Jose Mourinho Melayan Kunjungan Conor McGregor Ke Bumi Itali

Pengurus AS Roma, Jose Mourinho telah menghadiahkan bintang UFC, Conor McGregor sehelai jersi kelab bagi menghargai kedatangan petarung dari Ireland itu.

Kedua-dua legenda dalam dunia sukan masing-masing itu kemudiannya memutuskan untuk menikmati whiskey bersama pada awal minggu baru-baru ini.

Bekas pengurus Chelsea dan Manchester United itu memuat naik status di laman instagram beliau dengan berkongsi gambar beliau bersama bintang handalan UFC itu.

Conor McGregor ketika ini masih dalam fasa penyembuhan selepas beliau menderita kecederaan kaki yang agak parah ketika aksi bertemu Dustin Poirier pada awal tahun ini.

Beliau mempelawa Jose Mourinho untuk menikmati whiskey keluaran syarikat miliknya, ‘Proper Twelve’, namun masih belum dapat dipastikan berapa cawan pengurus Roma itu bantai dan bagaimana keadaan beliau selepas menikmati buah tangan dari McGregor itu.

Pertemuan antara Mourinho dan McGregor itu berlaku lebih kurang seminggu sahaja selepas Sir Alex Ferguson bertemu Khabib Nurmagomedov.

Mungkin kerana melihat Khabib bergembira bersama legenda bola sepak, McGregor juga memasang niat untuk melakukan hal yang sama.

Petarung dari Rusia itu dilihat beramah mesra dengan legenda bola sepak seperti Evra, Sir Alex Ferguson dan para pemain Manchester United.

Menariknya lagi, ketika Khabib Nurmagomedov bertemu Sir Alex Ferguson, beliau turut ditawarkan untuk minum bersama.

Namun begitu, sebagai seorang yang patuh pada perintah agama, Khabib memilih untuk menolak tawaran dari legenda terhebat sepanjang zaman United itu.

Sementara Mourinho dengan McGregor pula, mereka menikmati waktu dapat minum bersama dengan turut berkongsi detik tersebut di laman media sosial.

Mungkin McGregor minta Mourinho mengiklankan minuman beliau, siapa tahu bukan?

McGregor sendiri turut berkongsi gambar perjumpaan beliau bertemu Jose Mourinho di laman instagram miliknya dengan menulis:

“Sangat menghormati lelaki ini. Legenda!”

Walau bagaimanapun, McGregor bukanlah terbang jauh ke Roma hanya semata-mata untuk bertemu Mourinho dan minum bersama.

Sebelum terbang ke Roma, petarung berusia 33 tahun itu menulis di laman media sosial miliknya dengan menyatakan yang beliau ada urusan kerja berkait perniagaan beliau di Itali.

Beliau juga turut mengambil kesempatan untuk menikmati percutian di negara tersebut, sambil menenangkan fikirannya yang agak kusut.

Beberapa minggu ini merupakan minggu yang sukar untuk McGregor dengan beliau telah terlibat dengan beberapa siri pergaduhan di media sosial.

Beliau dihentam teruk kerana memuat naik status menghina keturunan Khabib dan selepas teruk dihentam, beliau memadam semula muat naik tersebut.

Beliau juga turut bergaduh dengan pengurus Khabib, Ali Abdelaziz di media sosial dengan mereka berdua sememangnya mempunyai hubungan panas sejak lama dahulu lagi.

Walau McGregor tidak terkenal sebagai peminat setia Roma, namun mendapat jersi yang dihadiahkan sendiri oleh pengurus kelab tentu akan jadi satu kebanggaan untuk beliau.

McGregor sebelum ini sudah mengumumkan untuk kembali ke gelanggang Octagon, namun Dana White mengesahkan yang tahun hadapan merupakan tempoh paling awal untuk beliau membenarkan petarung dari Ireland itu untuk kembali bertarung.

BACA:  Mourinho: Panggil Saya Ketua Jurulatih, Bukan Pengurus