Kepercayaan tahyul adalah satu perkara yang biasa dalam bola sepak dan seringkali diamalkan sama ada di kalangan pemain, pengurus ataupun penyokong. Antara kepercayaan yang biasa kita dengar adalah seperti pemain memakai seluar dalam yang sama setiap kali perlawanan, pengurus memakai baju yang sama di tepi padang, atau penyokong yang percaya bahawa Manchester United bakal juara musim 2021-22.
Terkini, ada seorang penyokong England yang mempunyai satu kepercayaan karut yang di luar jangkauan pemikiran normal manusia. Dia mendakwa bahawa England akan menjaringkan gol setiap kali anak lelakinya berkunjung ke tandas ketika kempen Euro 2020.
🗣️ "In two games where he has gotten up to pee, we have scored, so we now load him up with water and juice before kick-off. He's doing it for his country!''
Give this lad all the drinks he wants on Wednesday! 😅 https://t.co/O5x9xFAQcv
— SPORTbible (@sportbible) July 5, 2021
Pasukan yang dikenali sebagai Tiga Singa tersebut bakal berdepan Denmark di peringkat separuh akhir pada hari Rabu (pagi Khamis waktu Malaysia. Takut ada orang tak faham), dan mereka mengimpikan kejuaraan utama yang pertama sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 1966 dalam kempen Piala Dunia di tanah air sendiri.
Sesetengah penyokong akan melakukan sesuatu perkara yang di luar kebiasaan dengan harapan akan menyebabkan aura alam semesta memberi tuah kepada England, tetapi seorang penyokong yang bernama Paul, lain macam dia punya pergi.
Dia memberitahu BBC seperti yang dilaporkan oleh sportBIBLE berkata;
“Aku dan anak aku, Henry, duduk di tempat yang sama di atas sofa, pakai baju England yang baru basuh setiap kali tengok perlawanan.
“Dalam dua perlawanan ni bilamana dia kena bangun untuk pergi kencing, kami jaringkan gol jadi sekarang ni kami paksa dia minum banyak air sebelum perlawanan.
“Dia berkorban demi negara!”
Walaubagaimanapun, Paul tidak memberitahu gol manakah yang terhasil ketika anaknya berada di tandas, sama ada ketika England menewaskan Jerman 2-0, atau ketika menumpaskan Ukraine di suku akhir dengan kemenangan 4-0.
Penyokong lain juga turut berkongsi kepercayaan mereka dari perkara biasa, sehinggalah perkara pelik.
Penyokong bernama Barrie menceritakan bahawa dia akan memotong rambut sebelum perlawanan England.
“Aku potong rambut lima minit sebelum perlawanan Jerman dan England.
“Aku cukur kepala lima minit sebelum perlawanan England dan Ukraine. England menang weh.
“Sekarang ni kening aku macam dah tahu ke mana hala tuju dia lepas ni.”
Seorang penyokong yang bernama Vance juga turut berkongsi kepercayaan tahyulnya.
“Anak perempuan aku belikan satu jersi England untuk hadiah awal sempena Hari Bapa.
“Aku hanya pakai bila mana Harry Kane ketuai pasukan berjalan masuk ke padang. Bila perlawanan tamat, aku buka dan sangkut balik di penyangkut baju.
“Tak boleh basuh lagi setakat ni kalau tak nanti dah habis tuah dia.”
Sebelum ini, Johhny Howell, seorang jurutera yang berusia 30 tahun dari Great Yarmouth pula berkata, England mendapat tuah daripada anak yang sedang dikandung isterinya.
Dalam satu sesi ultrasound, paparan imej menampakkan bahawa anaknya itu mengangkat tangan dan menunjukkan gaya dua jari, yang kemudiannya diterjemahkan oleh doktor bahawa anak itu menunjukkan simbol peace.
Memandangkan England bakal bertemu Jerman ketika itu, Johnny memandang serius gaya tangan anaknya dan menganggapnya sebagai simbol kepada kemenangan England pada perlawanan yang bakal berlangsung tersebut.
Tanpa membuang masa, Johnny terus pergi ke kedai judi dan meletakkan taruhan sebanyak £30 untuk England menang 2-0 atau 2-1.
Gol daripada Harry Kane dan Encik Raheem Sterling dalam perlawanan tersebut telah memastikan Johnny mendapat pulangan sebanyak £330.
“Rasa seronok sangat yang anak aku tunjuk keputusan yang betul,” Johnny memberitahu The Sun.
“Sayang betul dia tak angkat empat jari bersama ibu jari untuk ramal lima gol.”
Teman wanita Johhny, Alice, seakan tidak percaya apa yang dia lihat.
“Bila gol kedua tu masuk, aku macam…ciyus ahhh?” ujar Alice.
Sumber : sportBIBLE