Tiga Pemain Yang Mampu Menggantikan Sadio Mane di Liverpool

Sadio Mane, penyerang terbaik Liverpool pada musim ini, telah mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan pasukan kedua terbaik Eropah tersebut dan akan menyertai pasukan lain pada musim hadapan.

Sepanjang musim ini, Mane boleh dikatakan melalui musim yang cemerlang bukan setakat bersama kelab, malah bersama pasukan kebangsaan.

Bersama Liverpool, Mane berjaya menjulang Piala EFL dan juga Piala FA, selain meraih gelaran hampir juara EPL pada perlawanan terakhir liga, dan juga Liga Juara-Juara UEFA. Ketika menyarung jersi pasukan kebangsaan Senegal pula, Mane berjaya mengangkat Piala Negara-Negara Afrika selepas menewaskan pasukan Mesir dalam perlawanan akhir.

Pada awal musim, Mo Salah seperti biasa dilihat membawa beban Liverpool di bahunya namun selepas gagal di Afcon, prestasi penyerang sensasi ini merudum dan menjadi agak segan untuk menjaringkan gol.

Tugas memacu jentera serangan kelab paling power di England ini terus dipacu oleh Mane yang berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan penting.

Sepanjang musim ini, Mane telah menjaringkan 23 gol serta melakukan lima bantuan gol dalam kesemua pertandingan.

Kehilangan Mane ini pasti akan meninggalkan lompong yang besar di barisan serangan Liverpool dan pastinya Jurgen Klopp berdepan cabaran yang besar untuk menggantikan pemain ini.

Media di England telah menyenaraikan tiga pemain yang boleh menggantikan pemain ini.

Darwin Nunez

Penyerang Uruguay, Darwin Nunez, telah memperkenalkan dirinya sebagai salah seorang daripada penyerang sensasi di Eropah. Pemain berusia 22 tahun ini telah menjaringkan 34 gol dalam 38 perlawanan buat Benfica dalam Primeria Liga serta Liga Juara-Juara UEFA, sekaligus menangkap perhatian peminat bola sepak di benua tersebut.

Nunez telah bersama Benfica selama dua musim dan kini dikatakan berada dalam radar Manchester United serta Liverpool. Bekas pertahanan terbaik dunia yang tiba-tiba melakukan aksi no look defending dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA, Virgil Van Dijk, baru-baru ini menjelaskan bahawa Nunez adalah salah seorang daripada lawan yang paling sukar pernah dia hadap pada musim ini.

Dengan kemampuan Nunez untuk bermain di bahagian sayap kiri dan kanan padang, dia boleh dikatakan sebagai calon terbaik untuk menggantikan Sadio Mane.

Gabriel Martinelli

Jurgen Klopp dikatakan sudah beberapa tahun menaruh perasaan terhadap Gabriel Martinelli. Selepas pemain sensasi Brazil ini menyertai Arsenal dari Ituano pada tahun 2019, Klopp tak lekang memuji pemain muda ini dengan mengatakan bahawa dia adalah bakat terbaik abad ini.

Sekiranya Klopp ingin membawa pemain ini ke Anfield, pastinya dia perlu meyakinkan pembesar kelab untuk berbelanja besar memandangkan Martinelli kini menjadi sebahagian daripada watak utama Arsenal.

Baru-baru ini, pemain berusia 20 tahun itu baru sahaja diberikan jersi bernombor 11 dan mempunyai kontrak sehingga tahun 2024. Walaubagaimanapun, dengan gaya permainannya yang mampu melakukan tekanan ke atas pihak lawan dengan begitu rajin dan mempunyai kemampuan untuk mencipta peluang, dia dilihat sangat sesuai untuk bermain dalam sistem bola sepak yang dicipta Klopp.

Harry Kane

Pemain sensasi Tottenham Hostpur ini tidak pernah lekang daripada gosip perpindahan dalam setiap jendela. Kapten pasukan kebangsaan England ini dikatakan kini sudah berpuas hati dengan keadaan semasa kelabnya selepas pelantikan Antonio Conte yang berjaya membawa kelab tersebut layak ke kancah Liga Juara-Juara UEFA pada musim hadapan.

Walaubagaimanapun, jika Liverpool datang mengetuk pintu hati pemain ini, pasti agak sukar untuk dia menolaknya.

Seperti Martinelli, nilai perpindahan pemain ini pastinya tidak akan murah tambahan pula Kane adalah pemain berdarah Inggeris pekat dan biasanya pemain kategori ini mempunyai tanda harga yang luar biasa mahal.

Pun begitu, jika Klopp berjaya membawa pemain ini ke Anfield, pastinya cabaran untuk menjaringkan gol tidak digalas oleh Salah seorang sahaja.

Gaya permainannya sangat berbeza daripada Sadio Mane tetapi ketajamannya di hadapan gol cukup untuk membawa Liverpool ke tahap yang lebih tinggi, sekaligus merealisasikan kata-kata Klopp yang ingin menempah tiket ke Istanbul pada musim hadapan.

Sumber : SB, transfermarkt

BACA:  Sadio Mane Dedah Bintang Liverpool Yang Beliau Masih Hubungi