Aubameyang Kantoi Membawang, Arteta Hanya Boleh Kawal Budak-Budak

Pierre-Emerick Aubameyang telah menjadi bualan selepas kantoi apabila videonya membawang memburukkan Mikel Arteta yang disifatkannya hanya mampu mengawal budak-budak telah tersebar.

Rakaman video yang tersebar meluas di mana lagi kalau bukan di media sosial, memaparkan bekas pemain Arsenal itu mengutuk bekas pengurusnya, Mikel Arteta.

Pierre-Emerick Aubameyang telah memperlekehkan Mikel Arteta yang dituduh sebagai pengurus yang tidak mampu mengendalikan pemain senior di bilik persalinan.

“Pemain besar dan karakter yang besar, dia (Arteta) tidak mampu mengawalnya. Dia perlukan beberapa pemain muda yang tidak akan membantah dan cakap apa-apa.” Ujar Aubameyang angkuh.

Arteta telah melucutkan Aubameyang daripada jawatan selaku kapten Arsenal musim lalu kerana pelanggaran disiplin, di mana penyerang itu dilaporkan pulang lewat dari perjalanan ke luar negara.

Pemain bintang dari Gabon itu mula diketepikan oleh Arteta kerana masalah disiplin dan dia sengaja mengetepikan Aubameyang sebagai hukuman untuknya.

Dia kemudiannya dibekukan daripada skuad dan kemudiannya berpindah ke Barcelona secara percuma pada jendela perpindahan Januari selepas Arsenal bersetuju melepaskannya daripada kontraknya.

Ia bukan kali pertama Arteta mempamerkan aksi kejam sebagai pengurus.

Dia sebelum ini membenarkan penjualan pemain tengah Mesut Ozil selepas berselisih dengan bekas pemain antarabangsa Jerman itu.

Di mata Aubameyang Arteta merupakan pengurus yang gagal mengawal pemain bintang tetapi di mata ramai Arteta adalah seorang pengurus yang tegas.

Bagi membina kembali pasukan, Arteta sanggup melepaskan pemain bintang dan membuang toksik dalam pasukan untuk mengembalikan kegemilangan Arsenal yang dulunya sinonim dengan nombor 4.

Malah Arteta membuktikan, Aubameyang pemain yang gagal lagi tidak berdisiplin apabila turut dibuang dari Barcelona dan dikutip Chelsea pula dan setakat ini tiada aksi yang membanggakan dari Aubameyang.

Mungkin sudah insaf atau berubah, Aubameyang tampil mengakui bahawa video yang tertiris itu diambil selepas dia berpindah ke Barcelona ketika situasi masih tegang.

Mungkin marah disampahkan Arteta maka Aubameyang telah memburukkan bekas pengurusnya itu.

“Sedar ada video keluar yang dirakam sejurus saya tiba di Barca,” tweet Aubameyang.

“Pada masa itu saya masih mempunyai banyak perasaan buruk dalam diri saya – Arsenal melakukan perkara yang hebat musim ini dan saya berharap semua pemain lama saya sihat, cuma bukan pada 6 November,” tambah penyerang itu, merujuk lawatan Arsenal ke Stamford Bridge bulan depan .

“Sekarang fokus sepenuhnya pada hari esok.”

Bersama Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang telah bermain 163 perlawanan dengan menjaringkan 92 gol disamping 20 assist serta membawa pulang dua trofi.

Di Camp Nou, Pierre-Emerick Aubameyang bermula baik apabila membuka akaun gol dengan jaringan hatrik, sempat bermain 24 perlawanan dengan 13 gol.

Rekod jaringan bersama Barcelona agak baik namun kehadiran Robert Lewandowski nyata membuatkan Pierre-Emerick Aubameyang tidak mempunyai tempat.

Chelsea pantas menyambar untuk mengisi kekosongan dan setakat ini Pierre-Emerick Aubameyang bermain 4 perlawanan dan menjaringkan 2 gol.

Arsenal kini berada di puncak Liga Perdana, satu mata di depan Manchester City, setelah menewaskan Liverpool 3-2 pada hari Ahad.

Chelsea pula berada di tempat keempat – lapan mata di belakang The Gunners kurang satu perlawanan.

Arsenal seterusnya menentang pasukan Norway, Bodo/Glimt di tempat lawan pada hari Khamis dalam Liga Europa, manakala Chelsea bertandang menentang AC Milan di Itali dalam Liga Juara-Juara pada hari Rabu.

Aubameyang berharap untuk kembali ke dalam kesebelasan utama Chelsea, setelah gagal diturunkan dari bangku simpanan dalam kemenangan 3-0 ke atas Wolves di Liga Perdana.

BACA:  Aubameyang Dihentam Teruk Kerana Mensia-siakan Peluang Keemasan Ketika Bertemu Newcastle