Alasan Lucu Southgate Tidak Turunkan Foden Membuatkan Penyokong England Bengang

Pasukan yang dikatakan bakal juara Piala Dunia 2022, England, gagal mencetak sebarang gol dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan negara imperial suatu ketika dahulu itu sekadar terikat dengan negara yang pernah dijajah mereka, Amerika Syarikat.

Dalam perlawanan tersebut, Amerika muncul sebagai pasukan yang lebih unggul di atas padang dan England hanya diselamatkan oleh pertahanan legenda, Harry Maguire.

Berusaha untuk memecah kebuntuan, pengurus England, Gareth Southgate telah melakukan gantian pemain dengan memasukkan Jordan Henderson, Jack Grealish dan Marcus Rashford, yang masing-masing menggantikan Jude Bellingham, Raheem Sterling dan Bukayo Saka.

Namun tindakannya yang tidak memasukkan pemain yang begitu cemerlang di dalam saingan liga bersama Manchester City, Phil Foden, membuatkan para penyokong berang.

Bagai menuang cuka di kulit yang luka akibat jatuh motor para penyokong, Southgate memberikan jawapan yang agak lucu ketika ditanya para jurnalis kenapa dia tidak menurunkan pemain yang muncul pemain muda terbaik dua musim berturut-turut tersebut.

“Kami rasa kami ambil tindakan yang betul untuk mengekalkan pasukan yang sama [ketika bertemu Iran] dari mula,” ujar Southgate.

“Pemain sayap, kami masukkan Jack dan Marcus berbanding Phil ketika membuat pertukaran. Kami rasa Jack akan mampu mengawal bola dengan baik untuk kami dan membantu memainkan bola ke atas.

“Kepantasan Marcus pula, kami rasa akan menjadi ancaman menuju ke penghujung perlawanan.

“Kami tak rasa Phil sesuai untuk bermain di [penyerang] tengah kerana dia tidak bermain di posisi itu di kelab.”

Untuk rekod, Foden memulakan karier sebagai pemain tengah sebelum diubah ke bahagian sayap. Yang menariknya, dia bermain untuk Manchester City pada musim lalu sebagai seorang penyerang dalam musim yang menyaksikan pasukan juara liga Inggeris tersebut tidak mempunyai penyerang tengah yang sejati.

Secara keseluruhannya, dia telah bermain 130 perlawanan selaku penyerang tengah dan mampu menjaringkan gol dengan banyak.

Pada musim ini, paling diingati adalah apabila Foden menjaringkan tiga gol ketika City membelasah seteru setempat, Manchester United, 6-3.

Kenyataan Southgate ini membuatkan penyokong England meluahkan rasa tidak puas hati di atas talian.

Seorang penyokong berkata : “Southgate ni nampak nau tak kenal pasukan dia.”

Seorang lagi turut mempersoal pengurus England tersebut: “Dia ni troll ke apa?”

Ciapan ketiga berbunyi: “Dia ni bagi kunci BUgatti kepada seorang pemandu bas.”

Ada juga yang turut mengatakan: “Dia ni kelakar, kita kena akui.”

England akan layak ke pusingan kalah mati sekiranya berjaya mengelakkan daripada tewas beza jaringan empat gol kepada pasukan jiran mereka, Wales pada hari Selasa nanti.

Dalam perlawanan pertama, England tampil garang apabila membelasah Iran 6-2. Dalam perlawanan tersebut, Jude Bellingham muncul sebagai penjaring pertama England dalam kempen Piala Dunia pada tahun ini apabila melakukan tandukan pada minit ke-35.

Lapan minit kemudian, bintang Arsenal Bukayo Saka menjaringkan gol kedua England sebelum Raheem Sterling menjadikan kedudukan tiga gol tanpa balas pada penghujung separuh masa pertama.

Masuk separuh masa kedua, Iran merapatkan jurang menerusi Mehdi Taremi pada minit ke-65. Namun Marcus Rashford yang baru dimasukkan, telah menjaringkan gol menerusi sentuhan pertamanya dalam perlawanan.

Jack Grealish memastikan pesta gol England berterusan apabila dia menjaringkan gol keenam pada minit ke 90.

Pada minint ke 90+13, Iran sekali lagi menjaringkan gol menerusi Mehdi Taremi selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti.

Meskipun teruk dibelasah dalam perlawanan pertama, Iran bangkit mengutip tiga mata penuh pada perlawanan kedua selepas menewaskan Wales dua gol tanpa balas.

Menariknya, kedua-dua gol tersebut dijaringkan dalam masa tambahan. Rouzbeh Cheshmi menjaringkan gol pertama pada minit ke 90+8 menerusi satu rembatan padu dari luar kotak penalti.

Pada minit ke 90+11, Ramin Rezaeian pula menjaringkan gol kedua perlawanan sebelum pengadil meniup wisel penamat.

Selepas dua perlawanan, Englang mendahului carta kumpulan B dengan kutipan empat mata, diikuti Iran yang mengumpul tiga mata.

Amerika Syarikat pula di tangga ketiga dengan dua mata, dan Wales menghuni tangga terbawah kumpulan dengan satu mata sahaja.

Perlawanan terakhir kumpulan ini boleh dikatakan sangat menarik kerana sejarah politik kesemua negara.

Wales pastinya mahu menewaskan penjajah lahanat England demi menjaga air muka mereka. Iran dan Amerika pula sememangnya diketahui tidak hubungan yang baik sejak zaman berzaman.

Sumber : SB

BACA:  Temu Bual Penuh Emosi Southgate Meluahkan Kegembiraannya Sambil Imbau Peristiwa 25 Tahun Lalu