Siapa Romeo Lavia Sehingga Menjadi Kegilaan Chelsea Dan Liverpool? Handal Sangatkah Dia? Kenalinya Disini…

Pada Jun 2018 Kevin De Bruyne telah menjemput Pep Guardiola ke negaranya, Belgium. Pada ketika itu Romeo Lavia sedang berusia 15 tahun.

Ketika berada disana, Guardiola melihat pemain remaja itu bermain bola. Pengurus Manchester City itu terpaku dan fikirannya memikirkan sesuatu.

Lavia merupakan jantung bahagian-tengah pasukan Anderlecht, dia menunjukkan superioriti yang di sudah biasa dilihat oleh jurulatih kelab itu.

Ketika musim rutin dia akan bersama dengan rakan-rakan sepasukan dua tahun lebih tua darinya.

“Dia dua tahun lebih muda dan dia seorang yang baik,” kata Jules Houttequiet. Houttequiet merupakan rakan sepasukan Lavia dalam pasukan remaja Anderlecht.

“Dia tidak pernah hilang bola. Dia begitu tenang.”

Ketika pertandingan Piala KDB, iaitu satu kejohanan remaja peringkat antarabangsa bawah 15 tahun, Lavia kembali menyertai rakan sebayanya.

“Ketika dia masih kecil dan bermain dalam perlawanan 8 lawan 8 (8 sebelah) , saya masih ingat dia merupakan seorang bakat yang menarik ketika itu,” Jean Kindermans, ketua akademi Anderlecht.

“Tetapi apabila dia mula bermain 11 lawan 11 di peringkat bawah 13 tahun, kami menemui seseorang yang mempunyai kualiti istimewa, ciri istimewa.”

Anderlecht memenangi Piala KDB dan Lavia  menyinar dalam kejohanan itu.

Guardiola kembali ke City dan mengingati nama budak itu. Dia menyatakan rasa kagumnya kepada Vincent Kompany. Kompany ialah rakan senegara Lavia dan juga bekas pemain Anderlecht.

Kompany menyampaikan rasa kagum Guardiola kepada Craig Bellamy. Bellamy adalah bekas pemain City dan jurulatih bawah 21 tahun Anderlecht.

Bellamy tidak terlalu terkejut. Menurut Kindermans, Bellamy sudah lama terpesona dengan apa yang dilihatnya.

“Pep berada di sana (Belgium) selama satu atau dua hari dan wajar untuk mengatakan Romeo hebat,” Kindermans tersenyum.

“Beberapa bulan kemudian kami merasakan sukar untuk meyakinkan Lavia supaya menandatangani kontrak profesional pertamanya bersama Anderlecht.”

Setahun sebelum itu, perubahan peraturan di Belgium membolehkan Anderlecht menawarkan Lavia kontrak profesional seawal usia 15 tahun.

Secara teori peraturan baharu itu boleh menghalang bakat remaja berpindah ke luar negara terlalu awal.

Bermakna mereka tidak perlu menunggu sehingga mereka mencapai umur 17 tahun untuk memberi kontrak profesional.

Namun kelab dari luar negara juga boleh mendapatkannya pada usia muda jika mereka menemui bakat itu lebih awal dan Guardiola sudah melihat bakat Lavia.

Anderlecht berasa terancam. Mereka tahu Guardiola berminat dengan Lavia dan jika Guardiola memberi gambaran positif kepada Lavia, maka kelab Eropah lain juga akan memburunya.

Pada peringkat itu Kompany telah menyertai semula Anderlecht sebagai pengurus-pemain dan ditugaskan untuk meyakinkan Lavia supaya kekal di sana.

“Lavia agak pemalu dan saya mengalami kesukaran membacanya,” kata Kindermans.

“Sebab itulah dia seorang budak istimewa. Pada tahun itu terdapat dua pemain yang diburu oleh pasukan lain: Romeo dan (Mario) Stroeykens.”

“Vincent dan pembantunya, Bellamy bercakap dengan Romeo dan cuba meyakinkannya untuk kekal.”

“Selepas itu saya meminta jurulatih pasukan kebangsaan, Roberto Martinez untuk bercakap dengannya. Itu adalah jalan terakhir saya.”

Kindermans bercakap dengan bapa Lavia dan dimaklumkan remaja itu tidak akan menandatangani kontrak profesional bersama Anderlecht.

Selepas menyertai Anderlecht pada 1 Julai 2012, 8 tahun kemudian Lavia akhirnya memilih untuk menandatangani kontrak bersama Manchester City.

“Saya tidak pernah mempunyai masalah dengan dia atau ibu bapanya,” kata Kindermans.

“Untuk meyakinkan pemain muda menandatangani kontrak tidak begitu sukar, tetapi dengan Romeo ia terasa berbeza.”

“Saya melakukan banyak perbincangan dengan ibu bapanya, terutamanya dengan bapanya, namun saya tidak pernah tahu cita-cita sebenarnya sama ada mahu kekal atau pergi.”

“Jadi ia mengejutkan kami apabila dia memilih untuk pergi. Kami kecewa.”

“Mengapa anda pergi ke sebuah kelab besar di negara yang lebih sukar untuk melalui sistem remaja dan menembusi pasukan utamanya?”

Lavia mempunyai kualiti metronomik yang selari dengan prinsip permainan City. Bekerja di bawah Jason Wilcox, Lavia dengan pantas diserap masuk ke dalam skuad pembangunan elit dan menempatkan diri sebagai pemain NO6.”

“Posisi terbaiknya adalah sebagai deep playmaker kerana dia mempunyai keupayaan dalam melakukan hantaran,” kata Kindermans.

“Dia sentiasa tenang dengan bola. Anda boleh memberinya tekanan dan dia akan menyelesaikan masalah itu. Dia akan mempunyai kerier yang cemerlang.”

Malah pada musim lepas, di bilik persalinan Southampton yang berpecah belah antara pemain muda dan tua, Lavia merupakan salah seorang pemain paling teliti dalam skuad. Dia boleh menerima nasihat dari pemain senior.

“Di Anderlecht, kami bercakap dalam bahasa Belanda dan Perancis,” kata Houttequiet.

“Romeo bercakap dengan kesemua pemain kerana dia boleh menggunakan kedua-dua bahasa. Tidak semua orang boleh berbuat demikian.”

“Terdapat ramai pemain yang egosentrik dan tidak begitu sosial. Tetapi Romeo sangat baik dan bercakap dengan semua orang.”

“Perkara yang saya ingat adalah dia sangat tenang. Anda tidak dapat nampak perbezaan antara Romeo dengan lelaki yang berusia 30 tahun.”

Lavia menandatangani kontrak dengan agensi Elite Project Group dan diwakili oleh Emeka Obasi. Obasi mempunyai hubungan kukuh dengan beberapa kelab di Liga Perdana termasuk Chelsea, City dan Southampton.

Walaupun Obasi merancang perjalanan karier Lavia namun bapa Lavia sentiasa ada untuk untuk memberi panduan.

“Apabila dia pergi ke City, saya fikir dia akan bergelut dan tertekan,” kata Kindermans.

“Dia berada jauh dari ibu bapa, kawan dan persekitaran kebiasaanya. Tetapi saya mendapat maklumat melalui Vincent bahawa dia bermain dengan cukup baik dan City cukup gembira dengannya.”

Walaupun Lavia gembira berada di City namun dia sukar untuk mendapat peluang. Selama 18 bulan disana, dia langsung tidak mendapat peluang bermain.

Guardiola berterus terang kepadanya bahawa dia tidak boleh memberi jaminan minit permainan. Jauh di lubuk hati Lavia, dia tahu dia mampu berada dalam kesebelasan utama.

Pada Julai 2022, ekoran minat yang timbul dari Leeds United, Southampton cepat-cepat bersetuju untuk membelinya dari City pada harga £10 juta.

Obasi rapat dengan Joe Shields. Shields merupakan ketua pengambilan Southampton pada masa itu. Hubungan ini menjadi faktor rundingan tersebut berjalan lancar.

City sebenarnya tidak mahu melepaskan Lavia tetapi dalam masa sama tidak mampu memberi jaminan dia akan diberikan minit permainan dalam tempoh terdekat.

Maka, City meletakkan klausa belian semula bernilai £40 juta yang boleh diaktifkan pada tahun 2024. City juga meletakan klausa sell on sebanyak 20%, dimana mereka akan mendapat sebahagian wang jika Lavia dijual ke kelab lain.

“Saya hanya melihat seorang pemain muda yang akan berdampingan di sebelah Prowsey (James Ward-Prowse),” kata Nathan Redmond, yang berada di Southampton ketika Lavia menyertainya.

“Romeo Lavia… kualiti luar biasa.”

“Romeo seorang yang berbakat,” kata pemain-tengah Southampton, Oriol Romeu.

“Jika anda masih muda dan bermain dengan baik, anda bakal menjadi istimewa.”

Ramalan rakan sepasukan telah dibuktikan benar oleh Lavia. Dalam kempen yang huru-hara berakhir dengan penyingkiran dari Liga Perdana, Lavia merupakan pemain paling menonjol dalam pasukan itu.

Lavia keluar dari bayang-bayang dan menunjukkan bakatnya di Liga Perdana sehingga dia mendapat penampilan sulung bersama skuad senior Belgium.

Southampton tahu Lavia seorang aset bernilai tinggi dalam pasukannya. Mereka menolak tawaran lisan berjumlah £50 juta dari Chelsea. Tawaran itu datang selepas hanya enam minggu Lavia menyertai mereka.

Pada musim panas ini, Southampton akan mendapat wang paling banyak melalui jualan Lavia berbanding mana-mans pemain yang mereka miliki.

“Ini adalah pemain yang mempunyai keupayaan tinggi untuk menyesuaikan diri dengan kelab baru, orang baru dan jurulatih baharu,” kata Kindermans.

“Saya tidak nampak mana-mana kelab yang tidak sesuai dengan kecerdasanya. Romeo sangat profesional dan sentiasa bekerja keras untuk kesihatannya.”

“Dari segi mental dia sangat kuat kerana enggan kekal di Anderlecht dan mencari jalan sukar di England.”

Hampir kesemua pasukan enam teratas telah menyatakan minat dan mengadakan rundingan tidak rasmi. Penjejak bakat yang datang ke St Mary memerhatikan bagaimana Lavia terus menonjol dalam pasukan yang tidak berfungsi dengan baik.

“Saya tahu dia bagus, tetapi saya tidak fikir ia akan berlaku dalam tempoh yang singkat,” ketawa Houttequiet.

Bagi Kindermans dan Anderlecht, hubungan mereka dengan Lavia tidak berakhir di sini. Perhatian mereka kini tertumpu kepada adik Romeo iaitu Joakim. Joakim adalah kapten pasukan bawah 14 tahun Anderlecht.

“Tahniah kepada Romeo diatas pencapaiannya,” Kindermans menyimpulkan.

“Saya tidak fikir dia akan menghadapi kesukaran mencari kelab baharu tetapi kami sekarang akan memberi tumpuan kepada adiknya. Joakim sama sekali berbeza tetapi juga berbakat.”

“Saya yakin semua pasukan besar di Britain sudah mengenalinya.”

BACA:  Tawaran Kedua £41 Juta Ditolak Tetapi Kenapa Romeo Lavia Dinilai Begitu Tinggi