UFC 229: McGregor Mahu ‘Rematch’, Khabib Mohon Maaf

Juara UFC Lightweight, Khabib Nurmagomedov meminta maaf atas apa kekecohan yang berlaku di dalam dan luar Octogan selepas beliau berjaya menewaskan Conor McGregor dalam UFC 229.

Khabib melompat keluar dari Octagon untuk bergaduh dengan salah seorang jurulatih dari pasukan McGregor, manakala McGregor pula diserang dua rakan Khabib di dalam Octagon.

Khabib memohon maaf dalam sidang media

Seramai 3 individu dari kem Khabib telah ditahan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut tetapi menurut laporan terbaru, kesemua mereka telah pon dibebaskan tanpa sebarang dakwaan.

Dalam sidang media selepas selesai UFC 229, Khabib memohon maaf atas apa yang berlaku dan mengakui ia bukan sifat yang sepatutnya beliau tunjukkan kepada umum.

Khabib turut menyentuh beberapa perkara yang dilakukan McGregor sehingga menyebabkan beliau hilang pertimbangan dalam kejadian tersebut.

“Saya hanya mahu meminta maaf kepada Nevada State Athletic Commision. Ini bukan sifat saya yang terbaik.” Ujar petarung dari Russia itu.

“Beliau bercakap mengenai agama, negara dan ayah saya. Beliau datang ke Brooklyn dan memecahkan tingkap bas. Dan hampir membunuh dua orang.”

“Jadi mengapa orang hanya bercakap mengenai saya melompat keluar dari Octagon ? Saya telah menunjukkan perasaan hormat.”

“Saya beritahu kamu semua, McGregor dan pasukannya adalah mesin ‘Tap’ [menyerah kalah]. Hari ini beliau menyerah kalah.”

McGregor sempat bertemu Putin ketika menonton aksi final Piala Dunia 2018 di Russia

“UFC merupakan sukan yang dihormati. Ini bukan sukan untuk anda bercakap sampah. Saya mahu mengubah sukan ini. Anda tidak boleh bercakap mengenai agama dan negara orang lain. Bagi saya, perkara ini sangat penting.”

“Terima kasih kepada semua kerana menunggu saya. Saya tahu ayah saya akan memukul saya selepas ini apabila saya pulang ke rumah. Kepada semua orang Nevada, saya meminta maaf. Las Vegas, saya meminta maaf.”

Khabib yang berumur 30 tahun turut mendedahkan beliau menerima ucapan tahniah daripada Presiden Russia, Vladimir Putin sebaik sahaja beliau masuk ke bilik persalinan.

“McGregor ada mengambil gambar dengan Putin. Tetapi Putin baru sahaja menelefon saya tadi dan memberitahu yang beliau bangga dengan apa yang telah saya lakukan tadi. Beliau turut mengucapkan tahniah.”

Presiden UFC, Dana White mengesahkan Conor McGregor tidak akan membuat sebarang laporan polis terhadap dua individu yang menyerangnya di dalam Octagon.

McGregor pula tidak hadir ke sidang media untuk ditemu bual tetapi menerusi Twitter, beliau kelihatan sudah merangka rancangan beliau yang seterusnya dalam UFC.

“Good knock. Looking forward to the rematch.”

Adakah anda mahu melihat kedua-dua petarung ini beradu tenaga sekali lagi di dalam Octagon ?

Tetapi harus diingat seorang lagi pencabar utama dalam divisyen Lightweight, Tony Ferguson juga sedang mengintai peluang untuk merebut tali pinggang UFC Lightweight selepas beliau berjaya menewaskan Anthony Pettis dalam pertarungan yang berlangsung sebelum Khabib-McGregor.

BACA:  McGregor Bina Rumah Khas Untuk Gelandangan Di Ireland