Arsenal Bakal Berdepan Kesukaran Untuk Lepaskan Pemain Seperti Aubameyang

Arsenal telah diberi amaran yang mereka berkemungkinan akan berdepan kesukaran untuk melepaskan penyerang utama kelab, Pierre-Emerick Aubameyang.

Pemain kebangsaan Gabon itu bakal dilepaskan oleh pihak kelab selepas beliau kini tidak lagi menjadi pemain pilihan Mikel Arteta.

Bintang utama Arsenal itu turut dilucutkan dari jawatan sebagai ketua pasukan selepas melanggar peraturan kelab dan kini masa depan beliau bersama kelab juga dilihat sangat samar-samar.

Lebih parah lagi, Aubameyang kini turut diarahkan untuk menjalani latihan secara berasingan dari skuad utama dan beliau akan terus diasingkan sehingga beliau meninggalkan kelab untuk aksi antarabangsa bersama Gabon.

Aubameyang selepas ini akan menyertai skuad kebangsaan Gabon untuk beraksi dalam kejohanan Piala Benua Afrika dan beliau mungkin akan bercuti selama satu bulan.

Beliau bahkan turut telah diketepikan dari skuad Arsenal dalam dua aksi baru-baru ini dan akan turut diketepikan dari aksi bertemu West Ham nanti.

Mikel Arteta mendedahkan yang beliau sengaja mengetepikan Aubameyang dari skuad utama kerana bintang Gabon itu melakukan kesalahan disiplin dengan beliau pulang lewat dari yang dijanjikan selepas kelab membenarkan beliau pergi bercuti atas urusan peribadi.

Beliau dilaporkan pergi ke Perancis untuk bertemu dengan ibunya atas kebenaran pihak kelab, namun Aubameyang kembali ke London lebih lama dari jangka waktu yang ditetapkan.

Melihat kepada isu ini, ramai yang percaya masa depan Aubameyang bersama kelab tidak akan bertahan dan beliau jelas sekali akan dilepaskan.

Selepas isu ini dilihat semakin panas, Barcelona tampil menyatakan minat mereka untuk mendapatkan bintang Arsenal itu sebagai pengganti kepada Sergio Aguero yang sudah mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak.

Walau bagaimanapun, bekas bintang Premier League, Tony Cascarino percaya yang Arsenal akan berdepan kesukaran untuk melepaskan pemain seperti Aubameyang.

Beliau mendedahkan kepada talkSPORT bahawa:

“Saya rasa jika mereka boleh melepaskan dia dan keluarkan dia dengan harga yang murah, atau mungkin kelab akan pinjamkan dia untuk tempoh yang lama dan kemudian sebagai orang luar, saya fikir Arsenal akan cuba gunakan pilihan itu. Saya rasa itu jelas.”

“Kamu tak akan buat keputusan besar seperti itu tanpa ada kesan sampingan. Satu-satunya alasan dia kekal adalah kerana Arsenal sukar untuk lepaskan dia. Dia merupakan pemain yang perlukan dana yang besar dan tidak banyak kelab Eropah yang mampu untuk membeli pemain seperti Pierre Emerick Aubameyang.”

“Untuk memenangi semula Arteta, dia perlu lalui perjalanan yang panjang dan mungkin pergi dulu dari Arsenal.”

Namun begitu, seandainya Arsenal tidak menjual Aubameyang, Tony Cascarino menegaskan yang beliau tak nampak tanda-tanda untuk bintang Gabon itu mendapat tempat dalam skuad utama.

“Ia merupakan satu keputusan yang besar untuk lepaskan ketua pasukan kamu.”

Tambah Cascarino lagi.

“Pemain paling mahal kamu, kamu anugerahkan dia dengan kontrak yang menakjubkan dan kemudian kamu rampas semula lilitan ketua pasukan yang dia pakai.”

“Dia tidak akan pernah gembira. Aubameyang jelas sekali tidak akan gembira melihat apa yang berlaku.”

“Dia tidak mematuhi peraturan, apa yang kelab minta dan apa yang Arteta minta dari dia dan dia di bayar dengan gaji yang sungguh tinggi.”

Cascarino sementara itu turut menambah yang beliau tidak begitu terkejut dengan senario yang berlaku hingga menyebabkan berlakunya perubahan pada sikap pemain di atas padang.

“Ia sangat menyedihkan kerana Aubameyang, pada permulaan musim dia sudah pamer aksi yang bagus, saya bahkan hampir tidak kenal dia sebagai seorang pemain bola sepak. Saya macam berfikir, ‘adakah dia Pierre Emerick Aubameyang yang sedang mengejar bola dan bertahan?”

“Dia lakukan itu untuk tempoh beberapa minggu, dia tak biasa lakukan hal itu, dia tak lakukan itu ketika bertemu Man Utd, dia selepas itu nampak sudah tak minat untuk kejar bola.”

Sumber: talkSPORT

BACA:  Gaya Rambut Aubameyang Menjadi Bahan Ketawa Peminat