah untuk mengekalkan Kane jika Spurs gagal memenangi sebarang piala dalam masa terdekat.
“Buat masa sekarang, Kane adalah penyerang terbaik di Eropah. Beliau boleh pilih kelab mana yang beliau mahu sertai kerana beliau adalah pemain yang amat bagus. Kane sama seperti Alan Shearar ketika muda dahulu. Beliau mampu menjaringkan pelbagai jenis gol.”
“Masalah yang bakal dihadapi Tottenham adalah motivasi Kane bakal berubah dari mengejar jaringan gol kepada memenangi trofi.”
“Dan jika Spurs tidak memenangi piala musim hadapan atau dua musim berikutnya, Kane akan meminta untuk berpindah ke kelab lain bagi memenangi sesuatu.”
“Itu adalah keputusan yang harus diambil Kane selepas ini, tetapi Spurs juga harus membuat keputusan. Mereka perlu membawa masuk pemain berkualiti dan cuba mendapatkan trofi Liga Perdana Inggeris.”
Rooney yang kini bermain dengan Everton turut berkata Kane boleh dianggap sebagai pemain yang hebat walaupun belum pernah memenangi sebarang kejuaraan atau trofi.
“Jumlah gol yang telah dijaringkan Kane adalah perkara yang hebat dan ia mengangkat pemain tersebut ke satu tahap yang baru. Tetapi pemain ternama diingati kerana trofi yang dimenangi mereka. Trofi akan membawa kamu ke satu tahap yang lebih tinggi.”
“Saya rasa jika Kane berada dalam skuad Manchester City dan memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini, peminat bolasepak akan meletakkan Kane sebaris dengan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.”
Kane dan Rooney pernah bekerjasam dalam skuad England sebelum ini dan mereka bermain sekali dalam EURO 2016. Sejak Rooney bersara dari arena antarabangsa, Gareth Southgate masih lagi belum menamakan kapten tetap untuk pasukan England tetapi Rooney percaya Kane adalah calon paling sesuai untuk diberi kepercayaan tersebut.
“Saya bermain dengan beliau beberapa kali dalam skuad England. Beliau memiliki mentaliti dimana beliau sangat kecewa apabila pasukan tidak memenangi perlawanan. Kane sangat inginkan kemenangan, mahu menjaringkan gol dan mahu bertambah baik. Kane adalah pemimpin dalam skuad England ketika ini.”