Ozil Puji Bola Sepak ‘Seksi’ Arsenal Ketika Tumpaskan Leicester City

Perancang tengah Arsenal, Mesut Ozil memuji persembahan Arsenal ketika menewaskan Leicester City awal pagi tadi dan melabelnya sebagai ‘bola sepak yang seksi’.

Dalam satu-satunya perlawanan Liga Perdana Inggeris yang berlangsung semalam, Arsenal bangkit dari ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Leicester dengan Ozil antara pemain yang beraksi cemerlang dalam perlawanan tersebut.

Ozil tersenyum riang meraikan jaringan Aubameyang. Iwobinho pula seperti kanak-kanak riang

Pengurus Arsenal, Unai Emery membuat kejutan apabila menamakan Ozil sebagai kapten pasukan dan keputusan itu nyata membuahkan hasil dengan Ozil berjaya menjaringkan satu gol dan satu assist.

Leicester terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah pada minit ke-31 selepas Hector Bellerin tertampan bola ke dalam gawang sendiri. Leicester juga bermain dengan sangat baik pada awal babak pertama dan sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol sekiranya jentera serangan lebih tajam.

Arsenal kembali mengatur serangan dan hasilnya pada penghujung babak pertama, Ozil berjaya menyamakan kedudukan hasil lorongan cantik daripada Bellerin.

Separuh masa kedua bermula dengan Arsenal lebih banyak menguasai perlawanan. Percaturan Emery memasukkan penyerang antarabangsa Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang dan pemain muda, Matteo Guendhozi pada minit ke-61 nyata membuahkan hasil kerana Arsenal berjaya mendahului perlawanan buat kali pertama menerusi jaringan Aubameyang pada minit ke-63.

Bagaikan harimau kelaparan, Arsenal semakin bernafsu dan buat kali kedua dalam masa 3 minit, Aubameyang sekali lagi berjaya menjaringkan gol, kali ini dibantu oleh Ozil. Ia merupakan gerakan berpasukan yang sungguh cantik dan merupakan calon utama untuk memenangi anugerah gol terbaik musim ini.

Ozil yang baru sahaja bersara dari arena antarabangsa beberapa bulan yang lalu, berkata beliau bangga dengan persembahan Arsenal dan melabelnya sebagai bola sepak yang seksi.

“Saya rasa kami bermain bola sepak yang sungguh seksi malam tadi. Saya berasa bangga kerana dapat menjadi kapten untuk pasukan dan kelab ini!” Ujar Ozil menerusi Twitter rasminya.

Emery pula meluahkan perasaan gembiranya melihat persembahan Ozil tetapi beliau akan terus menekan Ozil dan pemain-pemain lain untuk bekerja lebih keras selepas ini.

“Mesut Ozil mempamerkan persembahan yang amat baik hari ini. Kami akan terus menekan dan meminta lebih dari para pemain dan juga Ozil untuk kelab ini.”

Ya Gunners Ya

“Dalam pasukan ini, kami mempunyai beberapa pemain yang mampu menggalas tugas kapten. Setiap pemain mampu membantu pasukan dengan kualiti dan kapisiti masing-masing.”

“Kami mempunyai kapten yang tetap tetapi setiap pemain masing-masing memainkan peranan yang penting. Saya percaya Ozil mampu bermain setiap perlawanan dengan komitmen dan kualiti yang tinggi.”

“Kami akan meminta komitmen yang tinggi dari setiap pemain dan dibantu dengan kualiti yang kami miliki dalam pasukan, ia diharap akan dapat membantu pasukan ketika beraksi di atas padang.”

BACA:  FA Cup Suku Akhir: Sheffield United 1-2 Arsenal