20 Perlawanan EPL Tanpa Menang, Mengapa Farke Masih Selamat?

Kedudukan Daniel Farke sebagai pengurus Norwich City bolehlah dianggap berada dalam keadaan yang cukup selamat pada ketika ini.

Ia kerana sporting director kelab, Stuart Webber menilai perhubungan Farke dengan kelab melebihi segalanya dan kelab tidak merancang untuk mencari pengganti kepada pengurus mereka itu.

The Canaries memulakan kempen saingan musim ini dengan sangat teruk dan memperlihatkan mereka ketika ini berada di kedudukan tercorot dalam saingan Premier League.

Dari 10 perlawanan awal sepanjang musim ini, Norwich City hanya mampu mengutip dua mata sahaja dan mereka masih belum mencatatkan sebarang kemenangan.

Apa perkembangan terbaru tentang Farke?

Farke tiba di Carrow Road kira-kira empat tahun setengah yang lalu dan beliau telah menikmati kejayaan yang cukup membanggakan bersama Norwich City.

Beliau berjaya membantu Norwich memenangi gelaran Championship kedua Norwich sejak tiga musim terakhir ini pada Mei lalu.

Walau bagaimanapun, The Canaries pada musim ini sepertinya menjadi lubuk tiga mata untuk mana-mana pasukan dalam saingan Premier League.

Pengurus dari Jerman itu juga gagal untuk menyelamatkan Norwich dari tersingkir sebelum ini, namun beliau berjaya untuk kembali membawa kelabnya beraksi ke dalam saingan Premier League pada musim ini.

Farke teruk dihentam ketika anak-anak buahnya dibelasah 7-0 di tangan Chelsea pada bulan lalu, dengan ramai yang menganggap ia keputusan yang tak boleh diterima.

Walau beliau teruk dihentam oleh pelbagai pihak, namun Faker mendapat sokongan yang hebat dari kelab terutama Webber.

Sporting director kelab menegaskan yang beliau tidak akan meletakkan sepenuh kesalahan di atas bahu pengurus berusia 45 tahun itu atas persembahan buruk kelab pada ketika ini.

Beliau walau bagaimanapun telah ditanya tentang masa depan Farke, dengan ada laporan yang menyatakan bahawa Eddie Howe berpotensi untuk menjadi calon pengurus kelab yang baharu.

Wartawan yang menemubual Stuart Webber, Hodge telah mendedahkan apa yang beliau bualkan bersama sporting director Norwich itu, dan beliau merasakan kedudukan Farke akan terus selamat.

Hodge menegaskan yang Farke akan terus diberi masa bagi mengubah nasib Norwich untuk setidak-tidaknya mengelak dari tersingkir pada penghujung musim nanti.

Farke baru sahaja menandatangani perjanjian baru selama empat tahun bersama kelab pada Julai lalu, dengan Webber mengakui beliau gembira dengan keputusan kelab itu.

Hodge merasakan hubungan pekerjaan antara Farke dan Webber sangat kuat dan menyebabkan pengurus dari Jerman itu tidak akan dipecat walau persembahan Norwich pada ketika ini sangat teruk.

Hodge telah mendedahkan kepada GIVEMESPORT bahawa:

“Dia langsung tak bercakap buruk melainkan memuji Daniel Farke.”

“Saya rasa dia sangat menghargai perhubungan mereka.”

Norwich jelas sekali melalui permulaan musim yang sangat mendukacitakan dan andai mereka kekal dengan tahap persembahan yang sama, The Canaries bakal kembali ke saingan Championship pada musim hadapan.

Walau baru melalui 10 perlawanan sepanjang musim ini, Farke sudah teruk dikritik oleh pelbagai pihak atas kegagalan beliau mengendalikan kelab dengan baik.

Mereka pada minggu lalu turut mencatatkan kekalahan 2-1 bertemu Leeds United yang sedang bergelut dengan masalah prestasi.

Farke walau bagaimanapun telah banyak memberi detik-detik indah kepada para penyokong sepanjang kariernya sebagai pengurus kelab.

Beliau berjaya membawa The Canaries untuk mencatatkan 87 kemenangan dari 207 perlawanan dan ia merupakan antara pencapaian yang boleh dibanggakan.

Namun begitu, dari 87 kemenangan, beliau hanya berjaya mencatatkan 48 kemenangan sahaja ketika bertemu pasukan dalam saingan Premier League.

Kali terakhir Norwich mencatat kemenangan dalam saingan Premier League adalah pada Februari 2020, dan ia bermaksud mereka sudah mengharungi 20 perlawanan tanpa mencatatkan sebarang kemenangan sehingga ke hari ini.

Pengurus kelab lain sudah tentu akan dipecat jika prestasi mereka sama seperti Farke, namun pengurus dari Jerman ini bernasjb baik kerana Norwich masih mengenang jasa beliau.

Walau bagaimanapun, jika prestasi kelab kekal seperti ini, tidak akan mengejutkan andai pihak kelab akan terpaksa mengambil keputusan untuk memecat beliau.

Sumber: GMS

BACA:  Farke Memasukkan Duda Menggantikan Pukki Yang Tidak Berfungsi