Julang Keranda Palsu Untuk Rai Kemenangan Cetus Pergaduhan Besar Di Brazil

Telah berlaku satu insiden panas dalam saingan liga bola sepak Brazil malam kemarin selepas para pemain Internacionals bergaduh besar dengan para pemain Gremio.

Kedua-dua pasukan itu bertemu dalam aksi saingan Brasileiro Serie A dengan Internacional berjaya mencatatkan kemenangan bertemu Gremio.

Gremio turun dalam perlawanan ini sebagai pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran dan mereka juga turut terdesak untuk mencatat kemenangan dalam usaha untuk mengelak dari tersingkir.

Walau bagaimanapun, mereka gagal untuk mencatatkan kemenangan atau setidak-tidaknya mengutip satu mata selepas Gremio tewas 1-0 kepada pasukan tuan rumah.

Bekas bintang Shakhtar Donetsk, Taison menjadi satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan ini, dengan gol jaringan beliau pada minit ke-40 permainan sudah cukup untuk membantu Internacional mengutip tiga mata penuh.

Para pemain Internacional berpesta selepas wisel penamat dibunyikan dengan mereka benar-benar menikmati kemenangan menewaskan Gremio itu.

Bukan hanya berjaya mengutip tiga mata penuh, bahkan mereka juga berjaya untuk memastikan seteru utama kelab itu berada di ambang penyingkiran.

Kekalahan tersebut meletakkan Gremio di kedudukan untuk tersingkir ke saingan division kedua saingan liga bola sepak Brazil dan ia jelas sekali satu hal yang tidak diinginkan oleh pasukan pelawat.

Selain menikmati kemenangan mereka dengan berpesta bersama para penyokong, pemain pasukan tuan rumah kemudiannya telah melakukan keraian yang dianggap keterlaluan.

Para pemain Internacional menjulang keranda palsu sebagai simbolik untuk mengingatkan pasukan lawan yang mereka bakal tersingkir dari saingan liga utama Brazil.

Para pemain Gremio jelas sekali tidak menerima keraian tersebut yang dirasakan agak berlebih-lebihan dengan mereka menyerang pemain Internacional tanda membantah keraian tersebut.

Keadaan menjadi sangat huru hara dengan para pemain kedua-dua pasukan saling bergaduh, berlari, tendang menendang, tumbuk menumbuk seolah-olah mereka berada dalam gelanggang Royal Rumble.

Pergaduhan antara kedua-dua pasukan ini jelas sekali berpunca dari keraian yang tidak sepatutnya dan mujur saja keadaan berjaya dikawal oleh barisan pegawai bertugas.

Saingan liga bola sepak Brazil jelas sekali senantiasa menghadirkan isu-isu panas yang melibatkan pergaduhan para pemain dari dua pasukan seteru.

Sepertinya hampir setiap minggu tentu akan ada sesuatu insiden tidak terduga dan gila yang akan berlaku dalam saingan liga bola sepak Brazil.

Pemain Internacional Patrick Nascimento dan bintang Gremio, Bruno Cortez telah dilayangkan dengan layangan kad merah selepas berlakunya insiden tersebut.

Sejujurnya agak mengejutkan juga untuk melihat hanya dua kad merah sahaja yang dilayangkan selepas berlakunya insiden seperti itu.

Gremio pada ketika ini sudah berdepan dengan empat kekalahan berturut-turut dengan mereka juga dipisahkan tujuh mata untuk kembali ke zon selamat.

Gremio perlu mencatatkan setidak-tidaknya empat kemenangan dan mengelakkan dari tewas dalam kesemua sembilan baki perlawanan mereka pada musim ini.

Internacional sementara itu berjaya naik ke kedudukan ketujuh dan mereka turut sedang mengintai peluang untuk layak beraksi dalam saingan Copa Libertadores pada musim hadapan.

Internacional hanya tiga mata sahaja dipisahkan dari Corinthians yang berada di kedudukan keenam, dan lima mata dibelakang Red Bull Bragantino yang kini di kedudukan keempat.

Internacional mahu memastikan mereka akan menamatkan saingan musim ini di kelompok empat teratas dalam usaha untuk beraksi dalam saingan Copa Libertadores musim hadapan.

Seandainya mereka menamatkan saingan di kedudukan keenam pula, Internacional bakal layak untuk beraksi dalam pusingan kelayakan bagi melayakkan diri ke saingan Libertadores.

Seandainya kedudukan mereka kekal, maka Internacional hanya akan beraksi dalam saingan Copa Sudamericana sahaja pada musim hadapan.

Sumber: GMS

BACA:  Kelayakan Piala Dunia: Brazil 4-1 Uruguay