Gergasi Serie A Sangat Berminat Dapatkan Aubameyang Januari Ini

Gergasi saingan Serie A, Juventus dilaporkan sangat berminat untuk mendapatkan Pierre Emerick Aubameyang pada jendela perpindahan Januari ini.

Menurut sumber laporan dari media Itali, Juventus sedia membantu Arsenal yang dikatakan sedang bingung memikirkan cara bagaimana untuk melepaskan bekas ketua pasukan mereka itu.

Mereka berminat untuk mendapatkan segera bintang Gabon itu memandangkan Arsenal sepertinya sudah tidak berminat untuk mengekalkan pemain penyerang mereka itu.

Mikel Arteta pada minggu lalu telah melucutkan jawatan Pierre Emerick Aubameyang sebagai ketua pasukan Arsenal, dan turut mengetepikan bekas bintang Dortmund itu dari skuad utama.

Keputusan Mikel Arteta dan Arsenal sendiri itu sepertinya telah mencetuskan sensasi internet dengan para peminat seluruh dunia sedang bercakap tentang hal tersebut.

Pierre Emerick Aubameyang sebenarnya baru sahaja menandatangani perjanjian lanjutan kontrak selama tiga tahun pada 2020 yang lalu, selepas Mikel Arteta meyakinkan kelab untuk menawarkan kontrak baru kepada anak buahnya itu.

Setahun sahaja selepas beliau memberi sokongan penuh kepada Aubameyang, kini Mikel Arteta tampil untuk menghentam pemainnya itu secara terbuka.

Beliau dengan tenang mendedahkan tentang masalah disiplin yang dilakukan oleh Aubameyang yang menyebabkan beliau terpaksa menarik balik jawatan ketua pasukan dari bintang Gabon itu.

Kini Aubameyang sudah diketepikan dari skuad utama dengan beliau tidak diturunkan untuk bermain, dan turut berlatih secara berasingan dari para pemain yang lain.

Menurut sumber laporan dari Tuttosport, gergasi Serie A, Juventus dilaporkan sangat berminat untuk mendapatkan Aubameyang, namun mereka hanya memerlukan bintang Gabon itu untuk tempoh masa singkat sahaja.

Juventus sendiri sebenarnya sangat terdesak untuk mencari penjaring gol utama kelab selepas kehilangan Cristiano Ronaldo yang menyertai Manchester United pada musim panas baru-baru ini.

The Old Lady jelas bergelut untuk mencari gol dek kerana kekurangan pemain yang tajam di hadapan gol, dan ia jelas kerana ketiadaan pemain penyerang yang prolifik.

Sementara Cristiano Ronaldo pula, beliau kini merupakan penjaring gol terbanyak Manchester United dan ia secara tak langsung membuktikan bahawa Juventus telah membuat kesilapan besar melepaskan beliau sebelum ini.

Memandangkan Juventus juga sedang berdepan masalah kekurangan dana, maka mereka mungkin hanya mampu untuk meminjam sahaja Aubameyang dari Arsenal.

Keputusan Arteta dan Arsenal untuk menghukum Aubameyang telah mendapat perhatian dari ramai pihak dengan penyampai talkSPORT, Gabby Agbonlahor antara yang paling lantang menghentam mereka.

Gabby Agbonlahor merasakan sangat tidak adil untuk Arsenal menghukum Aubameyang dan mendedahkan masalah ini secara terbuka.

Beliau menegaskan yang tindakan Arsenal dan Arteta sebenarnya boleh memberi impak yang negatif terhadap kesihatan mental Aubameyang.

Bekas penyerang Aston Villa itu menyatakan bahawa:

“Bagaimana situasi mereka sekarang bagi saya sangat mengejutkan.”

“Layanan untuk Aubameyang, semua hal yang sudah dia lakukan untuk Arsenal, gol yang dia jaringkan, tapi kamu asingkan dia dari semua orang, kamu biarkan dia berlatih sendirian.”

“Ia berlaku pada saya ketika bersama Villa, sehari sebelum musim bermula, Roberto Di Matteo mahu saya untuk pergi, ‘saya kata tak, tidak mungkin saya akan pergi.’ dan dia letakkan saya bersama skuad bawah 23 dan mengasingkan saya dari skuad utama.”

“Kesihatan mental kamu akan berada di tahap yang teruk. Itu mungkin pertama kali saya rasa tertekan untuk tempoh dua bulan sehingga pengurus saya kena pecat.”

“Kita tak sepatutnya abaikan kesihatan mental Aubameyang. Mak dia tidak begitu sihat.”

“Saya berani bertaruh pada kamu, jika kamu tanya dia hari ini adakah dia akan ulang semula semua ini, dia akan jawab ya. Keluarga senantiasa perlu di utamakan berbanding semua hal lain.”

“Saya akan lakukan apa yang dia lakukan.”

Aubameyang sudah tiga minggu diketepikan dari skuad utama Arsenal dan beliau mungkin akan sekali lagi diketepikan untuk aksi pada minggu ini.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Emery: Aubameyang Mampu Menangi Kasut Emas Musim Ini