Trent Alexander-Arnold Manusia Pertama Assist Kereta Jaringkan Gol

Trent Alexander Arnold telah mencipta sejarah apabila menjadi manusia dan pemain bola sepak pertama mencipta assist bagi membolehkan sebuah jentera yang bergelar kereta menjaringkan gol.

Trent Alexander-Arnold tidak dapat disangkal lagi merupakan antara bek kanan  yang terbaik di dunia. Dia bukan sahaja mempunyai kepantasan yang mengkagumkan, malah dia juga mempunyai ketepatan hantaran yang luar biasa.

Dalam satu video yang dimuat naik di laman YouTube pasukan Formula E, Envision Racing Driver, Trent telah menguji kepantasannya dalam acara drag, menentang kereta Fomula E yang dipandu oleh Nick Cassidy – pelumba professional yang berasal dari New Zealand dan kini menetap di England, mewakili pasukan Envision Racing dalam kejohanan Fomula E.

Bagi yang belum tahu, kereta lumba Formula E merupakan kereta lumba dengan tayar tersembul keluar mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Federasi Automobil Antarabangsa (FIA) dan kereta ini menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya.

Untuk kereta generasi baru, kelajuan maksima yang mampu dicapai oleh kereta yang menggunakan bateri ini adalah 320 km/j! Sangat laju, bukan?

Okay berbalik kepada cerita Trent.

Dalam video tersebut, terdapat dua segmen atau dua cabaran dengan yang pertama merupakan ujian kepantasan di mana Trent berlumba lari menentang kereta yang mempunyai bunyi seperti mesin potong rambut itu.

Tidak dapat dipastikan berapakah jarak perlumbaan drag tersebut, tetapi dengan mengambil kira masa yang dicatat, mungkin sekitar 20 meter.

Dalam perlumbaan pertama, Nick Cassidy mencatatkan masa selama 3.11 saat, menewaskan Trent yang hanya ketinggalan 13 saat. Itupun kereta lumba tu dapat potong last minute.

Trent meminta perlumbaan semula dan kali ini  dia akan memulakan perlumbaan dengan berlari, bukan statik.

Ternyata pemulaan dengan cara ini memberikan kelebihan kepada Trent di mana dia dengan begitu pantas berlari dan hampir menewaskan kereta lumba.

Keputusan terpaksa disemak oleh VAR (pemain LiVARpool kan), dan Nick Cassidy muncul pemenang dengan hanya beberapa inci di hadapan Trent. Padu Trent!

Nick Cassidy, selepas perlumbaan drag tersebut, berkata,”Aku rasa macam kontrak aku dah kena potong!”

Selepas tamat cabaran pertama, kedua-dua atlet ini meneruskan cabaran kedua pula.

Cabaran kali ini lebih mencabar buat kedua-dua atlet di mana Nick Cassidy perlu memulakan pecutan keretanya ke arah gol, dan Trent perlu menghantar bola ke depan gol dengan sasaran bola akan ‘ditanduk’ oleh kereta lumba tersebut ke dalam gol.

Cubaan pertama kedua-dua atlet ini hampir berjaya, namun ‘tandukan’ Nick Cassidy sedikit tersasar.

Pada percubaan kedua pula, Trent telah melakukan hantaran lintang yang benar-benar tepat ke arah pergerakan kereta, namun Nick Cassidy pula bertindak seperti pertahanan di mana bola ‘ditanduk’ jauh dari depan gol, kerana terkena bahagian tayar kiri kereta.

Nick Cassidy mengakui bahawa dia telah melakukan kesilapan dan meminta maaf kepada Trent.

Dalam percubaan ketiga, gabungan hantaran tepat daripada Trent dan juga ‘larian’ mantap daripada Nick Cassidy, telah menyaksikan satu keajaiban dunia terjadi.

Tidak melampau untuk kita katakan bahawa Trent adalah manusia pertama yang mampu menyumbang assist kepada sebuah kereta lumba untuk menjaringkan gol.

Bola hantaran daripada Trent disambut dengan satu ‘glancing header’ daripada kereta Formula E yang dipandu Nick Cassidy, dan bola melambung masuk ke penjuru gawang!

Gol ini diraikan dengan begitu meriah sekali oleh Trent dan juga pengerusi majlis, sampai mereka berdua melompat sambil berpelukan.

Bersama Liverpool, kini Trent sudah memasuki fasa terakhir pra-musim dan pada hari Ahad ini, mereka akan turun ke Stadium Wembley untuk menentang pasukan Manchester City dalam perlawanan Perisai Masyarakat.

Dua jam selepas perlawanan tersebut, Liverpool akan menentang Strasbourg pula dalam satu perlawanan persahabatan terakhir pasukan, sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris menentang Fulham pada 6 Ogos nanti.

Sumber : YouTube

BACA:  Reaksi Tak Gembira Trent Alexander Arnold Selepas Dikeluarkan Undang Persoalan