Farke Kena Pecat Lepas Berjaya Catat Kemenangan Pertama Dari 21 Perlawanan EPL

Norwich City telah mengumumkan berita pemecatan pengurus kelab, Daniel Farke selepas tamat aksi kemenangan 2-1 mereka menewaskan Brentford malam semalam.

Selepas mengharungi 10 perlawanan sepanjang musim ini tanpa mencatatkan sebarang kemenangan, The Canaries akhirnya berjaya juga mencatatkan kemenangan pertama mereka malam semalam.

Namun malang untuk Farke, sebaik beliau berjaya mencatatkan kemenangan pertamanya pada musim ini, pihak kelab memutuskan untuk memecat beliau.

Hari yang sepatutnya membahagiakan beliau kerana berjaya mencatatkan kemenangan pertama berubah menjadi hari yang mendukacitakan selepas beliau terpaksa meninggalkan kelab kerana dipecat.

Norwich City dalam satu kenyataan telah menyatakan bahawa:

“Norwich City boleh mengesahkan yang ketua jurulatih, Daniel Farke telah dipecat dengan serta merta oleh pihak kelab.”

“Daniel meninggalkan Carrow Road selepas beliau mengharungi 209 perlawanan kompetetif sepanjang empat tahun setengah kariernya di sini.”

“Dia menyertai kelab pada musim panas tahun 2017 yang lalu, membawa kelab menamatkan saingan Sky Bet Championship untuk berada di kedudukan ke-14 pada musim pertamanya.”

“Musim 2018/19 merupakan antara yang paling dikenang dengan Daniel berjaya membawa anak-anak buahnya untuk menjuarai saingan Championship dan beraksi dalam saingan Premier League.”

Selepas satu musim dalam saingan Premier League, beliau sekali lagi berjaya membantu Norwich untuk memenangi gelaran Championship kedua mereka pada musim 2020/21.”

“Norwich City juga berjaya memecah rekod mengumpul 97 mata dalam satu musim untuk melayakkan diri beraksi dalam saingan Premier League.”

“Barisan pembantu beliau, Eddie Riemer, Chris Domogalla dan Christopher John kesemuanya turut meninggalkan kelab.”

Sporting director kelab, Stuart Webber turut mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan:

“Sebagai langkah untuk memenuhi kehendak yang terbaik untuk kelab, keputusan ini sangat berat untuk diputuskan.”

“Saya tahu bagaimana keazaman Daniel dan staff dia dalam membantu kelab berjaya sehingga ke tahap ini, tapi kami rasakan yang sekarang adalah masa yang tepat untuk beri peluang kepada kami untuk menjaga kedudukan kami dalam saingan Premier League.”

“Semua di Norwich City akan selamanya berterima kasih kepada Daniel dan staff dia atas peranan mereka yang menakjubkan dalam membantu kami. Mereka berjaya membantu kami membawa pulang dua Championship, banyak detik indah bersama.”

“Mereka benar-benar memahami falsafah kami dan ia sangat bermakna untuk menjadi sebahagian dari kelab ini.”

“Daniel dan staff dia akan selalu disambut untuk datang semula ke sini. Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka atas kerja keras dan berharap agar mereka capai yang terbaik di masa hadapan nanti.”

“Ia sangat penting untuk kami melihat ke hadapan sekarang. Kami ada baki 27 perlawanan untuk dimainkan dan perjalanan kami untuk habiskan musim ini masih panjang. Kami tahu kami ada kemampuan dengan skuad yang kami ada dan kami harus segera kembali mengutip mata dan mendaki dalam carta liga.”

Sebelum ini ramai yang mempertikaikan mengapa Norwich tidak mahu memecat Farke selepas melihat rekod buruk pengurus dari Jerman itu dalam saingan Premier League.

Webber sendiri mengakui yang kedudukan Farke akan selamat kerana pihak kelab terhutang budi dengan pengurus yang baru mereka pecat itu.

Anehnya, mereka kemudiannya memilih untuk memecat Farke selepas pengurus dari Jerman itu berjaya mencatatkan kemenangan pertama beliau dalam saingan Premier League.

Beliau berjaya membawa The Canaries untuk mencatatkan 88 kemenangan dari 209 perlawanan dan ia merupakan antara pencapaian yang boleh dibanggakan.

Namun begitu, dari 88 kemenangan, beliau hanya berjaya mencatatkan 49 kemenangan sahaja ketika bertemu pasukan dalam saingan Premier League.

Kali terakhir Norwich mencatat kemenangan dalam saingan Premier League adalah pada Februari 2020, dan ia bermaksud mereka sudah mengharungi 20 perlawanan tanpa mencatatkan sebarang kemenangan sehingga ke hari ini.

Dan kini beliau sudah secara rasminya dipecat oleh pihak kelab selepas sebelum ini beliau beberapa kali terselamat.

Sumber: Norwich City

BACA:  20 Perlawanan EPL Tanpa Menang, Mengapa Farke Masih Selamat?