Tidak Mampu Bayar Hutang Liverpool, Barcelona Tawarkan Coutinho

Kerana tidak mampu membayar hutang Liverpool lantaran hutang kelab yang bertimbun, Barcelona menawarkan kembali Philippe Coutinho kepada Liverpool secara percuma.

Barcelona telah mendapatkan Philippe Coutinho dengan yuran perpindahan £142 juta daripada Liverpool dan hingga kini bayaran penuh masih belum dilangsaikan.

Media popular Sepanyol AS telah melaporkan bahawa, Barcelona masih lagi berhutang dengan Liverpool sebanyak £50 juta walaupun Coutinho menyertai mereka pada 2018 lagi.

Ketika beraksi bersama Liverpool, Philippe Coutinho telah mengukuhkan kehormatan diri sebagai salah seorang pemain attacking midfielder walaupun Liverpool agak sendu.

Nampak tak kehebatan Coutinho ketika masih bersama Liverpool?

Lantaran itu Barcelona sanggup mendapatkan Coutinho dengan bayaran £142 juta namun Barcelona tidak mendapat kehebatan yang ada pada Coutinho seperti yang dimahukan.

Perpindahan tersebut meletakkan Coutinho sebagai pemain ketiga termahal dalam sejarah bola sepak, di belakang Neymar dan Kylian Mbappe.

Barcelona cuba mengambil jalan mudah melangsaikan hutang apabila mahu mengembalikan semula Coutinho kepada Liverpool dan hutang setel serta merta.

Namun ada yang menyangkal laporan ini dan dikatakan tidak masuk akal kerana hutang pembelian Coutinho telah diambil alih oleh pihak bank.

Jika Coutinho bersetuju mengambil Liverpool maka hutang kepada bank masih perlu dibayar. Jika ini terjadi sangat tidak cerdiklah Liverpool.

Sejak berpindah keluar daripada Liverpool untuk bersama Barcelona Philippe Coutinho hampir setiap musim dikaitkan dengan berita perpindahan kembali ke Anfield.

Pemergian Coutinho pada awalnya telah dilihat sebagai satu bencana buat Liverpool yang kehilangan pemain penting pada jendela perpindahan januari 2017/18.

Dengan dana yang diperoleh dari penjualan Coutinho, Liverpool memperkemaskan benteng mereka dengan mendapatkan Virgil Van Dijk dan Alisson Becker.

Virgil Van Dijk dibawa masuk selepas Coutinho pergi dengan rekod perpindahan dunia untuk pemain pertahanan walaupun nilai perpindahan tidak diumumkan kepada orang ramai.

Enam bulan kemudian Alisson Becker dibeli dari AS Roma juga dengan rekod perpindahan dunia untuk penjaga gol pada ketika itu. Terima kasih Coutinho.

Pembelian Alisson Becker dan Virgil Van Dijk telah mengembalikan kegemilangan kepada Liverpool dengan bergelar juara Champions League, UEFA Super Cup, FIFA Club World Cup dan Premier League.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sangat merasai permergian Coutinho apabila mengakui beliau tidak menyangka Liverpool mampu bermain lebih baik tanpa kelibat Philippe Coutinho.

“Ya, kami sangat merindui Coutinho kerana beliau adalah pemain berkelas dunia dan saya suka bekerjasama dengan beliau.”

“Tetapi kami perlu mencari cara untuk bermain tanpa beliau, dan kami melakukannya dengan cukup baik sekali.”

“Apabila kali pertama saya mendengar Coutinho ingin berpindah ke Barcelona, saya tidak pernah menyangka kami mampu menjadi sebagus sekarang, tanpa Coutinho disisi.”

“Tetapi kami berjaya melakukannya, dan segalanya berjalan dengan baik sekali untuk kedua-dua pasukan”

Pada Februari 2018, Coutinho telah membuat pengakuan kepada 8tv’s ‘Fora de Joc kenapa beliau meninggalkan Liverpool:

“Saya benar-benar mahu memenangi kejuaraan besar, ianya salah satu sebab yang membuatkan saya sangat mahu menandatangani perjanjian bersama Barcelona. Saya mahu menang sebanyak mana yang saya mampu. Saya tidak ada pilihan lain untuk capai apa yang saya mahukan.”

Begitulah apa yang pernah diucapkan oleh Coutinho ketika beliau nekad untuk tinggalkan Liverpool dan mahu sertai Barcelona.

Apa yang menariknya, kesemua kejuaraan besar yang beliau impikan dan yakin tidak akan mampu dimenangi oleh Liverpool kini semuanya sudah berjaya dijulang oleh bekas rakan sepasukannya.

Pada hakikatnya, Coutinho juga telah mengecap kejuaraan besar seperti yang beliau inginkan ketika meninggalkan Liverpool walaupun telah dipinjamkan Bayern Munich.

Barcelona

Juara La Liga: 2017–18, 2018–19
Juara Copa del Rey: 2017–18
Juara Supercopa de España: 2018

Bayern Munich

Juara Bundesliga: 2019–20
Juara DFB-Pokal: 2019–20
Juara UEFA Champions League: 2019–20

Mungkin Coutinho telah berjaya mendapat banyak kejuaraan namun beliau bergelut dengan prestasi dan jelas kini Coutinho tidak gembira dan bahagia.

BACA:  5 Perpindahan Januari Termahal Dalam Sejarah Peradaban Bola Sepak