Sadio Mane Semakin Hampir Pasti Sertai Bayern Munich

Sadio Mane pada ketika ini dikatakan semakin hampir untuk bersetuju menerima tawaran kontrak selama tiga tahun dari Bayern Munich.

Bayern Munich dilaporkan sangat berminat mahu menandatangani Sadio Mane dan mereka sanggup mengeluarkan dana sehingga £25 juta untuk mendapatkan bintang Senegal itu.

Mane sendiri pada ketika ini sedang memasuki  tahun terakhirnya bersama Liverpool dengan Bayern Munich dan Paris Saint Germain dikatakan sangat berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Walau bagaimanapun, Bayern Munich dilaporkan lebih berpotensi untuk mendapatkan bintang Senegal itu, dengan media Perancis, L’Equipe mendakwa Sadio Mane semakin hampir untuk menyatakan persetujuan beliau mahu ke Bundesliga.

Nilai pasaran untuk pemain berusia 30 tahun itu dianggarkan bernilai €30 juta (£25 juta) dan Bayern Munich tidak ada masalah untuk mengeluarkan dana sebesar itu untuk mendapatkan khidmatnya.

Sporting director Bayern Munich, Hasan Salihamidzic telah bertemu sendiri dengan ejen Mane untuk meluahkan minatnya terhadap bintang Liverpool itu.

Mane turut dilaporkan menganggap Bayern Munich sebagai destinasi yang menarik untuk beliau tujui selepas ini.

Gergasi Jerman itu pada ketika ini mahu menjadikan Sadio Mane sebagai pemain sasaran utama mereka pada musim panas ini memandangkan mereka sememangnya mahu mencari pengganti Robert Lewandowski.

Pemain kebangsaan Poland yang kini berusia 33 tahun itu hangat dikaitkan dengan bakal meninggalkan Bayern Munich untuk sertai Barcelona pada musim panas ini.

Barcelona sementara itu turut sedang mencari pemain penyerang prolific dan jelas sekali Lewandowski merupakan pemain yang tepat untuk mereka kejar.

Sadio Mane telah menikmati karier selama enam tahun yang sungguh menakjubkan di Anfield selepas beliau ditandatangani dari Southampton pada tahun 2016 yang lalu.

Sepanjang kariernya, beliau telah berjaya menjaringkan 120 gol untuk gergasi Premier League itu dan turut menjadi nadi penting kelab ketika memenangi pelbagai kejuaraan.

Mane sepanjang kariernya di Anfield beliau berjaya membantu kelab memenangi gelaran Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League, Carabao Cup dan terbaru FA Cup.

Mane turut pernah ditanya tentang masa depannya di Anfield menjelang aksi perlawanan akhir bertemu Real Madrid awal pagi esok.

Mane walau bagaimanapun masih tidak mahu memberi jawapan yang pasti dan hal itu sendiri sememangnya sudah dijangka.

“Saya rasa ia soalan yang sangat bagus, buat masa sekarang, sukar sebenarnya untuk saya jawab.”

“Tapi sudah tentu, saya sangat fokus untuk aksi perlawanan akhir Champions League. Tanya saya lepas Champions League, saya akan bagi jawapan.”

Sadio Mane bersama rakan sepasukannya pada ketika ini sedang memberi sepenuh perhatian mereka untuk aksi dalam perlawanan akhir saingan Champions League awal pagi nanti.

Di atas kertas Liverpool mungkin pasukan pilihan untuk muncul juara pada tahun ini, namun harus diakui yang Real Madrid juga bukan calang-calang pasukan.

Kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri dan sukar sebenarnya untuk meramalkan siapa bakal bergelar juara.

Ia seolah-olah misi balas dendam untuk skuad kendalian Jurgen Klopp itu selepas mereka sebelum ini tewas di tangan Real Madrid pada aksi perlawanan akhir saingan Champions League tahun 2018 yang lalu.

Mohamed Salah sendiri menganggap aksi pada awal pagi esok sebagai aksi balas dendam dan beliau bertekad mahu membantu Liverpool untuk membawa pulang gelaran Champions League ketujuh mereka musim ini.

Siapa bakal bergelar Juara musim ini? Real Madrid atau Liverpool? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mo Salah Nafi Dakwaan Ramos Mampu Teruskan Permainan Sekiranya Diberikan Suntikan