“Jangan Sembang Kencang” – Henry Beri Nasihat Berguna Kepada Mo Salah

Hasrat Mohamed Salah mahu membalas dendam ke atas Real Madrid sepertinya telah memakan diri beliau sendiri selepas skuad kendalian Carlo Ancelotti itu berjaya untuk sekali lagi menewaskan Liverpool di pentas perlawanan akhir.

Selepas tamat perlawanan tersebut, legenda Arsenal, Thierry Henry tampil memberi nasihat yang berguna untuk bintang Mesir itu supaya tidak mengulangi kesilapan sama berulang kali.

Mohamed Salah dengan yakin dan bersemangat mendedahkan yang beliau sangat berharap agar Real Madrid akan mampu untuk menewaskan Man City dan bertemu dengan Liverpool di pentas perlawanan akhir.

Beliau mendedahkan hal itu sebaik kejayaan Liverpool menewaskan Villarreal di peringkat separuh akhir dan bintang Mesir itu bertekad mahu Real Madrid yang menjadi lawan mereka di Paris.

The Egyptian King itu tanpa berselindung menyatakan yang beliau berdendam dengan Real Madrid dan mahu menebus semula kekalahan mereka ketika aksi perlawanan akhir 2018 yang lalu.

Salah pada ketika itu gagal untuk menghabiskan perlawanan tersebut kerana terpaksa di usung keluar selepas dikasari oleh Sergio Ramos.

Beliau menganggap detik itu sebagai detik paling mengecewakan sepanjang kariernya dan kerana itulah beliau benar-benar bertekad mahu membalas dendam.

Walau bagaimanapun, berbanding berjaya untuk membalas dendam, Salah terpaksa akur untuk sekali lagi dikecewakan oleh gergasi La Liga itu dalam aksi perlawanan akhir musim ini.

Gol jaringan Vinicius Jr pada aksi babak kedua permainan sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan berpihak kepada Real Madrid, seterusnya membantu juara saingan La Liga itu untuk menjulang Mahkota Eropah buat kali yang ke-14.

Henry kini tampil memberi amaran kepada Mohamed Salah, supaya berhenti sembang kencang sebelum perlawanan dan mula bercakap selepas berjaya mencatatkan kemenangan.

“Kita dah cakap hal ini banyak kali, ia soal meletakkan bola ke dalam jaring gawang gol. Mereka (Real Madrid) ada satu percubaan tepat dan mereka jaringkan gol.”

Jelas legenda terhebat sepanjang zaman Premier League itu.

“Liverpool ada banyak peluang. Tapi mereka berdepan Thibaut Courtois. Ingat apa saya kata di peringkat separuh akhir, orang tak bagi dia penghargaan yang selayaknya dia dapat. Dia antara salah seorang penjaga gol terhebat dunia dan lebih bagus berbanding Ederson. Dan dia buktikan itu hari ini.”

“Saya selalu kata sesuatu, jangan bercakap sebelum perlawanan akhir. Tewaskan Real Madrid dan kemudian cakap dan katalah, ‘ia misi balas dendam dan segala macam itu’. Ketika kamu bercakap sebelum perlawanan akhir, maka kamu kena menang perlawanan itu.”

Bercakap tentang penghargaan yang sepatutnya beliau terima, Thibaut Courtois sendiri sebenarnya turut mendedahkan hal yang sama selepas tamat perlawanan tersebut.

Thibaut Courtois merasakan yang beliau tak dapat penghargaan yang selayaknya beliau dapat

Nama Thibaut Courtois hari ini disebut-sebut oleh para peminat sebagai wira kebanggaan Real Madrid selepas beliau mempamerkan aksi persembahan yang sungguh dasyat membantu gergasi La Liga itu untuk menewaskan Liverpool.

Real Madrid hari ini turun beraksi bertemu Liverpool dalam aksi perlawanan akhir saingan Champions League.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu sah dinobatkan sebagai juara saingan Champions League musim ini di Stade de France selepas kejayaan mereka menewaskan Liverpool 1-0.

Liverpool yang sebelum ini dianggap sebagai calon kegemaran untuk muncul juara itu berjaya mendominasi permainan sejak dari awal sepak mula hingga ke akhir permainan.

Thibaut Courtois sememangnya berada di tahap persembahan terbaiknya dalam perlawanan ini dengan beliau cemerlang menyelamatkan percubaan-percubaan merbahaya dari kem Liverpool.

Real Madrid sendiri turut beberapa kali berjaya menguji gawang gol Liverpool dan pada minit ke-59 permainan, selepas kerja bagus yang dilakukan oleh Federico Valverde, Vinicius Jr tenang meledak gol kemenangan untuk Los Blancos.

Ia jelas sekali persembahan yang sungguh luar biasa mantap dari pemain penyerang Brazil itu, yang telah mempamerkan aksi terbaiknya sepanjang musim ini.

Madrid berjaya mengekalkan kedudukan 1-0 itu sehingga tamat perlawanan, walaupun jentera serangan Liverpool tak henti-henti menguji gawang gol mereka.

Pujian sepenuhnya harus diberikan kepada penjaga gol kebangsaan Belgium, Thibaut Courtois yang telah mempamerkan aksi persembahan sungguh dasyat dalam perlawanan ini.

Tidak keterlaluan untuk menganggap yang Real Madrid mungkin tak akan bergelar juara musim ini andai bukan kerana kecemerlangan Courtois dalam perlawanan ini.

Beliau turut menjadi penjaga gol pertama dalam sejarah saingan Champions League yang mampu mencatatkan sembilan saves di pentas perlawanan akhir.

Tidak ada sesiapa yang mampu menafikan lagi bahawa beliau layak untuk dianggap sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini.

Courtois turut menegaskan yang beliau sebenarnya mahu membuktikan kepada semua yang beliau berhak untuk mendapatkan penghargaan yang selayaknya.

“Ketika di England, saya tak dapat penghormatan yang selayaknya.. jadi, hari ini saya dah tunjukkan. Saya mahu letakkan penghargaan pada nama saya sendiri.”

“Saya nampak banyak tweets yang menyatakan saya akan berdepan masalah.”

Jelas Courtois.

“Tapi sebaliknya yang berlaku hari ini.”

“Hari ini saya perlu menang perlawanan akhir, untuk karier saya, untuk semua kerja keras saya, untuk dapatkan penghormatan untuk diri saya sendiri kerana saya tak rasa saya dah cukup dihormati, terutama sekali di England.”

“Saya nampak banyak kritikan yang menyatakan saya tak cukup bagus atau apa saja seperti itu.”

Bukan hanya para peminat, bahkan ramai nama-nama besar dalam dunia bola sepak turut mengaku yang Courtois sememangnya beraksi dengan sangat cemerlang dalam perlawanan ini.

Jika pada tahun 2014 lalu beliau tewas di pentas perlawanan akhir saingan Champions League bertemu Real Madrid sebagai pemain Atletico, hari ini beliau bukan hanya bergelar juara, tetapi turut layak dianggap wira sebenar sebalik kemenangan Los Blancos.

Jika Courtois mencuri perhatian ramai atas aksi hebat yang beliau persembahkan hari ini, rakan sepasukannya, Toni Kroos pula menarik perhatian peminat kerana bergaduh dengan wartawan selepas tamat perlawanan.

Selepas wisel penamat dibunyikan, Toni Kroos bergaduh dengan media Jerman dalam satu sesi temu bual, selepas wartawan tersebut bertanya tentang perasaannya melihat Liverpool mendominasi perlawanan.

Pemain midfield berusia 32 tahun itu jelas sekali tidak gembira dengan dua soalan dari wartawan itu.

“Kamu ada 90 minit dan kamu tampil dengan dua soalan sampah.”

Jelas Kroos menurut akaun twitter, @LGAmbrose.

“Dua soalan negatif, dan kamu dah tunjukkan yang kamu Jerman.”

Pengguna media sosial tampil membincangkan hal tersebut dengan ada yang menyokong dan ada yang menghentam Toni Kroos.

“Kamu bermain sepanjang perlawanan dan kamu masih ada simpan sesuatu lagi untuk ajar media yang tak menghormati pemain. Hebat!”

“Toni Kroos semakin matang dan dia buat tindakan yang tepat, media tak boleh sesuka hati mahu bertanya apa saja soalan kepada pemain tanpa memikirkan perasaan mereka.”

“Dia baru saja bantu Real Madrid menjuarai saingan Champions League tapi dia ditanya soalan dungu tentang Liverpool dominasi permainan. Wartawan itu memang sengaja menguji kemarahan dia.”

“Saya rasa Toni Kroos terlalu berlagak, ia agak keterlaluan kerana wartawan itu tanya soalan berdasarkan apa berlaku di atas padang. Saya tak rasa soalan itu mengganggu.”

“Apa masalah dengan soalan itu? Memang Liverpool dominasi permainan dan wartawan itu hanya tanya adakah dia terkejut atau tidak, saya rasa itu soalan biasa saja.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kante Berjaya Menjadi Pemain Keempat Dalam Sejarah Yang Pernah Julang EPL, UCL, CWC Dan Piala Dunia