Penyokong kelab Swansea City di England dan Wales menerima perkhabaran gembira apabila kelab itu sebulat suara bersetuju untuk membiayai semua tiket di perlawanan tempat lawan sepanjang EPL musim 2015-16.
Selama ini, penyokong kelab itu terpaksa bergerak secara puratanya 320km untuk mengikuti perlawanan pasukan The Swans di tempat lawan, memandangkan Swansea berada di negeri Wales, berkedudukan di selatan England, dan mereka terpaksa menanggung kos harga tiket yang semakin meningkat, selain kos pengangkutan dan kendiri.
Untuk mengurangkan beban para penyokong, Swansea City menerusi naib pengerusi kelabnya, Leigh Dineen, telah bersetuju untuk memberi subsidi tiket tersebut dengan syarat penyokong tersebut mestilah berdaftar dengan ‘Jack Army membership scheme’.
‘Jack Army membership scheme’ ialah satu produk yang ditawarkan kepada penyokong setia The Swans untuk mengumpul mata hasil pembelian produk-produk kelab, dan keahlian boleh dibeli dari harga 7 GBP ke 22 GBP, bergantung jika seseorang itu adalah pemegang pas semusim atau tidak.
Baca juga : Peningkatan Mendadak Bola Sepak Wales
Langkah ini merupakan satu langkah yang dipuji para penyokong kerana kelab-kelab di EPL akan menerima durian runtuh yang cukup tinggi hasil perkongsian penjualan hak siaran televisyen, dan usaha ini menambahkan lagi semangat penyokong untuk sentiasa memenuhi stadium, walaupun di tempat lawan.
Langkah proaktif ini wajar dipuji kerana menampakkan hubungan simbiosis antara kelab dan penyokong. Wajarkah langkah ini diwujudkan di liga Malaysia?