Albiol: Ronaldo Tidak Akan Jaringkan 40 Gol Di Itali

Bekas pemain pertahanan Real Madrid, Raul Albiol memberi amaran kepada Cristiano Ronaldo yang mana beliau akan bergelut untuk menghampiri angka 40 gol musim ini bersama Juventus.

Albiol bermain bersama Ronaldo selama 4 musim di Santiago Bernabeu dan kedua-dua pemain akan bertembung sekali lagi pada 30 September ini apabila Juventus melayan kunjugan Napoli di Turin.

Ronaldo masih lagi mandul dalam Serie A

Albiol turut menambah corak permainan Ronaldo tidak sesuai dengan sistem pertahanan yang diguna pakai kebanyakan pasukan di Serie A.

Sejak menyertai Real Madrid pada tahun 2009, Ronaldo sudah biasa menjaringkan lebih 40 gol dalam satu musim. Beliau berjaya menjaringkan lebih 40 gol dalam setiap musim selama 8 musim berturut-turut sebelum ini.

Ronaldo pernah menjaringkan 60 gol atau lebih dalam dua musim dan 50 gol atau lebih sebanyak 6 musim. Rekod cemerlang Ronaldo sepanjang beraksi di Sepanyol telah meletakkan beliau di persada dunia dan ada juga yang menganggap Ronaldo sebagai pemain terbaik sepanjang zaman.

Albiol dan Ronaldo pernah bermain bersama suatu ketika dahulu

Walau bagaimanapun, sejak berpindah ke Itali musim panas ini, Ronaldo bagaikan hilang sengat di hadapan gol. Beliau masih lagi belum menjaringkan sebarang gol dalam 3 perlawanan Serie A dan mencatatkan rekod sebagai pemain paling ‘tumpul’ dalam 5 liga teratas Eropah setakat musim ini.

Albiol yang bermain bersama Ronaldo selama 4 musim sebelum berhijrah ke Napoli pada tahun 2013 mendakwa Ronaldo akan terus bergelut untuk mencari gol kerana bola sepak Itali lebih menitik beratkan bahagian pertahanan dan taktikal pasukan.

“Memang benar bola sepak di Itali lebih menitik beratkan bahagian pertahanan dan taktikal pasukan. Pasukan di sini juga agak fizikal jadi anda perlu mencari jalan untuk bermain dengan baik.”

“Cristiano Ronaldo merupakan pemain yang hebat dan mempunyai kualiti menakjubkan. Tetapi di Itali, beliau akan bergelut untuk menjaringkan 40 gol.”

“Selain itu, saya juga berharap beliau tidak mampu melakukannya kerana jika beliau berjaya menjaringkan gol yang banyak, ia akan menjadi perkara yang baik untuk Juventus dan buruk bagi kami (Napoli).”

Walau bagaimanapun, Albiol sedar perkara yang sama berlaku kepada Ronaldo ketika beliau baru menyertai Real Madrid dimana beliau bermula dengan agak perlahan.

“Ronaldo juga bermula perlahan dengan Real Madrid musim lepas. Beliau tidak menjaringkan gol dengan kerap pada permulaan musim lalu, tetapi masih lagi menamatkan kempen dengan jumlah gol yang menakjubkan.”

Albiol berpeluang berkongsi padang dengan Ronaldo sekali lagi apabila Juventus bertemu Napoli hujung bulan ini

“Ronaldo mengharungi kariernya dengan menjaringkan jumlah gol yang banyak setiap musim, dan ia bukan semata-mata nasib.”

Ronaldo berpeluang untuk membuka akaun jaringannya di Serie A apabila Juventus melayan kunjungan Sassuolo Ahad ini.

Ronaldo akan turun bermain perlawanan tersebut pada tahap terbaik memandangkan beliau diberikan pengecualian untuk tidak terlibat dalam pusingan awal UEFA Nations League yang sedang berlangsung sekarang.

BACA:  Ronaldo Merayu Kepada Penyokong Iran Supaya Tidak Membuat Bising Kerana Ingin Tidur