Senarai Jersi Semua Pasukan Negara Bertanding di Euro 2020

Selalunya, setiap pasukan bola sepak akan mengeluarkan jersi baru pasukang kebangsaan masing menjelang kejohanan besar, dan edisi Euro 2020 pada tahun ini juga tidak berkecuali.

Menjelang sepak mula pada 11 Jun nanti antara Turki dan Itali, kesemua pasukan telah pun mengesahkan rekaan dan corak jersi masing-masing. Dalam edisi pada kali ini, kita akan dapat lihat jersi dengan pelbagai jenama akan diperagakan.

Contohnya seperti Nike, Adidas, Joma, Puma, Hummel dan tidak lupa juga Jako.

Berikut adalah jersi home dan away setiap pasukan yang akan bertanding di pusingan akhir Kejohanan Eropah nanti.

Austria

Mengunakan jersi keluaran Puma, Austria seperti biasa mengenakan warna merah di bahagian badan dan putih di lengan. Jersi ini bersulamkan seni Alpine klasik yang diinspirasikan oleh gaya Vienna Secession art nouveau.

Kalau nak tahu menatang apa Vienna Secession art nouveau tu google lah sendiri.

Jersi away Austria ini dikeluarkan pada November 2019, menampilkan gabungan warna hitam dan teal, bercorakkan bulu pelepah. Warna teal ni lebih kurang warna turqoise ke arah hijau gitu. Kalau kau nak tahu warna sebenar teal ni, kau tanya makwe kau.

Tapi kalau kau single, sorry lah ye.

Belgium

Seperti edisi Euro 2016, Belgium meneruskan usahasama pengeluaran jersi mereka dengan Adidas. Jersi home mereka ini menampilkan grafik brushstroke dalam bentuk huruf B. Warna merah bendera Belgium menjadi warna asas jersi ini, dengan silangan hitam dan garisan kuning di kolar dan lengan.

Belgium tampil dengan jersi away berwarna putih, berlatar belakang kan gambar pergunungan. Mungkin itu adalah gambar pergunungan Ardennes yang menjadi pusat pelancongan di Belgium.

Croatia

Seperi biasa Croatia tampil dengan jersi chequered merah putih, dengan warna putih di belakang. Kalau korang fikir merah putih ini diambil daripada bendera mereka, korang salah.

Sebenarnya warna petak merah putih ini diinspirasikan daripada jersi pasukan Kelantan yang berjaya mencatat kejuaraan treble pada tahun 2012. Cerita betul ni. Hanya orang tertentu sahaja yang tahu.

Jersi away Croatia pula berwarna hitam dengan rekaan monochrome petak-petak kecil. Ini tak lain tak bukan tiru jersi away Selangor la ni. Tak pun ambil semangat juara dan kepahlawanan Liverpool.

Republik Czech

Jersi home Republik Czech yang dihasilkan oleh Puma ini menampilkan corak pokok Lipa sebagai latar belakang. Berwarna merah tradisi dengan jalur biru di kolar, agak segak juga jersi pasukan ini dan sesuai untuk dipakai ke majlis-majlis sosial.

Jeri away Czech boleh dikatakan antara jersi yang paling menarik perhatian dalam edisi Euro kali ini, dek warna hijau lime yang meghelip.

“Jersi baharu ini tampak berani, bercita-cita tinggi, segar dan garang – yang melambangkan ciri-ciri sebenar pasukan Czech, yang telah melalui perubahan generasi dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Martin Malik, Pengerusi Persatuan Bola Sepak Republik Czech.

Denmark

Denmark masih tampil dengan penaja mereka yang biasa, Hummel, dan pada kali ini, walaupun tampak seakan sama dengan rekaan jersi lama, ada keistimewaan tersendiri pada jersi ini.

Di bahagian dalam dan bawah kolar belakang, terdapat lakaran gelombang bunyi – gelombang yang terhasil ketika penyokong mereka menyanyikan lagu kebangsaan Denmark.

Jersi away pula hadir dengan putih penuh dan calitan merah di lengan, serta turut menampilkan gelombang bunyi seperti jersi home. Jersi away Denmark ni sekali tengok macam jersi main ping-pong pun ada juga.

England

England tampil ke Euro 2020 dengan rekaan jersi home yang serba ringkas – ambil jersi putih, letak logo Tiga Singa dan tampal logo Nike. Nak bagi nampak berbeza sikit, letak corak garis-garis di latar utama. Siap.

Jersi away England pula kali ini dihasilkan dengan warna biru – sebagai mengenang kembali jersi klasik England pada tahun 90-an. Hadir dengan kolar lipat, jersi ini boleh dipakai pada hari Jumaat kasual di pejabat korang.

Finland

Jersi home Finland juga tampil ringkas dengan cross pada bendera mereka ditampal ke jersi. Dek rekaan terlalu ringkas, amat sukar untuk diulas jersi ini.

Jersi away Finland pula tampil dengan dua tona warna biru, dan kolar lipat. Jika dilihat sekali imbas, jersi ini amatlah sesuai untuk dipakai para guru ketika subjek Pendidikan Jasmani Kesihatan.

Perancis

Sejujurnya, agak kecewa dengan rekaan jersi Perancis kali ini. Mana tidaknya, rekaan ini tampak murah dan setaraf baju cetak rompak je. Memanglah garisan merah di tengah tu nak bawa kembali semangat juara Piala Dunia 1998, tapi…

Seperti jersi home, jersi away Perancis juga agak mengecewakan. Bagaikan memilih tshirt putih template, lalu ditampal logo penaja dan juga logo pasukan. Garisan di bahagian tepi tu sekadar nak cukup syarat sahaja. Semoga pereka jersi Perancis ini dibuang kerja.

Jerman

Jersi home Jerman kali ini agak segak dengan latar belakang putih, dihiasi dengan garis melintang halus berwarna hitam. Ini adalah erti sebenar ringkas tetapi segak.

Memandangkan betapa kuat pengaruh DNA Jerman dalam bola sepak Selangor, FA Jerman bertindak mengambil semangat Selangor pula dalam jersi away mereka. Kalau tak ada garisan merah di lengan tu, mesti orang ingat jersi hitam Red Giants.

Hungary

Jersi buatan Adidas ini tampak standard bagi sehelai jersi bola sepak. Cuma yang menjadikannya tampak menarik adalah dua tona merah di bahagian badan jersi.

Jersi away Hungary pula adalah reverse kepada jersi home mereka. Adakah pereka jersi Hungary dan Perancis ini orang yang sama? Entlahlah. Taknak usaha langsung perah idea buat jersi. Nyampah toi.

Itali

Seperti biasa, Itali akan tampil di kejohanan besar dengan rekaan jersi yang menarik. Kali ini jersi keluaran Puma ini menampilkan corak seni binda dan budaya era Renaissance yang diadun dengan grafik geometrik moden. World class!

Sama seperti jersi home, jersi away Itali turut menyelitkan rekaan ikonik era Renaissance. Inilah namanya seni. Eccelente!

Belanda

Gabungan rekaan moden dan oren tradisional menjadi pilihan Belanda untuk rekaan jersi pada kali ini. Latar belakang rekaan kepala singa yang sophisticated menaikkan seri jersi ini.

Jika jersi home tampil menarik, jersi away Belanda pula agak biasa-biasa sahaja. Dengan hitam menjadi warna utama dan disulami warna oren, jersi berkolar lipat ini juga boleh dijadikan pakaian pada acara-acara rasmi seperti Hari Sukan Negara.

Macedonia Utara

Kalau ikutkan, pasukan ini mengenakan jersi yang sama sejak 2017 sehingga Mac 2021. Untuk meraikan kehebatan mereka layak ke pusingan akhir Euro, Jako mengeluarkan jersi yang cukup unik.

Warna maroon menghiasi jersi home mereka, dengan rekaan kepala kucing lynx Balkan – simnol kebangsaan Macedonia, diselit di bahagian depan jersi. Rekaan kepala kucing ini juga merupakan satu inisiatif kesedaran untuk menyelamatkan kucing lynx yang diancam kepupusan.

Jersi away mereka pula menggunakan rekaan yang sama, cuma berwarna putih penuh, ditambah warna keemasan di tepi. Confirm tiru jersi away Kelantan FC ni.

Poland

Berbanding jersi lain yang sama ringkas dan buruk, jersi home Poland boleh dimasukkan dalam kategori ringkas tapi segak. Warna putih sebagai latar, jersi ini direka untuk mengiktitiraf generasi emas mereka pada tahun 1970-an dan 1980-an.

Jersi away Poland juga tampil agak ringkas, dengan warna merah penuh dicalit sedikit warna putih. Cuma yang peliknya, kenapa logo pasukan sahaja berada di tengah, sedangkan logo penaja berada di tepi?

Portugal

Portugal bakal mempertahankan kejuaraan mereka dengan jersi yang ringkas, berwarna merah tradisional mereka. Yang menariknya, ini adalah kali pertama Portugal akan mengenakan seluar pendek hijau, selepas kali terakhir melakukannya pada Euro 2004.

Jersi away Portugal pula menampilkan rekaan warna hijau cair seperti mana jersi mereka ketika menjulang piala ini pada tahun 2016 yang lalu. Kira nak ambil semangat la tu.

Russia

Russia mengekalkan elemen retro dalam rekaan jersi mereka. Rekaan ini sebenarnya rekaan kedua selepas rekaan pertama dikatakan melambangkan bendera Serbia. Menarik juga jersi Russia ini di mana berlatarkan pergunungan. Mungkin ingin mempromosi pelancongan ke negara tersebut.

Jersi away Russia dihadirkan dengan imbasan kepada warna bendera negara terbesar di dunia tersebut.

Scotland

Selepas berpuluh tahun tidak layak ke kejohanan utama dunia, akhirnya Scotland mampu juga. Jersi jiran England ini memaparkan warna tradisional mereka, biru gelap. Dari segi rekaan pula, orang boleh tahu ini adalah jersi bola. Standard je.

Jersi away Scotland nampak lebih menarik dan berseni di mana terdapat corak ringkas sebagai latar utama jersi. Warnanya pula seakan biru Argentina. Mungkin mereka nak ambil semangat Messi untuk melangkah jauh dalam kejohanan kali ini.

Slovakia

Tidak seperti jiran mereka Republik Czech yang kosong, rekaan jersi Slovakia dilihat lebih mempunyai nilai seni dengan penggunaan dua tona warna biru. Nampak la bersungguh sikit pereka jersi ni.

Tidak seperti jersi home, jersi away Slovakia direka dengan ringkas dengan warna putih memenuhi ruang. Mungkin idea tak datang kot masa dia reka jersi ni.

Sepanyol

Seperti biasa, pereka jersi Sepanyol selalu try hard untuk menghasilkan jersi yang penuh makna. Kali ini mereka agak berjaya di mana gabungan retro dan kontemporari moden menjadikan jersi ini agak menarik dengan penggunaan dua tona merah yang berbeza.

Jersi away Sepanyol pula agak ringkas dengan warna putih memenuhi ruang, tetapi corak latar utama jersi menjadikan jersi ini sedikit berbeza daripada jersi putih pasukan lain. Jersi ini juga boleh dikatakan satu kesinambungan jersi away mereka ketika kempen Piala Dunia 2018.

Sweden

Jersi Sweden keluaran Adidas ini tampil dengan warna rasmi mereka – kuning dan biru, melambangkan warna bendera negara mereka. Perkataan ‘Sverige’ ditulis di belakang baju, yang membawa maksud Sweden dalam bahasa ibunda mereka.

Jersi away Sverige pula tampil dengan rekaan gabungan klasik dan moden, namun lebih berat ke arah klasik. Bagi penggemar rekaan jersi berjalur, ini adalah satu pilihan untuk dimasukkan ke dalam koleksi korang.

Switzerland

Switzerland masih lagi setia bersama Puma dan kali ini jersi mereka dihasilkan dengan gabungan dua tona merah yang berbeza. Selain logo bola sepak Swiss, jersi mereka turut diletakkan bendera negara mereka juga.

Jersi away Switzerland tampil dengan maknanya yang tersendiri, di mana terdapat terdapat jalur merah jambu, ungu, maroon dan hijau, yang membawa membawa maksud empat bahasa pertuturan di negara tersebut – Bahasa Jerman, Perancis, Itali dan Rhaeto-Romanic.

Turki

Jersi home pasukan Turki ini tampil ringkas dengan warna putih diadun dengan belang merah yang tebal di bahagian dada, dengan logo bulan sabit dan bintang – lambang bendera Turki, menjadi hiasan. Terdapat perkataan Turkiyem atau maksudnya Turki Aku dicetak dibahagian dalam jersi untuk memberi semangat kepada para pemakai.

Jersi away Turki juga tampil dengan rekaan yang sama dengan jersi home, cuma berbeza di warna latar. Menariknya, jersi Turki ini adalah satu-satunya jersi yang tidak meletakkan logo pasukan bola sepak, sebaliknya mereka meletakkan bendera mereka sahaja sebagai tanda hormat dan pencetus semangat.

Bukan macam pasukan tu. Nak layak ke Piala Asia pun terkial-kial, tapi persatuan sibuk nak letak logo diorang di jersi.

Ukraine

Joma menghasilkan satu jersi yang menarik buat bekas negara Soviet ini. Jersi home Ukraine menggunakan kuning sebagai warna asas, dihiasi dengan corak menarik di bahagian latar jersi.

Jersi away Ukraine ditampilkan dengan warna biru dan dihiasi dengan corak yang melambangkan seni dan tradisi rakyat Ukraine. Mesti orang yang reka jersi ini rajin buat homework.

Wales

Wales akan memakai jersi rekaan Adidas berwarna merah sebagi jersi home mereka. Warna ini berbeza dengan warna jersi Wales yang biasa kerana mengambil inspirasi daripada Owain Glyndwr, pemimpin revolusi mereka pada abad ke-15, yang berjuang menentang penjajahan England di tanah air mereka.

Jersi away Wales pula turut mengenakan rekaan Condivo 20 seperti jersi pasukan yang ditaja Adidas yang lain. Warna kuning cerah macam ni pasti akan memberikan kelebihan kepada Wales di atas padang. Ye lah, kawan senang nak pass bola. Dari jauh dah nampak.

Sumber : Kesemua gambar dicuri dari goal.com

BACA:  Luke Shaw Jaringkan Gol Terpantas Dalam Sejarah Final EURO