Salah Sedia Sertai Pesaing Liverpool di EPL

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, dikhabarkan sudah bersedia untuk menyertai pesaing Liverpool di pentas Liga Perdana Inggeris sekiranya dia gagal mencapai kata sepakat berkenaan kontrak barunya bersama kelab Merseyside tersebut.

Bakal tamat kontrak pada hujung musim hadapan, perbincangan antara pemain berusia 29 tahun itu bersama kelab setakat ini masih menemui jalan buntu dan tiada hasil yang mat saleh sebut win-win situation.

Apabila terjadinya perkara seperti ini, maka masa depan Salah mula dipersoalkan walaupun di atas padang, penyerang Mesir ini masih mampu beraksi cemerlang dan meraih anugerah kasut emas pada musim ini.

Meskipun dia merupakan seorang ikon yang digemari di Liverpool, Salah dikatakan tidak mempunyai masalah untuk berpindah menyertai pasukan lawan di Liga Perdana Inggeris.

Ini kerana dia sememangnya berhasrat untuk kekal di bumi England dan juga Liga Inggeris, berbanding berpindah ke kelab di luar negara pulau tersebut. Jika tiada kata sepakat dapat dicapai, mungkin Liverpool akan melepaskan Salah pada jendela perpindahan musim panas nanti dalam keadaan rela dalam terpaksa.

Jika ini berlaku, Manchester City dilihat satu-satunya pasukan yang mampu untuk memberikan apa yang dicari oleh Salah dalam kehidupannya. Saban tahun City menjadi pasukan yang mencabar kejuaraan. Malah dengan adanya pemain-pemain mantap seperti Kevin De Bruyne dan Erling Haaland, Salah sedikit sebanyak akan tertarik untuk mengikut jejak langkah Encik Raheem Sterling dan juga Robbie Fowler.

Lagi pula, jika Salah bermain untuk Manchester City, dia tidak perlu berpindah rumah memandangkan jarak antara kedua-dua kota hanyalah lebih kurang Bangi ke Klang sahaja.

Selain Manchester City, Chelsea juga berpotensi untuk menjadi destinasi seterusnya Salah. Walaupun pernah menyarung jersi The Blues tersebut suatu ketika dahulu, peminat perlu tahu bahawa Salah yang dulu bukanlah yang sekarang, kerana dulu Salah ditendang sekarang Salah disayang.

Tambahan pula, Chelsea bukan tidak pernah membeli pemain yang pernah meninggalkan kelab tersebut. Lihat sahaja kepada Romelu Lukaku dan Nemanja Matic – antara dua contoh pernah pulang ke Chelsea.

Salah bagaimanapun ketika ditanya tentang situasi kontraknya sebelum perlawanan akhir UCL tempoh hari, dia menyatakan bahawa dia akan kekal di Anfield.

“Dalama kepala ana, ana tak fokus ke kontrak sekarang ni,” ujar Salah.

“Ana tak nak jadi orang yang pentingkan diri sendiri dan ana dah cakap kan dua bulan lepas. Semuanya adalah tentang pasukan. Ini adalah minggu yang penting untuk nahnu, dan ana hanya fokus untuk pasukan dan cuba menang UCL.

“Ana hanya fokus dengan pasukan dan ana tak mahu cerita tentang kontrak sekarang sebab nahnu ada masa yang panjang lagi, tapi yang pastinya ana akan kekal pada musim depan.

“Ana kekal pada musim depan dan nahnu tengok apa jadi lepas tu.”

Nota : nahnu maksudnya kami/kita

Sekiranya Liverpool tidak dapat persetujuan dengan Salah dan tidak mahu kehilangan bintang super tersebut secara percuma, tidak dapat tidak The Reds terpaksa menjual Raja Mesir ini dan semestinya ini akan menambah beban dalam kepada Jurgen Klopp yang sudah kehilangan tonggak serangan Senegal, Sadio Mane.

Sepanjang musim ini, Mane boleh dikatakan melalui musim yang cemerlang bukan setakat bersama kelab, malah bersama pasukan kebangsaan.

Bersama Liverpool, Mane berjaya menjulang Piala EFL dan juga Piala FA, selain meraih gelaran hampir juara EPL pada perlawanan terakhir liga, dan juga Liga Juara-Juara UEFA. Ketika menyarung jersi pasukan kebangsaan Senegal pula, Mane berjaya mengangkat Piala Negara-Negara Afrika selepas menewaskan pasukan Mesir dalam perlawanan akhir.

Mane dikatakan bakal menyertai gergasi Jerman, Bayern Munich pada musim hadapan.

Sumber : Mirror

BACA:  Grealish Dianggap Punca Mengapa Rundingan Kontrak Salah Tak Selesai