Suarez Rai Gol Dengan Menganjing Ronald Koeman

Luis Suarez meraikan gol jaringan beliau bertemu bekas kelabnya, Barcelona dengan menganjing Ronald Koeman yang sedang menonton perlawanan dari stands.

Bekas bintang Barcelona itu menganjing Koeman dengan menunjuk isyarat telefon sambil melihat wajah pengurus dari Belanda itu.

Musim panas lalu, pemain kebangsaan Uruguay itu bengang dengan Koeman yang memberitahunya bahawa beliau tiada masa depan di Nou Camp.

Terdapat laporan yang mengatakan bahawa Koeman bercakap dengan Suarez tentang hal itu menerusi panggil telefon sahaja, dan mereka berbual kurang dari satu minit.

Menurut laporan dari media Sepanyol, SPORT, mereka mendakwa yang Suarez sendiri tidak mahu tanya lebih lanjut tentang hal itu, dengan Koeman pula merasakan beliau tidak perlu menjelaskannya pada bekas pemainnya itu.

Bercakap tentang panggilan telefon itu, Luis Suarez jelas tidak gembira dengan cara bagaimana Barcelona melepaskan beliau, dan beliau juga tidak gembira dengan individu belakang tabir di Nou Camp.

Beliau merasakan seolah dirinya tidak mempunyai maruah kerana diperlakukan sedemikian walau sudah menyerahkan segalanya untuk kelab.

Seminggu kemudian, beliau telah menandatangani perjanjian bersama Atletico Madrid dengan kontrak selama dua tahun.

Lebih manis lagi, beliau turut berjaya membantu Atletico Madrid untuk menjuarai saingan La Liga, sementara Barca menangis dengan prestasi tidak menentu mereka.

Awal tahun ini, pemain berusia 34 tahun itu mendedahkan tentang rasa terkejutnya beliau ketika diberitahu yang dirinya sudah tidak diperlukan lagi di Nou Camp.

“Ketika Barcelona beritahu saya yang mereka tidak memerlukan saya, ia sebenarnya sangat menyakitkan. Saya langsung tak jangkakan itu.”

Jelas Suarez kepada El Transitor.

“Memang ada detik kekecewaan kerana melihat kepada adab mereka.”

“Koeman hubungi saya dan beritahu saya yang saya tidak ada dalam perancangan dia. Ketika Barcelona umumkan hal itu secara rasmi dan mereka mengetepikan saya, saya mula berunding dengan Atleti, dengan Cholo (Simeone), dengan Miguel Angel.”

“Memang ada banyak kelab yang berminat, bukan hanya Juventus. Saya mahu membuat keputusan yang tepat, keputusan terbaik untuk saya dan keluarga saya.”

Sejak ketibaannya di Wanda Metropolitano, pemain penyerang berpengalaman itu memainkan peranan penting sebalik kejayaan Atletico Madrid pada ketika ini.

Ketika aksi pertemuan bertemu Barcelona awal pagi tadi, Suarez cemerlang mengayam-ayamkan anak-anak buah Ronald Koeman, seterusnya membantu Atletico untuk mencatatkan kemenangan.

Luis Suarez mencatatkan satu assists dan menjaringkan satu gol dalam membantu Atletico menewaskan Barcelona 2-0.

Suarez awalnya meminta maaf kepada penyokong Barcelona selepas beliau meledak gol, dan beliau kemudiannya terus mengalihkan perhatiannya pada Ronald Koeman.

Koeman tidak berada di tepi padang kerana beliau digantung dan terpaksa menonton perlawanan tersebut dari tempat duduk penonton.

Suarez menganjing beliau dengan menunjukkan isyarat telefon, simbolik dengan cara bagaimana Koeman membuang beliau sebelum ini.

Barcelona selepas kehilangan Suarez mereka sepertinya hilang mesin pencetak gol dan aksi mereka juga sering tidak menentu.

Selepas kehilangan Lionel Messi pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini, Barcelona dilihat semakin tertekan dan seperti sudah hilang arah.

Mereka tak ubah seperti pasukan belasan sahaja dalam saingan La Liga, dan turut menjadi mangsa belasahan dalam aksi saingan Champions League.

Atletico berjaya mengutip tiga mata penuh dalam pertembungan awal pagi tadi, seterusnya membawa mereka naik ke kedudukan kedua dalam carta liga dengan mengumpul 17 mata.

Real Madrid berada di kedudukan pertama dengan mereka turut mengumpul 17 mata, namun The Los Blancos masih ada satu perlawanan yang belum dimainkan.

Real Sociedad pula berada di kedudukan ketiga pada ketika ini, dengan mereka ketika ini mengumpul 16 mata, namun turut mempunyai kelebihan satu perlawanan belum dimainkan berbanding Atletico Madrid.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Koeman: Gakpo Lalui Kesukaran Kerana Sertai Liverpool Yang Merudum