Tawaran Kedua £41 Juta Ditolak Tetapi Kenapa Romeo Lavia Dinilai Begitu Tinggi

Pada 26 Julai, Liverpool telah membuka langkah pertama untuk mendapatkan Romeo Lavia, 19 dari Southampton. Mereka membuat tawaran sebanyak £37 juta bagi mendapatkan pemain kebangsaan Belgium itu. Namun Southampton serta merta menolak tawaran tersebut.

Bagi Liverpool, keperluan mendapatkan Lavia adalah tinggi. Ia kerana kelab tersohor Eropah itu bakal kehilangan Fabinho dan Jordan Henderson yang sedang menarik minat dari kelab Arab Saudi iaitu Al Ahli dan Al Ettifaq. Al Ahli menawarkan satu angka yang baik (£40 juta) kepada Liverpool dalam usaha mereka mahu mendapatkan Fabinho.

Sementara itu Liverpool boleh mendapat dana tambahan lagi melalui Henderson yang ketika itu Al Ettifaq bersedia membayar yuran perpindahan sebanyak £12 juta. Dengan £52 juta itu Liverpool boleh menyegarkan semula bahagian-tengahnya dengan pembelian pemain muda yang boleh ditingkatkan lagi pada tahun-tahun seterusnya.

Dari sudut pandang Southampton pula, mereka merasakan Lavia perlu berada dalam lingkungan harga £50 juta. Selain dari penilaian mereka, melihat Lavia seorang pemain muda berbakat besar dan boleh ditingkatkan lagi, kes Chelsea pernah membida pemain ini juga boleh dijadikan sandaran.

Pada hari-hari terakhir jendela perpindahan 2022-23 Chelsea telah menawarkan wang sebanyak £50 juta untuk membeli Lavia. Southampton menolaknya kerana dia baharu sahaja menyertai mereka dua bulan. Southampton membeli Lavia dari Manchester City pada harga £12 juta.

Selepas tawaran pertama itu ditolak, Liverpool dan Southampton masih terbuka dengan sebarang rundingan. Wujud kemungkinan rundingan tersebut boleh berjaya dengan Liverpool perlu meningkatkan lagi amaun di bahagian add ons. 

Pengurus Southampton, Russel Martin agak dingin untuk mengulas tentang rundingan tersebut,

Anda boleh bertanya kepada saya apa perkembangannya, namun saya tidak boleh menjawabnya kerana saya tidak tahu

Dalam masa yang sama Liverpool turut meletakkan Cheick Doucoure dari Crystal Palace, Sofyan Amrabat dari Fiorentina, Ryan Gravenberch dari Bayern Munich dan Kalvin Phillips dari Manchester City dalam radarnya.

Tawaran kedua ditolak

Tepat seminggu selepas tawaran pertama, pada 1 Ogos Liverpool hadir dengan tawaran kedua dengan harga £41 juta. Ia bermakna Liverpool menambah £4 juta lagi dari tawaran pertama yang bernilai £37 juta.

Liverpool mendapat jawapan sama dari Southampton; tawaran ditolak dan Southampton masih bertegas mahukan £50 juta. Jika Lavia berjaya dijual pada harga itu, 20% darinya akan menjadi milik kelab terdahulunya iaitu City ia kerana ketika Lavia dijual ke Southampton, City telah meletakkan klausa sell on. 

Malah City mempunyai klausa option to buy back pada harga £40 juta. Klausa tersebut akan mula teraktif pada awal musim hadapan dan ia boleh memberi kesukaraan kepada mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan Lavia.

Menurut ciapan dari peniup wisel tersohor Fabrizio Romano telah mengesahkan perkara ini.

“Liverpool telah mengemukakan bidaan baharu untuk Roméo Lavia seperti yang dijangkakan — bayaran £42 juta.”

“Masih tiada perjanjian dengan Southampton, ia akan ditolak secara rasmi tidak lama lagi kerana mereka berkeras meminta harga £50m.”

“Rundingan masih diteruskan.”

“Kelab kekal berhubung kerana Lavia mahukan perpindahan itu.”

Kenapa Lavia dinilai begitu tinggi

Lavia mempunyai kualiti dalam press resistant, passing range luar biasa dan keupayaan tinggi to carry the ball. Walaupun usianya belum mencapai 20 tahun namun Lavia sudah memiliki ketenangan dan keyakinan untuk mengawal permainan.

Dengan usianya yang masih muda itu, ia akan memberi ruang dan peluang kepada pengurus dan kelab untuk terus meningkatkan kemampuannya ke tahap paling tinggi bagi seseorang pemain. Klopp mempunyai keupayaan itu dan usia Lavia amat sesuai dengan pengurus kelahiran Jerman itu yang terbukti handal mengangkat pemain muda.

Sama seperti Fabinho, Lavia juga tidak takut atau gemuruh untuk bergerak dan melindungi banyak kawasan di atas padang. Di Southampton, Lavia merupakan signing paling transformatif yang dilakukan oleh kelab itu pada musim lepas namun dia mengalami kecederaan hamstring dan hanya terlibat dalam 28 perlawanan sepanjang musim.

Jadi, kenapa Manchester City menjualnya

City sebenarnya tidak lah betul-betul menjualnya kerana kelab tersebut meletakkan pilihan membelinya semula pada masa hadapan. City menjual Lavia kepada Southampton dengan harga £12 juta dan mereka boleh membelinya semula pada harga £40 juta.

Bagi seorang pemain berusia 18 tahun ia adalah sukar untuk bersaing dan mendapat tempat dalam pasukan hebat seperti City. City boleh meminjamkan Lavia keluar tetapi dengan terma pinjaman ia tidak akan menarik minat pasukan dari Liga Perdana.

Menjual dan dengan pilihan beli semula adalah jalan terbaik untuk tidak melepaskan bakat kelab secara penuh kepada pasukan lain. Dalam kes ini City hanya hilang £28 juta jika memilih untuk membeli semula Lavia, ia boleh dikatakan kos pembangunan akhir.

Dalam satu klausa lain, jika City tidak mahu membelinya semula dan kelab lain yang membelinya – 20% duit jualan akan menjadi milik City. City menang dari pelbagai sudut.

Pasukan yang berminat untuk mendapatkan Lavia seperti Chelsea dan Liverpool perlu membelinya dalam jendela perpindahan ini atau jendela perpindahan Januari nanti, kerana klausa belian semula dari City boleh diaktifkan pada Jun 2024.

BACA:  Kisah Bintang Muda Juventus Dari Korea Utara Yang Pernah Pernah Curi Perhatian Liverpool Tetapi Tak Kenal Steven Gerrard