AC Milan mengesahkan Zlatan Ibrahimovic tidak akan menyertai kelab tersebut sebaik sahaja jendela perpindahan Januari dibuka tidak lama lagi.
Milan sebelum ini berusaha keras untuk membawa masuk pemain La Galaxy itu secara pinjaman, tetapi perbincangan di antara kedua-dua belah pihak menemui jalan buntu dan Direktor Sukan AC Milan, Leonardo mengesahkan ia tidak akan berlaku.
Ibrahimovic pernah beraksi untuk Milan selama dua musim dan berjaya membantu kelab tersebut menjuarai Serie A pada tahun 2011. Beliau juga berjaya menjaringkan 50 gol untuk kelab tersebut sebelum berpindah ke Paris Saint-Germain pada tahun 2012.
“Ibrahimovic berjanji kepada La Galaxy yang beliau akan kekal jika kelab tersebut memenuhi segala permintaannya. Dan La Galaxy telah mengotakan segala permintaannya.” Ujar Leonardo.
“Perpindahan Ibrahimovic ke Milan boleh menjadi kisah cinta yang hebat kerana kualiti yang mampu ditawarkan beliau kepada pasukan.”
“Kami tidak boleh nafikan kedua-dua belah berminat untuk melihat perpindahan ini berlaku, tetapi ia tidak mungkin akan berlaku.”
Milan sangat berminat untuk membawa masuk Ibrahimovic ke San Siro secara pinjaman bagi membantu kelab tersebut memperbaiki prestasi mereka di Serie A.
Ini bukanlah kali pertama Milan cuba mendapatkan pemain dari Major League Soccer (MLS). Mereka pernah mencapai persetujuan dengan La Galaxy pada tahun 2009 untuk mendapatkan David Beckham secara pinjaman pada bulan Januari.
Sejak berpindah ke La Galaxy dari Manchester United awal tahun ini, Ibrahimovic cepat menyesuikan diri dengan persekitaran baru dan telah menjaringkan 22 gol dari 27 perlawanan.
Selain menjadi pemain kegemaran pasukan, Ibrahimovic turut menerima sambutan hangat dari penggiat seni di sekitar Los Angeles dan pernah diundang untuk menghadiri ‘talk show’ terkenal seperti Jimmy Kimmel dan James Corden.
Kempen LA Galaxy dalam MLS berakhir pada Oktober lalu berikutan kegagalan pasukan tersebut untuk layak beraksi dalam saingan Play-off.
Musim baru MLS hanya akan bermula pada Mac tahun hadapan tetapi Ibrahimovic dilaporkan sudah membuat keputusan untuk tidak akan menerima sebarang tawaran dari Eropah pada jendela perpindahan Januari nanti.