Mourinho Tawar Greenwood Peluang Hidupkan Karier Dengan Sertai AS Roma

Pengurus AS Roma, Jose Mourinho dilaporkan berminat untuk mendapatkan penyerang muda Manchester United, Mason Greenwood di jendela perpindahan musim panas ini.

Greenwood pada ketika ini sedang menunggu perkhabaran sama ada akan dibawa untuk menyertai latihan pra musim oleh United.

Pemain muda oti sebelum ini didakwa di mahkamah kerana mengasari teman wanitanya dan cubaan memaksa melakukan hubungan intim.

Walaupun tuduhan terhadap Greenwood di mahkamah telah digugurkan, dilema moral tetap terus menyelubungi pemain itu sehingga memaksa United terus menyisihkannya.

Tatkala United terus berdiam diri mengenai masa depan pemain itu, Mourinho menghubungi keluarga Greenwood dan menawarkan peluang untuk berhijrah ke Roma.

Sumber kepada The Sun berkata: “Jose menelefon ayah Mason dan berbincang mengenai pemain itu.

“Jurulatih Portugis itu berpendapat di dalam situasi yang dialami pemain itu pada ketika ini, adalah lebih baik untuk dia terus bermain bola sepak – dan berharap perkara silam yang menghantuinya selama ini berlalu pergi.

“Mason dikatakan terharu dengan panggilan oleh Mourinho, dan ia sedikit sebanyak menaikkan semangatnya.

“Sudah tentu dia mahu kembali beraksi secepat mungkin, walaupun kini masih menunggu bagaimana United menentukan masa depannya.”

Sebelum ini Erik ten Hag dikatakan enggan melepaskan Greenwood di jendela perpindahan pemain, tetapi terbuka untuk membenarkan pemain itu dilepaskan secara pinjaman ke kelab lain.

Mourinho berperanan besar di dalam karier bola sepak Greenwood apabila menjadi jurulatih yang bertanggungjawab membawa pemain itu ke skuad senior United ketika pra musim pada 2018.

Merupakan produk akademi United, Greenwood kemudiannya ditawarkan kontrak profesional pertama bersama kelab itu ketika era Mourinho.

Bakat Greenwood bagaimanapun semakin menyerlah ketika pasukan itu dikendalikan Ole Gunnar Solskjaer, dan pemain itu melakukan debut kompetitif pada Mac 2019.

Pada masa ini Greenwood dipercayai semakin bosan dengan pergantungan yang tidak mempunyai tempoh oleh United, walaupun kes beliau sudah selesai di mahkamah.

Malah pemain itu giat melakukan latihan secara sendirian untuk kemungkinan kembali bermain bola sepak pada masa terdekat.

Sudah tentu idea pinjaman ke Roma pasti akan menjadi peluang yang baik untuk Greenwood sekiranya ia menjadi realiti.

BACA:  11 Pemain United Nak Berambus Sebab Tertekan Dengan Rangnick 'Kekebalan' Ronaldo