Xavi Berjaya Manfaatkan Penandatanganan Januari Untuk Bantu Barca Kembali Menjadi Gergasi Dunia Bola Sepak

Xavi Hernandez berjaya memimpin Barcelona untuk kembali ke kedudukan keempat dalam carta saingan La Liga dan mereka juga pada ketika ini merupakan pasukan kegemaran untuk menjuarai saingan Europa League.

Tidak dinafikan yang jendela perpindahan Januari sangat membantu Barca untuk kembali menjadi antara pasukan gergasi yang digeruni dalam saingan La Liga.

Pemain seperti Pierre Emerick Aubameyang, Ferran Torres, Dani Alves dan Adama Traore benar-benar memberikan impak yang sungguh menakjubkan kepada skuad kendalian Xavi Hernandez itu.

Mereka kini sudah berjaya mengharungi tujuh perlawanan tanpa mencatatkan sebarang kekalahan dalam semua pertandingan.

Barcelona bahkan turut berjaya menjaringkan 20 gol dan hanya merekodkan lapan bolos sahaja dari semua tujuh perlawanan terakhir mereka.

Aubameyang merupakan antara pemain paling menonjol setakat ini dengan beliau berjaya menjaringkan empat gol hanya dari empat perlawanan dalam saingan La Liga.

Beliau berjaya menjaringkan gol pertama, seterusnya mencatatkan hat-trick ketika membantu Barcelona menewaskan Valencia bulan lalu.

Hat-trick tersebut membantu Aubameyang untuk menjadi pemain pertama di abad ke-21 ini yang berjaya mencatatkan hat-trick dalam saingan Ligue 1, Bundesliga, Premier League dan La Liga.

Jelas sekali keputusan Barcelona menandatangani bintang Gabon itu dari Arsenal secara percuma pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini merupakan keputusan yang tepat.

Ferran Torres turut sudah membuat lima penampilan dalam saingan La Liga, namun beliau masih belum menjaringkan sebarang gol setakat ini.

Walau bagaimanapun, dari lima penampilan tersebut, beliau sudah berjaya mencatatkan dua assists.

Bekas bintang Manchester City itu walau bagaimanapun sudah berjaya menjaringkan dua gol untuk Barcelona, satu gol dalam saingan Spanish Super Cup dan satu lagi gol dalam saingan Europa League.

Nilai €55 juta yang Barcelona bayar kepada Manchester City pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini juga sepertinya bakal membuahkan hasil dengan Torres dilihat sesuai dengan taktikal Xavi Hernandez.

Adama Traore membuktikan keputusan Barca mendapatkan khidmat beliau sebagai pemain pinjaman dari Wolves merupakan satu keputusan yang sangat tepat.

Walau tidak banyak menjaringkan gol, namun harus diakui kehadiran Adama Traore di atas padang banyak memberi masalah kepada barisan pertahanan lawan.

Kelajuan beliau benar-benar membantu jentera serangan Barcelona untuk melakukan serangan pantas, dan tidak keterlaluan untuk menganggap Adama merupakan punca mengapa jentera serangan Barca kini nampak sangat berfungsi.

Beliau kini sudah berjaya mencatatkan dua assists dalam saingan La Liga dan turut cemerlang mencatatkan dua assists dalam saingan Europa League.

Seorang lagi pemain yang baru menyertai Barcelona pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini adalah Dani Alves yang turut dilihat memberi impak menakjubkan kepada skuad Barca.

Pemain veteran itu berjaya menjaringkan satu gol dan turut mencatatkan dua assist dari enam penampilan dalam semua pertandingan untuk Barcelona.

Impak dari barisan pemain ini jelas sangat membantu Barcelona dalam memburu kedudukan empat teratas dalam carta saingan La Liga.

Ousmane Dembele yang dikatakan bakal meninggalkan kelab pada musim panas ini juga turut berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini.

Barcelona terpaksa melantik legenda kelab, Xavi Hernandez untuk menggantikan Ronald Koeman sebagai pengurus kelab yang baharu dalam usaha mereka untuk menyelamatkan kelab.

Gergasi Catalan itu awalnya dilihat tiada harapan untuk mengakhiri saingan liga di kelompok empat teratas, namun Xavi berjaya mengubah kedudukan dan menjadikan Barca kembali digeruni.

Tidak akan mengejutkan andai Barca akan muncul sebagai Juara saingan Europa League pada musim ini, dan mereka bakal kembali memenangi gelaran liga pada musim hadapan.

Xavi Hernandez jelas benar-benar berjaya membawa Barca untuk kembali menjadi gergasi besar di pentas dunia bola sepak.

BACA:  Dani Alves Terlepas Peluang Untuk Mewakili Brazil Di Piala Dunia 2018