Grealish Dianggap Punca Mengapa Rundingan Kontrak Salah Tak Selesai

Bintang Manchester City, Jack Grealish dipersalahkan sebagai punca mengapa rundingan kontrak Mo Salah bersama Liverpool masih tidak selesai sehingga hari ini.

Salah memiliki baki kontrak selama satu tahun lagi bersama Liverpool dan beliau sehingga kini masih belum bersetuju untuk menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Antara sebab utama mengapa beliau masih belum menandatangani kontrak baru adalah kerana beliau tidak gembira dengan tawaran gaji yang ditawarkan kepadanya.

Pemain berusia 29 tahun itu tahu apa yang beliau mahukan dan menurut legenda Liverpool, Mark Lawrenson, perpindahan Jack Grealish menyertai Man City sebenarnya telah memberi impak kepada rundingan kontrak Mo Salah.

Bercakap mewakili 888sport, Lawrenson menyatakan bahawa:

“Salah sudah jelas dan nyata merupakan pemain terbaik di dunia.”

“Dia bermain di sebelah kanan dan dia berkaki kiri dan dia menjaringkan gol untuk suka-suka. Saya boleh katakan tak pernah teringat kalau Liverpool pernah ada pemain seperti itu sebelum ini.”

“Ia seolah-olah ada jaminan untuk dapatkan gol jika kamu ada pemain seperti Mo. Dan kerana itulah hal ini menjadi isu yang sangat besar perlu diselesaikan dengan dia.”

“Ada segelintir peminat seolah-olah seperti, berapa duit yang dia nak? Bayar saja jumlah itu kepada dia.”

“Tapi masalah sebenar bermula ketika City menandatangani Jack Grealish dengan nilai £100 juta dan semua orang tahu gaji dia. Ejen Mo berkemungkinan akan fikir yang, ‘andai Grealish boleh dapat £100 juta, habis anak buah saya? Pemain yang lebih bagus dan boleh jaringkan banyak gol, tentu boleh dapat lebih dari apa Grealish dapat.’

“Tapi jelas sekali, mereka ada terma dan syarat peribadi yang berbeza bersama City.”

Grealish menyertai Manchester City dari kelab kesayangannya, Aston Villa dan turut memecah rekod menjadi pemain Inggeris paling mahal dalam sejarah.

Beliau sepertinya gagal untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya pada musim debutnya bersama kelab.

Pep Guardiola sementara itu yakin yang Grealish satu hari nanti akan mampu menyesuaikan diri dengan sistem kendalian beliau dan dana yang City keluarkan untuk bintang England itu akan menampakkan hasilnya.

Salah sementara itu tidak menolak yang beliau akan kekal beraksi bersama Liverpool pada musim hadapan walaupun beliau tidak menandatangani kontrak baru pada penghujung musim ini.

The Athletic melaporkan yang pemain kebangsaan Mesir itu turut menegaskan yang beliau masih mahu kekal beraksi di England walau kariernya di Anfield sudah berakhir.

Hal itu sepertinya telah memberi gambaran kepada pasukan seteru yang mereka perlu terus memantau perkembangan karier bintang Mesir itu andai berhasrat mahu mendapatkan khidmatnya di masa hadapan.

Pada April lalu, Salah menyatakan yang beliau sangat yakin yang rundingan beliau bersama Liverpool akan menemui kata sepakat.

Beliau yakin Liverpool akan memenuhi segala permintaannya dan akan menawarkan kontrak baru kepadanya sebelum berakhirnya musim ini.

Salah menyertai Liverpool dari AS Roma pada tahun 2017 yang lalu dengan beliau kini sudah berjaya menjaringkan 156 gol dari 264 penampilan bersama kelab.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya menjadi antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak hari ini dan turut berjaya membantu Liverpool memenangi pelbagai kejuaraan.

Beliau menjadi nadi penting sebalik kejayaan Liverpool menjuarai saingan Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup, Premier League, Carabao Cup dan FA Cup.

The Egyptian King itu juga turut berjaya memenangi pelbagai anugerah individu termasuk anugerah kasut emas sepanjang kariernya bersama Liverpool.

Walaupun Liverpool musim ini berjaya mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua dan layak ke tiga pentas perlawanan akhir, Jurgen Klopp sepertinya akan tetap kehilangan salah seorang anak buahnya.

Sadio Mane dilaporkan sudah hampir pasti akan meninggalkan kelab pada musim panas ini dengan beliau dijangka bakal menyertai Bayern Munich pada musim baharu nanti.

Selepas enam tahun bersama Liverpool, Mane berjaya menjadi antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak, dan jelas sekali kem The Reds akan sangat terkesan akan kehilangan beliau.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Champions League 2022/23: Liverpool 2-0 Rangers