Sebab Utama Ozil Disingkirkan Dari Skuad Fenerbahce

Sebab utama mengapa Mesut Ozil disingkirkan dari skuad utama Fenerbahce dilaporkan berpunca dari masalah perbalahan antara beliau dengan pengurus interim kelab.

Mesut Ozil bersama bintang kebangsaan Turki, Ozan Tufan telah disingkirkan dari skuad utama Fenerbahce berkuat kuasa serta merta.

Gergasi saingan Super Lig itu telah mengeluarkan kenyataan pada petang semalam, untuk mengesahkan yang bekas bintang Arsenal, Ozil tidak akan bermain untuk Fenerbahce lagi di masa hadapan.

“Pemain dari kelab bola sepak kami, Mesut Ozil dan Ozan Tufan telah disingkirkan dari skuad berkuat kuasa serta merta. Hal ini kami dedahkan kepada umum untuk pengatahuan penyokong.”

Ozil telah diturunkan ketika aksi kemenangan 2-1 Fenerbahce bertemu Konyaspor dengan beliau ketika itu beraksi sebagai ketua pasukan.

Walau bagaimanapun, bekas bintang Arsenal dan Real Madrid itu telah dibawa keluar pada rehat separuh masa, dengan Fenerbahce ketika itu sedang ketinggalan 1-0.

Fenerbahce kemudiannya berjaya menjaringkan dua gol menerusi Kim Min-jae dan Dimitri’s Pelkas untuk mengesahkan kemenangan 2-1 mereka menewaskan Konyaspor.

Menurut sumber laporan Football.london, Ozil sebenarnya ada salah faham dengan pengurus interim Fenerbahce, Ismail Kartal dan kerana itu beliau disingkirkan dari skuad.

Pemenang Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Jerman itu mengalami masalah sakit belakang pada awal musim baru-baru ini.

Menurut laporan dari media Turki, Aksam, Ozil dikatakan tidak cukup cergas dari segi fizikal dan bergelut dengan intensiti dalam perlawanan terakhir bertemu Konyaspor minggu lalu.

Beliau pada musim ini telah terlepas lapan perlawanan pada tahun 2022 ini dek kerana masalah sakit belakang yang beliau hadapi.

Pada penghujung tahun lalu, Presiden Fenerbahce, Ali Koc tampil mengkritik Mesut Ozil dalam satu temu bualnya berkait keadaan legenda Jerman itu.

“Sejak dari permulaan musim ini, Mesut telah dibandingkan dengan Robin Van Persie.”

Jelas Koc kepada Fenerbahce TV.

“Ozil mahu bermain lebih banyak perlawanan. Bermula dari sekarang, dia perlu beri perhatian kepada permainan dia dan ketepikan minat komersial dia buat seketika. Dia perlu fikir untuk menyumbang kepada Fenerbahce.”

“Jurulatih kami juga turut mencari jalan bagaimana untuk dapatkan yang terbaik dari Ozil. Itu bukan masalah, selain dari apa media kata. Mesut tak gembira kerana dia jarang bermain.”

Mesut Ozil sudah bermain 37 perlawanan untuk Fenerbahce dengan beliau cemerlang menjaringkan sembilan gol sepanjang tempoh tersebut.

Walau bagaimanapun, Ozil dikatakan tidak begitu gembira berada di Istanbul dan antara puncanya kerana kekurangan minit permainan.

Ozil menyertai Fenerbahce pada Januari 2021 selepas beliau diketepikan dari skuad Arsenal yang dikendalikan oleh Mikel Arteta.

Ozil mula diketepikan selepas beliau terlalu lantang bersuara untuk membela nasib suku kaum Uighur di China dan menyebabkan beliau dihentam teruk oleh pelbagai pihak.

Kelab sendiri sama sekali tidak menyebelahi beliau, dengan Arsenal bahkan mengetepikan Ozil dari bermain sebarang perlawanan untuk kelab.

Pemenang Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Jerman itu merupakan penerima gaji tertinggi kelab, namun nama beliau disingkirkan dari skuad utama Premier League dan Europa League sebelum beliau akhirnya meninggalkan Emirates.

Arsenal kononnya mengatakan yang Ozil tak sehaluan dengan bekas rakan sepasukannya yang ketika ini merupakan pengurus Gunners, Mikel Arteta.

Namun kenyataan sebenarnya semua tahu apa punca Arsenal melepaskan Ozil untuk sertai Fenerbahce pada ketika itu.

Bersama Fenerbahce, Mesut Ozil memulakan kariernya dengan sangat baik dan beliau turut menjadi antara nadi terpenting kelab.

Pada musim ini, beliau telah berjaya menjaringkan lapan gol dan turut mencatatkan 2 assists dari 22 penampilan dalam saingan liga.

Sementara Tufan pula beliau baru sahaja kembali sertai Fenerbahce pada Februari lalu, selepas menghabiskan masa sebagai pemain pinjaman dalam saingan Premier League.

Pemain midfield itu menghabiskan separuh musim bersama Watford sebagai pemain pinjaman namun selepas dua kali kelab menukar pengurus, beliau memilih untuk kembali ke kelab asalnya.

Sebelum ini, kelab bola sepak milik manusia terkaya Indonesia Raffi Ahmad dikatakan sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Mesut Ozil.

Mungkin dengan keputusan Fenerbahce melepaskan beliau, ia bakal memberi ruang kepada pelakon, pengacara, youtuber dan ahli perniagaan terkenal Indonesia itu untuk membawa Ozil ke bumi Indonesia.

Dari segi ekonomi, jelas sekali Raffi Ahmad tidak berdepan masalah untuk mendapatkan khidmat Ozil, namun semuanya bergantung kepada pemain itu sendiri sama ada beliau mahu atau tidak untuk berkelana jauh ke Asia bagi meneruskan kariernya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ozil Puji Bola Sepak 'Seksi' Arsenal Ketika Tumpaskan Leicester City