Air Mata Neymar Gugur Selepas Menyedari Dia Hampir Memecahkan Rekod Pele

Brazil berjaya meraih kemenangan kedua dalam kempen Copa America 2021 selepas menewaskan Peru 4-0 semalam, sekaligus memperkukuhkan lagi kedudukan mereka di tangga teratas kumpulan A dengan 6 mata, mengatasi Colombia di tangga kedua.

Seawal minit ke-12, pemain Juventus membuka jaringan selepas meno;al mudah bola di dalam kotak penalti Peru. Penyerang sensasi, Neymar, memperkukuhkan kedudukan pada minit ke-68 menerusi rembatan leret dari luar kotak penalti.

Everton Ribeiro dan Richarlison turut muncul sebagai penjaring apabila masing-masing berjaya menolak bola ke gawang lawan pada minit ke-89 dan 93.

Dengan jaringan tersebut, secara keseluruhannya Neymar telah menjaringkan 68 gol buat negaranya dan ini bermakna dia hanya perlu menjaringkan hanya 10 gol sahaja lagi untuk memecahkan rekod yang dipegang lagenda bola sepak Brazil, Pele.

Detik ini sangatlah istimewa untuk pemain Paris Saint Germain tersebut, di dalam perlawanan yang ke-107 buatnya menyarung jersi pasukan Samba berkenaan.

Selepas perlawanan, ketika ditemuramah oleh wartawan, Neymar tidak dapat menahan air matanya daripada gugur selepas menyedari bahawa dia semakin hampir untuk memecahkan rekod yang telah dicipta sebelum dia lahir lagi.

“Sebak rasa,” ujar Neymar sambil menyeka air matanya yang gugur.

“Macam-macam aku hadap sejak dua tahun lepas.

“Jumlah [gol] ini tak ada pun berbanding betapa gembiranya aku bermain untuk Brazil, mewakili negara aku, keluarga aku.

“Kami semua kini sedang melalui detik yang luar biasa, detik yang sangat sukar untuk Brazil dan di mana-mana pun.

“Untuk menjadi seorang contoh, membuatkan orang lain rasa gembira, aku rasa suka sangat.

“Aku suka kisah yang sedang aku cipta ni, aku nak keluarga dan kawan-kawan aku bangga.

“Harapnya semua orang yang sayangkan permainan ini bangga dengan aku, sebab jumlah ni tak bermakna apa pun, cuma bangga dapat mewakili Brazil.”

Pele, seorang lagenda yang diangkat sebagai pemain terhebat Brazil sepanjang zaman, telah memuat naik satu hantaran yang cukup menyebakkan dada di laman Instagram rasminya sebagai jawapan kepada komen Neymar tersebut.

“Setiap kali aku tengok budak ni, dia mesti senyum.

“Mustahil kalau tak nak senyum balik. Benda ni berjangkit.

“Aku, macam semua ra’yot Brazil, selalu gembira tengok dia bermain. Hari ini dia mara selangkah lagi ke arah rekod jaringan aku untuk pasukan Selecao.

“Dan aku sangat sokong dia berjaya pecahkannya, dengan rasa gembira yang sama sejak aku tengok dia bermain buat kali pertama.”

Untuk rekod, Neymar yang kini berusia 29 tahun mula mewakili skuad senior Brazil ketika usianya 18 tahun, dan debutnya adalah menentang Amerika Syarikat dalam satu perlawanan persahabatan pada bulan Ogos 2010.

Perlawanan pertamanya telah menampakkan bahawa Neymar bukan pemain biasa buat Brazil di mana dia telah menjaringkan gol pertama ketika perlawanan masuk ke minit 28.

Selepas perlawanan, Neymar berkata,”Untuk berada dalam pasukan Brazil adalah satu keistimewaan. Ramai pemain yang hebat di sini dan aku bangga dapat berada dengan diorang.”

Pada tahun 2012, Neymar telah membantu Brazil memenangi pingat emas pertama dalam acara bola sepak lelaki dalam Sukan Olimpik di London, dan di kejohanan yang sama juga, Neymar mencatat rekod peribadi apabila dia menjaringkan hatrik buat kali pertama ketika menyarung jersi Selecao.

Dalam kempen Piala Dunia pada tahun 2014 di laman sendiri, Neymar dilantik sebagai kapten pasukan walaupun usianya masih mentah. Tidak kekok, Neymar memimpin rakan sepasukan bermain dengan cemerlang di tanah air dan membawa pasukannya layak ke perlawanan separuh akhir.

Tetapi malang buat pemain wonderkid ini apabila dia mengalami kecederaan dalam perlawanan suku akhir menentang Colombia selepas belakang badannya dilutut oleh Juan Camilo Zuniga. Sedihnya, Neymar tidak sempat sembuh menjelang separuh akhir dan terpaksa menonton perlawanan dari tepi padang.

Apabila ketua yang berkaliber tidak bersama di atas padang, pasukan Brazil bermain bagaikan anak ayam kehilangan ibu dan mereka dibelasah Jerman 7-1 – rekod jaringan terbesar dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia.

Memandangkan Neymar masih muda, seluruh dunia akan dapat melihat pemain ini memecah rekod jaringan gol Pele tersebut, sekaligus diangkat sebagai antara pemain terbaik yang pernah berjuang untuk Brazil.

Berita : SportBible

BACA:  Julang Keranda Palsu Untuk Rai Kemenangan Cetus Pergaduhan Besar Di Brazil