Toni Kroos Mungkin Menyesal Pernah Hentam Keraian Aubameyang Satu Ketika Dahulu

Pierre Emerick Aubameyang berjaya membuatkan Toni Kroos rasa menyesal kerana pernah mengkritiknya sebelum ini selepas beliau mempamerkan aksi persembahan sungguh menakjubkan ketika aksi El Clasico pertamanya.

Pemain penyerang kebangsaan Gabon itu berjaya menjaringkan dua gol dan turut mencatatkan satu assists ketika membantu Barcelona mengaibkan Real Madrid di Santiago Bernabeu.

Beliau kini sudah berjaya menjaringkan sembilan gol dari 11 perlawanan untuk Barca dalam semua pertandingan sejak dari awal ditandatangani Januari lalu.

Skuad kendalian Xavi Hernandez itu benar-benar menunjukkan peningkatan yang sangat mendadak pada ketika ini, selepas mereka pada awal musim lalu dianggap sebagai pasukan yang akan menamatkan saingan La Liga di kedudukan pertengahan sahaja.

Kejayaan menewaskan Real Madrid membuktikan yang Barca kini sudah berjaya menemui rentak persembahan terbaik mereka semula.

Dan Aubameyang meraikan gol jaringannya dalam perlawanan tersebut dengan keraian yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Beliau melakukan keraian terkenalnya flip kehadapan ketika meraikan gol pertamanya dan kemudiannya beliau meraikan gol keduanya dengan keraian ala Dragon Ball Z betul-betul dihadapan Lucas Vasquez.

Tidak pasti apa yang Toni Kroos rasa ketika melihat Aubameyang meraikan gol dengan cara seperti itu, memandangkan bekas pemain kebangsaan Jerman itu memang langsung tak berkenan gaya keraian tersebut.

Kroos sebelum ini turut pernah tampil menghentam Aubameyang kerana meraikan gol dengan cara seperti itu.

“Aubameyang pernah raikan gol dengan memakai topeng.”

Jelas Kroos kepada pengacara di podcast Einfach mal Luppen.

“Dekat situ lah pengakhiran untuk saya. Saya tak rasa itu contoh yang baik, langsung tak. Benda mengarut.”

Aubameyang sepanjang kariernya beliau pernah meraikan gol dengan memakai topeng Batman, Spiderman dan Black Panther.

Mendengar Kroos menghentam gaya keraiannya itu, Auba menjelaskan hal tersebut di laman twitter miliknya dan turut sempat bertanya kepada bintang Real Madrid itu adakah beliau mempunyai anak.

Perbalahan antara kedua-dua mereka berlarutan selama hampir satu ke dua bulan juga pada ketika itu sebelum isu tersebut sekadar dilupakan oleh semua orang.

Dua tahun sudah berlalu, sepertinya Aubameyang berjaya membuktikan kepada Kroos yang tindakan beliau itu bukan mengarut.

Bekas bintang Arsenal itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan dalam perlawanan ini, sementara Kroos pula terpaksa dikeluarkan untuk beri ruang kepada Edouard Camavinga beraksi.

Walau bagaimanapun juga, kedua-dua mereka sepertinya memang tak bermusuh dari awal dengan hubungan mereka nampak dalam keadaan baik-baik sahaja.

Bercakap selepas tamat aksi kemenangan menewaskan Real Madrid, Aubameyang telah mendedahkan kepada laman rasmi kelab bahawa:

“Saya mahu beritahu kebenarannya, saya fikir ini adalah permulaan kepada era baru, dengan lambakan bakat pemain muda yang sangat hebat.”

“Itu adalah sesuatu yang bagus untuk mentaliti skuad dan kami benar-benar gembira untuk kemenangan dalam perlawanan ini.”

Barcelona kini sedang mengukuhkan kedudukan mereka di kelompok empat teratas dalam saingan La Liga dan sepertinya tak ada masalah untuk mereka layak ke saingan Champions League musim hadapan.

Mereka juga sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi gelaran Europa League, dan berharap agar kemenangan itu bakal jadi pemangkin semangat para pemain.

Kehadiran Aubameyang jelas sekali memberi impak yang sungguh luar biasa menakjubkan dan Barca kini dianggap sudah kembali menjadi pasukan yang paling digeruni di Sepanyol.

Sama ada mereka mampu konsisten atau tidak semuanya bergantung kepada pemain dan pengurus sendiri, namun dari apa yang peminat lihat ketika ini, Barca jelas sudah menunjukkan peningkatan yang mendadak.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Arsenal Mahu Lepaskan 10 Pemain Utama Termasuk Aubameyang